Bekas suami tagih cinta Syura

Bekas suami tagih cinta Syura
Oleh NAFSIAH JANI

 

PATUTLAH semakin cantik dan kurus penyanyi popular Syura,33. Rupanya dalam diam Syura mengamalkan diet puasa bersela atau Intermittent Fasting (IF). Kini semakin ramai yang `membuka mata’ dengan penampilan terbarunya yang tampak lebih ceria dan remaja.

Jadi tidak hairanlah sehingga kini bekas suaminya, Mohd Fadhly Md Yassin,39 yang sudah lima tahun bercerai dengan Syura masih tidak berputus asa mengajak Syura rujuk kembali kepadanya.

Namun Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 33 masih tidak terfikir untuk kembali semula kepangkuan bekas suaminya seorang guru sekolah.

“Syura tidaklah kata tidak…kita tak tahu dimasa akan datang, Yang pasti buat masa ini Syura memang tidak ada perancangan untuk berbaik dengannya. Tapi demi anak-anak Syura terpaksa dan tetap kena berbaik-baik,’’ kata Syura ketika ditemui BebasNews baru-baru ini.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2006 ketika Syura berusia 20 tahun. Pasangan ini bercerai sebanyak dua kali pada 29 September 2014 sebelum rujuk semula pada November tahun yang sama dan bercerai buat kali keduanya pada Ogos 2015.

Hasil perkahwinan selama sembilan tahun pasangan ini dikurniakan tiga orang cahayamata iaitu Nurul Dania Irdani,12, Nurul Qaisara Sofea, 10, dan Mohd Irfan Aryan, 8.

Andai ditakdirkan bertemu jodoh buat kali kedua, Syura anak keenam daripada sembilan beradik ini inginkan lelaki yang bertanggungjawab.

“Syura bukannya seorang yang `fussy’ tentang lelaki…Jika ada jodoh lagi, Syura kena lebih berhati-hati.

Bukannya Syura nak cari lelaki kaya tetapi sebagai isteri Syura impikan untuk mempunyai seorang suami yang bertanggungjawab kerana tanggungjawab itu besar maknanya pada Syura.

“Tanggungjawabnya bukan saja kahwin dengan Syura tetapi dengan anak-anak Syura juga. Syura harap dia tidak membezakan kasih sayang dengan anak-anak walaupun mereka masih mempunyai ayah lagi.

“Kalau nak tahu, Syura tak pernah tutup pintu hati untuk bekawan dengan sesiapa sahaja. Itu sebabnya ramai lelaki yang cuba mendekati Syura. Lelaki-lelaki ini ada yang berstatus datuk, suami orang dan macam-macam lagi. Namun buat masa ini Syura tidak terfikir untuk menerima cinta mereka atau berkahwin semula dalam waktu terdekat ini.’’

Syura dah ada YouTube channel

Sejajar dengan perkembangan media sosial sekarang tidak hairanlah ramai yang berlumba-lumba ingin menghasilkan youtube channel mereka sendiri dan tidak terkecuali Syura juga.

“Sekarang Syura pun dah ada youtube Syura sendiri iaitu Syura Badron Official. Buat masa ini youtube Channel ini hanya memaparkan aktiviti seharian Syura, kehidupan seni Syura dan aktiviti bersama anak-anak. Kini Syura tengah merancang nak buat program masakan pula dan macam-macam lagi.

“Tunggulah bila tak sibuk dengan show mungkin Syura dapat realisasikan impian nak buat program masakan dalam youtube Syura sendiri,’’ kata Syura yang juga merupakan juara MasterChef Selebriti Malaysia musim ke2.

Mungkin ramai juga yang tidak tahu selepas tamat program bersama Masterchef Selebriti Malaysia, Syura melanjutkan pelajarannya selama tiga tahun dalam bidang Kulinari di UNITAR International Universiti pada tahun 2016. Disana Syura juga pernah menerima anugerah pelajar terbaik dalam bidang kulinari.

Single terbaharu Syura

Pengalaman selama 19 tahun dalam industri hiburan telah banyak mengajar Syura mengenai pemilihan sesebuah lagu. Jadi tidak hairanlah setelah lama tidak muncul dengan album, Syura tampil dengan single pertamanya, Ego.

Melodi dan lirik Ego dihasilkan Syura sendiri dan telah dipasarkan pada Oktober tahun lalu.

“Lepas ini Syura rancang nak buat album baru. Walaupun irama Malaysia kurang permintaannya namun Syura tetap akan kekalkan irama Malaysia serta pelbagaikan genre dalam itu nanti kerana kalau tidak Syura siapa lagi nak meneruskannya.

“Kiranya Ego ini hadiah untuk peminat yang selama ini menyokong karier seni Syura,’’ ujar Syura yang popular dengan lagu Nazam Berkasih dan Candak.

Sebelum ini Syura anak kelahiran Johor ini pernah muncul dengan beberapa buah album antaranya Aroma (tahun 2000), Firus (album duet bersama Siti Nordiana), Senandung Melayu, Aruda, Balaghah, Syahda Berdendang dan Khazanah Pujangga.

BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Bekas suami tagih cinta Syura"

  1. herman farispetra9599  19/09/2019 at 1:22 am

    Selamat Maju Jaya, Syura😉

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.