Tambah terminal bas lagi-MB Selangor

Tambah terminal bas lagi-MB Selangor
MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari ketika sidang media selepas perasmian Terminal 17 di Seksyen 17. NSTP/SADDAM YUSOFF

 

Oleh ARRAZAQ NAZRI

 

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menyokong cadangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya sebuah lagi terminal bas dibina di Seksyen 13 di sini bagi menampung peningkatan jumlah penumpang dan perkhidmatan pengangkutan awam yang semakin meningkat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, terminal bas itu boleh dibina jika ada keperluan memandangkan Seksyen 13 adalah kawasan pesat membangun, termasuk dengan kewujudan beberapa institusi pengajian tinggi.

“Saya menyokong penuh tetapi perlu ada perbincangan dengan beberapa agensi berkaitan sebelum projek dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Terminal Bas Seksyen 17 serta laluan bas Smart Selangor SA04 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Amin Ahmad Ahya.

Beliau mengulas cadangan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim, supaya sebuah lagi terminal bas dibina berdekatan Stadium Shah Alam menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

AMIRUDIN Shari (dua dari kiri) melawat bangunan Terminal 17 sambil diiringi Haris Kasim (tiga dari sini) selepas majlis perasmian pusat hentian bas tersebut di Seksyen 17 di Shah Alam.

Amirudin berkata, Terminal 17 yang mula beroperasi 1 Mei lalu adalah projek kerajaan Persekutuan dengan kerjasama MBSA dan ia menunjukkan komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam menyediakan kemudahan pengangkutan awam kepada warganya.

Katanya lagi, laluan tambahan bas Smart Selangor yang dilancarkan pada majlis sama, bakal melalui kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan ia adalah usaha yang baik untuk mengurangkan beban pelajar serta warga kerja universiti berkenaan.

“Buat masa ini, kita menyediakan empat bas di laluan berkenaan untuk memastikan rangka masa iaitu 15-20 minit dapat ditepati dan akan menambah bilangannya jika ada keperluan,” katanya.

Sementara itu, Haris berkata, sehingga kini terminal bas berkenaan sudah menerima kira-kira 192,000 pengunjung dan purata jualan tiket sebulan adalah sebanyak 35,241.

“Dengan pengumpulan data berkenaan, MBSA memandang serius aspek keselesaan dan kesejahteraan pengunjung.

“Kita dalam perancangan memperkasakan sistem pengangkutan awam termasuk merancang untuk membina parkir berdekatan terminal bas ini,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.