FITNAH: Tular pemborong Cina boikot petani Melayu tidak benar

"Jadi apa yang dikatakan bahawa pemborong Cina tak beli (dari petani Melayu) tu salahlah.”

FITNAH: Tular pemborong Cina boikot petani Melayu tidak benar

SATU post di Facebook bersama gambar mendakwa pemborong Cina memboikot hasil jualan petani Melayu susulan kempen Beli Produk Muslim Dulu (BMF) adalah tidak benar.

Pengasas syarikat agroteknologi Agro Solution, Mohamad Azhar Mohd Noor mengakui terkejut dan pelik bagaimana gambar tersebut boleh disebarkan.

Menurutnya, salah satu gambar tersebut diambil olehnya sejak sebulan lalu dan syarikatnya sendiri membeli hasil tanaman timun daripada petani terbabit.

“Saya terkejut dan pelik, gambar itu sudah sebulan lebih, saya yang tangkap gambar itu dan kongsikan dalam grup WhatsApp antara petani-petani tetapi jadi isu pula.

“Lelaki dalam gambar itu juga kawan saya, dia yang usahakan tanaman timun tu dan kami (Syarikat Agro Solution) beli dari dia.

“Jadi apa yang dikatakan bahawa pemborong Cina tak beli (dari petani Melayu) tu salahlah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelas Azhar, gambar tersebut juga diambil di Kuala Krai Kelantan dan bukannya di Pendang Kedah seperti yang ditularkan.

 

Tak pernah jual kepada pemborong Cina

Ketika dihubungi, penanam timun terbabit, Mohd Rusof Yusof mengesahkan pihaknya memang tidak pernah menjual kepada mana-mana pemborong Cina.

“Di Kuala Krai susah cari pemborong Cina jadi memang selama ini pemborong saya semuanya orang Melayu,” katanya yang mengakui merupakan individu dalam gambar yang ditularkan.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook dengan beberapa keping gambar termasuk seorang lelaki dikatakan penanaman timun di Pendang.

Hantaran tersebut mendakwa pemborong Cina kini tidak lagi mahu membeli hasil tanaman timun daripada petani Melayu.

“Assalamualaikum, kesian dekat orang Melayu yang ada taman timun kawasan Pendang, Cina tak mahu ambil timun depa (mereka) kerana Cina boikot.

“Padahal sebelum ini depa (pemborong cina) dok pi ambil berlori, beratus kilo dok di pokok, depa nak lelong saja timun itu 1kg RM1.

“Siapa nak bagitahu, niat nak tolong. Timun rosak kalau tak kutip. Jom pakat tolong,” kata hantaran tersebut yang disertakan nombor petani berkenaan.

Usaha Malaysiakini menghubungi nombor telefon yang tertera bagaimanapun gagal apabila ia tidak berjawab.

Hantaran yang tular itu juga dikongsikan pegawai tugas-tugas khas kepada menteri di jabatan perdana menteri (Agama), Ali Muda yang turut mengulas  isu berkenaan.

“Ini bukan hendak memperleceh atau mempermainkan kempen BMF, tetapi hendak menceritakan kesan yang sedang berlaku di negara ini.

“Saya sudah hantar berita ini (gambar yang tular) kepada grup yang meng’agama’kan kempen BMF dan menjadikan satu jihad suci, tetapi mereka suruh kerajaan bertanggungjawab menjaga membantu petani Melayu, semudah itu mereka cuci tangan,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Ali Muda adalah individu sebelum ini dimaksudkan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana didakwanya cuba memperlekehkan kempen BMF.

Mohd Asri dalam hantarannya berkata pegawai menteri agama itu cuba ‘meletakkan’ cerita bahawa seorang pengusaha cili Muslim menjadi susah akibat kempen BMF apabila tauke-tauke Cina enggan membeli darinya.

Kata Asri, beliau hairan kerana ada kalangan umat Islam sendiri cuba memperlekeh usaha membantu meningkatkan ekonomi umat Islam.

Bagaimanapun Ali kemudian dilapor berkata beliau kesal apabila kenyataannya disalah tafsir Mohd Asri sehingga digambarkan memperlekehkan kempen berkenaan.

“Sebaliknya, saya meminta orang Melayu yang berkempen BMF termasuk Mufti Perlis sendiri supaya segera membantu pengusaha cili terbabit setelah perniagaannya terkesan selepas kempen itu dilaksanakan,” kata Ali seperti dilapor Sinar Harian.

Untuk rekod, kempen BMF dikesan sejak akhir tahun lepas, bertujuan menggalakkan pembelian produk keluaran Muslim.

Kempen itu kurang mendapat perhatian sehingga sekitar Ogos, apabila semakin ramai orang menyertai laman dan kumpulan kempen tersebut di media sosial.

Terdapat penyokong kempen itu bersikap lebih ekstrem dengan mengajak orang ramai memboikot produk bukan Muslim.

http://bit.do/e84AC
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.