Kerajaan Selangor tiada perikemanusiaan, kata penduduk Sg Kedondong

Kerajaan Selangor tiada perikemanusiaan, kata penduduk Sg Kedondong
FOTO: The Malaysian Insight

 

PENDUDUK Kampung Sungai Kedondong mengutuk sikap tidak berperikemanusiaan kerajaan negeri yang merobohkan rumah mereka di tepi sungai berkenaan.

Tindakan itu menyebabkan mereka hilang tempat perlindungan selepas lebih 60 buah rumah diranapkan dalam operasi yang bermula sejak semalam.

Salah seorang daripadanya Rosita Sarof, 49, yang mendiami rumah di tebing sungai tersebut sejak lebih sedekad lalu.

Katanya, kerajaan sepatutnya mendengar rayuan agar menangguhkan operasi perobohan di atas tanah rizab sungai itu untuk membolehkan mereka mencari tempat tinggal lain.

Menurut Rosita, mereka diberitahu sejak Ogos untuk mengosongkan rumah itu selewat-lewatnya pada 18 September.

“Kita sudah hantar surat minta tunda. Tapi semalam kejadian (roboh) berlaku. Sangat-sangat tiada perikemanusiaan.

“Kita rakyat bukan pendatang asing. Kita pengundi di Paya Jaras,” kata ketika ditemui wartawan di penempatan sementara dekat Paya Jaras.

Operasi perobohan itu difahamkan dijalankan bagi memberi ruang untuk projek memperbesarkan Sungai Kedondong bagi tebatan banjir di Paya Jaras Hilir.

Penempatan sementara yang dihuni Rosita kini adalah empat buah khemah di atas tanah kosong yang berlantaikan tikar.

Ia amat daif jika dibandingkan dengan binaan kekal dengan tiga bilik yang diranapkan semalam.

Tambahnya, perobohan sepatutnya ditangguhkan sebelum mereka mendapat rumah bawah skim Selangorku seperti yang dijanjikan wakil rakyat kawasan itu, Mohd Khairuddin Othman.

Seorang lagi penduduk Nor Salisa Saleh, 21, berkata beliau kini terpaksa menumpang rumah saudara mara selepas rumahnya dirobohkan.

Nor Salisa yang sedang sarat mengandung berkata kerajaan negeri amat tidak berperikemanusiaan kerana enggan mendengar rayuan mereka.

“Kita tengok cara roboh tiada perikemanusiaan. Kita tak minta banyak cuma penangguhan. Saya pula (sarat) mengandung. Lepas ini pantang pun tumpang rumah nenek.

Keseluruhannya, sebanyak 92 buah rumah yang didakwa dibina atas tanah rizab kerajaan negeri Selangor itu akan dirobohkan.

Wakil rakyat kawasan itu pada November lalu menyifatkan projek tebatan banjir bernilai RM50 juta itu merupakan antara hadiah terbesar kerajaan negeri untuk warga Paya Jaras.

Dua lagi projek yang adalah pembinaan 1,400 unit Rumah Selangorku dan pembinaan laluan alternatif bernilai RM8 juta.

 

Rakyat bukan itik, kata PAS

Operasi itu mendapat perhatian PAS Sungai Buloh yang mengecam tindakan kerajaan negeri merobohkan rumah dan menghalau penduduk seperti haiwan.

Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad berkata penduduk bukanlah haiwan ternakan yang boleh diusir begitu sahaja.

“Kami bukan mempertahankan penduduk untuk terus menduduki tanah rizab ini, cuma yang kami pertikaikan sekarang dari segi kemanusiaan.

“Rumah mereka yang dirobohkan itu manusia, bukan itik. Kalau itik sekali pun, kalau tuan dia nak halau dia atau nak pindahkan itiknya, dia kena siapkan reban baru. Baru boleh.

“Ini tidak, kerajaan seolah-olah tak ada perancangan. Sepatutnya mesti ada rumah transit disediakan,” katanya katanya dalam sidang media di Paya Jaras Hilir hari ini.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya prihatin dan menangguhkan perobohan untuk memberi laluan kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan dalam tempoh hujung tahun ini.

Pejabat menteri besar Selangor pula ketika dihubungi The Malaysian Insight memberitahu, operasi perobohan itu sedang disiasat.

http://bit.do/e84Zb
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.