MISC, DBKL FC buat kejutan ke suku akhir

MISC, DBKL FC buat kejutan ke suku akhir
NEGERI Sembilan mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan C dengan mencipta pesta gol terbesar PERR musim ini, membelasah Melaka 5-0.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

KEPUTUSAN HARI INI
Kumpulan A: PSS 1 DBKL FC 2; Selangor 2 MISC 1
Kumpulan C: N. Sembilan 5 Melaka 0; ATM 0 Kelantan 1

EMPAT lagi tiket suku akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) Ke-79, 2019 disahkan hari ini dengan muka baharu, Majlis Sukan India Malaysia (MISC) mencipta kejutan kerana tetap berjaya meraihnya biarpun dikalahkan Selangor 2-1 di Stadium Mini Jitra, Kedah.

MISC disertai oleh sebuah lagi pasukan bukan pilihan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) FC yang menyelit sebagai wakil kedua Kumpulan A ke peringkat kalah singkir pada 27 September ini setelah mengalahkan Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) 2-1 di Padang Polimas, Jitra.

Empat pasukan teratas kumpulan ini terikat tujuh mata termasuk Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun perbezaan gol menyebelahi MISC dan DBKL FC yang menewaskan PSS menerusi jaringan Aiman Hakim Ramli dan Hafizi Shari pada minit ke-54 dan 67.

MISC mencipta kejutan selaku muka baharu PERR yang memintas Selangor dan PDRM untuk mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A.

Turut mara malah mencipta pesta gol terbesar PERR musim ini ialah Negeri Sembilan yang membelasah Melaka 5-0 untuk menutup tirai aksi Kumpulan C biarpun bermula agak perlahan dengan seri dua kali dengan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak Sabtu lalu selain menumbangkan juara berganda bertahan, Pahang 3-2.

Arif Afiq Muhamad dan Norfaizal Faroq Zaharuddin masing-masing menjaringkan dua gol selain satu oleh Nuraiman Mohd. Nor memastikan Negeri Sembilan menjuarai kumpulan ini dengan mengumpul lapan mata. Melaka turun ke tempat ketiga dengan enam mata.

Jaringan tunggal Shafatul Qushairi pada minit ke-77 pula sudah memadai untuk mempamerkan kebangkitan hebat malah melayakkan Kelantan ke suku akhir dengan tujuh mata selepas mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0, juga di Padang Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Empat pasukan yang terdahulu menempah tiket suku akhir sejak Isnin lalu hingga semalam ialah Kingstown FC, Pulau Pinang sebagai juara dan naib juara Kumpulan B selain Perak dan Kuala Lumpur yang mewakili dua pasukan teratas Kumpulan D.

Seperti musim terdahulu, peringkat kalah singkir PERR termasuk separuh akhir pada 29 September ini hanya dijalankan dalam satu perlawanan tanpa format timbal balik.

Layak ke suku akhir: MISC, DBKL FC, Kingstown FC, P. Pinang, N. Sembilan, Kelantan, Perak dan K. Lumpur

JADUAL SUKU AKHIR (JUMAAT)
• MISC lawan Pulau Pinang
• Kingstown FC lawan DBKL FC
• N. Sembilan lawan Kuala Lumpur
• Perak lawan Kelantan

Venue dan sepak mula akan ditentukan semula.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.