Penjaga jam menara naik gred, gaji RM10 lepas 42 tahun berkhidmat

“Dengan nilai pencen RM1,650 yang saya terima setiap bulan, jika nak sewa rumah paling murah di Kuala Lumpur ini RM1,000, memang tidak cukup untuk tampung perbelanjaan saya sekeluarga, apatah lagi bila sakit nanti.”

Penjaga jam menara naik gred, gaji RM10 lepas 42 tahun berkhidmat
FOTO: The Star

 

KUALA LUMPUR — Nama Kuna sinonim dengan Menara Jam, sebahagian komponen Bangunan Sultan Abdul Samad yang menghiasi wajah ibu negara Kuala Lumpur dan Dataran Merdeka.

Ketika ditemui sempena sambutan Hari Malaysia 16 September dia berkongsi pengalaman perjalanan kerjayanya dalam perkhidmatan awam.

Kuna atau nama penuhnya V Kunasegaran, pembantu operasi, dinaikkan dari Gred N11 ke Gred N14 dengan kenaikan hanya RM10 iaitu dua minggu sebelum beliau bersara.

“Saya terima kenaikan ini pada Ogos 2016 iaitu dua minggu sebelum saya bersara.

“Saya agak terkilan dengan kenaikan RM10 ini. Ada mengadu kepada Jupem… adakah jasa dan pengorbanan saya menjaga warisan negara ini selama 42 tahun, nilai kenaikan 80 sen sebulan? Bagi cucu saya pun mereka tak mahu lah,” katanya kepada FMT.

Dengan gaji permulaan RM146 sebulan pada 1975, beliau bersara dengan gaji sebanyak RM2,700 pada 2016 dengan jawatan yang sama dan tiada kenaikan pangkat.

“Rakan sejawat yang sama dengan saya sudah naik pangkat, mereka terima surat daripada Ketua Pengarah Jupem untuk datang temu duga kenaikan pangkat, dan mereka dapat RM90 untuk sekali kenaikan.

“Tapi saya dapat naik pangkat pada dua minggu lagi nak bersara dan jumlah kenaikannya hanya RM10 sahaja, mana keadilannya?,” soalnya.

FOTO: The Star

Ditanya sama ada Kuna mempunyai masalah disiplin sehingga tidak diberikan kenaikan pangkat lebih awal, beliau menafikannya.

“Kalau saya ada masalah disiplin, takkan saya menerima anugerah cemerlang sebanyak tujuh kali?,” bidasnya lagi.

Kuna sebelum ini bekerja sebagai Pembantu Operasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dengan menjaga jam menara di Dataran Merdeka bermula 1975.

Dia merupakan orang kelima dilantik menjaga jam Dataran Merdeka.

“Setiap kali acara rasmi diadakan, saya akan hadir ke Dataran Merdeka untuk melaksanakan tanggungjawab seawal 3 pagi. Ada kalanya saya tidur di situ bagi menjaga warisan negara ini dan bersiap sedia untuk acara rasmi negara, selesai tugas baru saya pulang ke rumah,” katanya. Acara rasmi itu termasuklah Hari Malaysia, pada 16 September setiap tahun.

Menurutnya dulu terdapat sembilan acara rasmi diadakan setiap tahun di Dataran Merdeka. Dan memandangkan tanggungjawabnya sagat berat, dia langsung tidak mengambil cuti bagi memastikan tugas yang dilakukan secara bergilir dengan empat lagi kakitangan akhirnya menjadi tugasnya seorang sejak tahun 1999 selepas yang lain berhenti.

Ini kerana tiada siapa yang berminat untuk memikul komitmen seperti itu.

Jam buatan Gillen & Johnston Manifactures dari England dianggap sebagai mercu tanda Bandaraya Kuala Lumpur dan diletakkan di bawah pengurusan Jupem. Ia memerlukan cara yang betul untuk menjaganya supaya keadaannya kekal dalam keadaan yang baik.

Jika tidak, kos yang perlu dibayar untuk membaikinya adalah RM40,000.

“Mereka ajar saya cara untuk isi minyak, cara lap dengan baik, kemudiannya baru mereka ajar cara untuk memutarkan engkol jam yang beratnya 400kg untuk minit dan 290kg untuk saat, ia perlu dibuat setiap dua hari sekali,” katanya lagi.

Atas rasa tanggung jawabnya itu, beliau meminta keluarganya memahami untuk tidak merancang percutian dalam tempoh yang lama, apatah lagi melancong ke luar negara.

Malah ada masanya meskipun sedang bercuti, Kunasegaran sentiasa berada dalam keadaan “sedia” untuk dipanggil bekerja pada bila-bila masa.

“Mereka pernah panggil saya bekerja pukul 12 malam, saya tetap datang, sebab saya fikir untuk menolong mereka sahaja,” katanya lagi.

Khidmat beliau berlanjutan sehingga 42 tahun tanpa sebarang kenaikan pangkat.

Dalam pada itu, beliau juga berusaha sendiri untuk mendapatkan rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 2014 di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR), namun sehingga kini masih tiada keputusan diberikan.

Katanya, DBKL pernah memberi respons untuk mempertimbangkan permohonannya namun senyap sehingga kini tiada perkembangan.

“Sekarang saya duduk menumpang di rumah anak di Genting Klang, saya sendiri malu, bekerja bersungguh-sungguh untuk negara tetapi saya minta sedikit sahaja dari mereka, mereka pun tidak boleh beri pada saya.

“Dengan nilai pencen RM1,650 yang saya terima setiap bulan, jika nak sewa rumah paling murah di Kuala Lumpur ini RM1,000, memang tidak cukup untuk tampung perbelanjaan saya sekeluarga, apatah lagi bila sakit nanti,” ujarnya lagi.

http://bit.do/e83TR
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.