Polis Thai intip gerak-geri pelajar Muslim di universiti

Polis Thai intip gerak-geri pelajar Muslim di universiti
FOTO: Creative Commons

 

BANGKOK – Kumpulan pelajar Muslim Thai menggesa polis supaya batal arahan yang minta pihak universiti serahkan maklumat risikan mengenai pelajar Muslim dan kegiatan mereka.

Umat Islam membentuk kumpulan agama kedua paling ramai di Thailand, negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Sebahagian besar mereka merupakan etnik Melayu.

Kebanyakan menetap di tiga wilayah bahagian selatan negara itu bersempadan Malaysia yang dilanda konflik antara kumpulan pemisah Melayu-Islam dengan pihak berkuasa sejak 2004.

Pelbagai badan hak asasi manusia sudah lama dakwa kerajaan Thai bertindak keras terhadap masyarakat majoriti Melayu-Islam di wilayah itu, yang kini di bawah pemerintahan tentera.

Minggu lalu, Biro Cawangan Khas Polis Diraja Thailand mengeluarkan arahan seluruh negara yang wajibkan pihak universiti menyerahkan “maklumat risikan” berhubung pelajar Muslim.

Ini termasuk segala kegiatan luar kelas mereka semasa di sekolah, menurut jurucakap polis Krissana Pattanacharoean sambil merujuk kepada keprihatinan terhadap “isu keselamatan”.

Berita tersebut cetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat dan Persekutuan Pelajar Islam Thailand yang menyeru parlimen negara itu supaya segera “batalkan” permintaan pihak polis.

Arahan Jabatan Khas Polis tersebut “adalah satu bentuk diskriminasi yang jelas melanggar perlembagaan Thailand sendiri,” kata presidennya, Ashraf Awae, di luar bangunan parlimen.

“Tuduhan tidak berasas sedemikian… boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan pelajar Islam dan yang lain dalam universiti serta masyarakat,” jelas beliau dipetik media tempatan.

Ashraf menambah persekutuan itu sudah dimaklumkan tentang pihak polis meminta maklumat berhubung beberapa kumpulan pelajar Islam dari sekurang-kurangnya tiga universiti utama.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha namun mempertahankan Jabatan Khas dan menafikan bahawa “pangkalan data” itu merupakan satu pencabulan terhadap hak asasi rakyat.

“Kita (kerajaan Thailand) tidak boleh memberkas sesiapa jika mereka memang tidak melakukan apa-apa kesalahan,” terang beliau kepada para wartawan di ibu negara semalam.

Sokongan Prayut menunjukkan “trend membimbangkan mengenai peningkatan Islamofobia di Thailand” kata Sunai Phasuk dari badan hak asasi terkenal antarabangsa, Human Rights Watch.

“Ini diskriminasi yang disokong kerajaan,” menurut beliau sambil tambah bahawa perlembagaan Thai secara khusus larang sebarang bentuk terhadap kumpulan agama dan etnik yang berbeza.

“Ia boleh mencetuskan radikalisme di selatan dan memburukkan konflik,” tambah Sunai lagi yang merujuk Prayut, seorang mantan jeneral, menerajui rampasan kuasa tentera pada 2014.

Beliau memimpin rejim junta selama lima tahun sebelum dilantik sebagai perdana menteri pada Mac lalu. Di bawah kepimpinan Prayut sebagai ketua junta, polis sudah menangkap 50 Muslim.

Kebanyakannya mahasiswa universiti dalam satu operasi pada Oktober 2016 yang menurut pihak berkuasa penting untuk mematahkan pakatan untuk lancarkan serangan bom kereta.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.