Projek di Tunjong bukan runding terus – PM

"Ini adalah projek dalam pelaksanaan, apa yang saya nyatakan (melalui surat) jika syarikat itu bersedia untuk mengurangkan kos dan jika ia projek dalam pelaksanaan, ini bukan rundingan terus."

Projek di Tunjong bukan runding terus – PM
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah Siri 10 Bilangan 5 di Bangunan Perdana Putra. Hadir sama Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim (kiri) serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ismail Bakar. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR.

 

PUTRAJAYA — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dakwaan berhubung kerajaan menganugerahkan sebuah projek di Tunjong, Kelantan secara rundingan terus adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, projek pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu itu adalah projek yang kini dalam pelaksanaan.

“Ini adalah projek dalam pelaksanaan, apa yang saya nyatakan (melalui surat) jika syarikat itu bersedia untuk mengurangkan kos dan jika ia projek dalam pelaksanaan, ini bukan rundingan terus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 10 Bilangan 5 Tahun 2019 di sini, hari ini.

Perdana Menteri mengulas mengenai sepucuk surat didakwa mempunyai kaitan dengan penganugerahan projek secara rundingan terus diberi kepada sebuah syarikat untuk pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu di Tunjong bernilai RM450 juta yang tersebar di media sosial.

Sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, beliau akan meneliti dakwaan berhubung penganugerahan projek itu kerana beliau tidak pernah meluluskan projek secara rundingan terus sejak mengambil alih kerajaan.

Pada Januari tahun lalu, media melaporkan kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM530 juta untuk pembinaan Bangunan Gunasama di Tunjong, Kelantan.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan Kelantan ketika itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, bangunan berkenaan akan menempatkan kira-kira 2,000 penjawat awam dengan pelbagai kemudahan termasuk 1,000 ruang tempat letak kereta.

-NSTP
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.