Sinar baharu buat penggiat seni

Bukan mudah untuk mengatasi masalah yang menjadi tabu dalam industri seni tanah air terutama yang membabitkan bayaran kepada pekerja di belakang tabir.

Sinar baharu buat penggiat seni
Oleh MUZLINA ABU BAKAR

 

WALAUPUN baru empat bulan menduduki ‘kerusi panas’ sebagai Pengerusi FINAS, namun kehadirannya diharap dapat membantu para penggiat seni tanah air.

Bukan mudah untuk mengatasi masalah yang menjadi tabu dalam industri seni tanah air terutama yang membabitkan bayaran kepada pekerja di belakang tabir.

Namun bagi Datuk Gerald Hans Isaac atau lebih dikenali Hans Isaac, hasratnya untuk membantu para penggiat seni sama ada artis atau kru di belakang tabir tidak pernah berubah.

Berbekalkan pengalamannya sebagai orang seni, beliau mendasari masalah tersebut malah berharap apa yang dirancangkan akan menjadi kenyataan demi membantu menaikkan taraf kehidupan mereka yang selama ini mewarnai dunia seni.

Biarpun ada kata-kata sumbang mengenai idea memperkenalkan EPF dan Perkeso untuk para penggiat seni, namun beliau yakin ia akan menjadi kenyataan demi mewujudkan industri yang profesional.

Mulai Januari 2020, setiap penggiat seni sama ada pelakon, kru produksi dan kru teknikal akan menerima manfaat tersebut bergantung kepada gaji dan polisi insurans mereka.

Caruman akan dibuat oleh majikan iaitu penerbit dan mekanisme pembayarannya ialah penerbit wajib membuat pemotongan bayaran kepada mereka yang mendapat gaji RM1,100 sebulan.

“EPF dan Perkeso adalah keperluan bagi setiap pekerja. Walaupun sumbangannya sedikit tetapi jika sesuatu terjadi mereka ada jaminan dan juga untuk hari tua mereka.

“Apa yang saya katakan ini bukanlah angan-angan kerana sejak dilantik sebagai Pengerusi FINAS empat bulan lalu, saya bersama CEO, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan ahli lembaga pengarah yang lain telah berbincang demi merealisasikan manifesto yang telah dibentangkan,” kata Hans Isaac yang dilantik sebagai Pengerusi FINAS pada 8 April lalu, ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut beliau, melalui perbincangan dengan Media Prima dan Astro, kedua-duanya bersetuju memberi kerjasama demi membangunkan industri ini.

Menyentuh tentang RTM dalam membantu merealisasikan manifesto ini, Hans memberitahu pihaknya masih berbincang dengan RTM dalam menyentuh pindaan penambahan bajet sesebuah drama.

Adalah difahamkan, Media Prima dan Astro setuju membayar ekstra sebanyak tujuh peratus daripada 50 peratus jumlah bayaran untuk sesebuah Cerekarama atau Telemovie untuk meringankan beban penerbit.

“Andainya sebuah Cerekarama atau Telemovie akan dibayar RM100,000 ini bermakna pihak stesen TV akan membayar ekstra tujuh peratus daripada RM50,000 kos untuk penggiat seni,” jelas Hans.

Bukan itu sahaja, malah jika selama ini kontrak hanya memihak kepada pihak stesen TV sahaja tetapi bermula Januari depan, pihak penerbit berhak memberi pandangan atau tambahan terma dalam kontrak terutama apabila menyentuh soal bayaran pelakon utama yang terlalu tinggi.

“Sebagai penerbit, dalam tambahan terma mereka berhak menyatakan berapa bayaran pelakon utama lelaki atau perempuan pilihan pihak stesen TV yang mereka sanggup bayar.

“Jika bayaran yang diminta pelakon berkenaan terlalu tinggi sampai RM15,000 dan RM20,000 untuk penggambaran selama tujuh atau lapan hari dan pihak stesen TV tetap dengan pendirian mereka, penerbit berhak menolak.

“Saya tahu jika Penerbit A tolak mungkin Penerbit B sanggupmengikut kehendak stesen TV demi mengejar projek. Tetapi bagi saya pihak penerbit haruslah bersatu hati demi kebaikan bersama,” tegas Hans.

Menyentuh mengenai Perkeso, sebelum memohon Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) pihak penerbit haruslah membayar polisi insurans RM13.10 seorang kepada setiap penggiat seni yang terlibat untuk melindungi mereka 24 jam sehari selama tempoh sebulan.

Hans yakin dengan terlaksananya manifesto yang dibentangkan oleh FINAS, ia bukan sahaja mampu mewujudkan industri
yang profesional malah dapat membantu penggiat seni memohon pinjaman bank untuk membeli rumah demi keselesaan hidup mereka.

Apabila ditanya manifesto yang menyentuh EPF, Hans menjelaskan, “Saya tahu artis veteran kita dan kru di belakang tabir tidak mempunyai simpanan, dengan adanya EPF ianya dapat menjamin masa depan mereka,” kata Hans yang mula mencarum EPF dan membayar Perkeso buat dirinya sendiri sejak lebih 20 tahun lalu.

Di samping menekankan tentang EPF dan Perkeso, manifesto itu juga akan menyentuh mengenai hak cipta sesebuah penerbitan drama yang kini dimilikki oleh pihak stesen TV buat selamanya.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Sinar baharu buat penggiat seni"

  1. herman farispetra9599  19/09/2019 at 12:02 pm

    Bila orang yang betul diletakkan di tempat yang betul, maka OUTCOME sudah sebetulnya BETUL

    Selamat menjalankan apa yang betul, Hans!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.