Wany Hasrita patuhi syarat Jamal Abdillah

Sudah lama Wany menyimpan hasrat untuk berduet dengan Jamal yang pertama kali beliau bertentang mata sewaktu mengadakan persembahan bersama ketika masih menuntut di Management & Science University (MSU) pada 2016.

Wany Hasrita patuhi syarat Jamal Abdillah
JAMAL Abdillah dan Wany Hasrita berduet lagu Belenggu Rindu.
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

ANTARA impian Wany Hasrita apabila memasuki industri hiburan tanah air adalah untuk berduet dengan penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah. Alhamdulillah, hasratnya itu telah terlaksana menerusi lagu Belenggu Rindu.

Lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang berentak pop kontemporari tradisional itu berjaya mendapat jumlah tontonan lebih satu juta dalam tempoh lima hari selepas dimuat naik pada 2 September lalu.

Jelas Wany, beliau yang minta dengan syarikat rakaman FMC untuk berduet dengan Jamal dan tak sangka penyanyi itu sedia menerima ‘lamaran’ daripadanya.

Sudah lama Wany menyimpan hasrat untuk berduet dengan Jamal yang pertama kali beliau bertentang mata sewaktu mengadakan persembahan bersama ketika masih menuntut di Management & Science University (MSU) pada 2016.

“Saya kenal Datuk lama. Tak tahulah sama ada dia ingat saya atau tidak. Pada 2016 di MSU, ada majlis makan malam depan tuanku canselor.

Kebetulan Datuk Jamal setiap tahun akan nyanyi dekat MSU.

“Saya buat persembahan sebagai pelajar. Jumpa sewaktu latihan, jadi saya tak lepaskan peluang bergambar dengan Datuk sebab kali pertama jumpa. Dari situlah saya sering jumpa beliau dalam industri sebab persembahan bersama. Setiap kali berjumpa sewaktu show, saya akan ingatkan dia. Sampai sekarang dia ingat sendiri,” cerita Wany tentang pertemuannya dengan Jamal.

Tambahnya, bermula dengan impian kecil iaitu dapat bergambar sama dan mengadakan persembahan di pentas yang sama pun sudah memadai. Namun, hasratnya itu menjadi semakin ‘tamak’ apabila mengidam untuk berduet pula.

Kata Wany, selepas bergelar artis beliau sering bertemu dengan Jamal dalam beberapa acara tapi tidak pernah berduet dan Belenggu Rindu merupakan duet pertama mereka.

“Saya selalu nyanyi lagu Datuk Jamal dulu antaranya, Di Sudut Kamar Hatiku, Rayuan Maut, Berdendang Dalam Tangisan. Dua tahun juga saya tunggu untuk berduet dengan Datuk Jamal.

“Tahun lepas bos FMC yang telefon Datuk Jamal. Bila saya pergi pejabat FMC, bos tanya betulkah nak berduet dengan Datuk Jamal? Saya kata betullah, tapi dia nak ke? Bos kata kita cuba dan selepas itu tak sangka Datuk setuju. Kemudian tugasan cari lagu pun bermula,” ceritanya.

Tambah Wany, sewaktu minta untuk berduet dengan Jamal, beliau tidak ada genre khusus yang bakal dirakam. Malah apabila mendapat lagu ciptaan Ezra dan Hael itu, beliau tidak membantah.

“Bab lagu, 100 peratus diserahkan kepada Ezra dan Hael kerana saya tahu mereka ada signature tersendiri. Apa saja lagu daripada mereka, saya cuba sesuaikan dengan vokal saya.

“Alhamdulillah, semua setuju dengan lagu itu. Saya jenis yang boleh bertolak ansur, asal key okey, saya boleh saja. Malah saya rasa bertuah dapat nyanyi lagu ini kerana selesa sangat waktu rakaman dan projek ini sangat sempurna bagi saya,” akuinya.

Biarpun rakaman lagu tersebut dibuat berasingan, Wany tidak kisah dan faham dengan kehendak Raja Pop itu. Baginya, untuk mencapai keserasian dengan Jamal bukanlah susah. Malah Wany menghormati permintaan Jamal yang mahu merakam lagu secara berasingan.

“Datuk nak rakam lagu bersama pun saya bersyukur.  Saya faham, setiap penyanyi ada cara tersendiri sewaktu rakaman. Ada orang suka rakam lagu dalam keadaan gelap.  Macam Datuk Jamal, dia suka buat rakaman tanpa ada orang selain sound engineer.

“Saya faham dan hormati pendirian beliau dan kami buat rakaman asing-asing. Sebenarnya tak susah pun nak capai keserasian itu. Tak semestinya nak dapat keserasian kita kena duduk sembang dan nyanyi sama-sama, disebabkan beliau itu Jamal Abdillah, tak ada masalah,” kata Wany.

Selain berduet dengan Jamal, impian lain yang sudah berjaya dilaksanakan Wany adalah menyanyikan lagu ciptaan Allahyarham Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd. Zain iaitu Ewah Ewah.
Beliau juga menyimpan impian untuk menyanyi lagu patriotik untuk Malaysia, secara solo atau berduet.
“Saya bukan nak nyanyi lagu patriotik yang betul-betul patriotik tapi kalau dapat nyanyi lagu rasmi memperkenalkan negara seperti Datuk Siti nyanyi lagu Cuti-Cuti Malaysia, itupun sudah cukup besar untuk saya,” kata Wany tentang impiannya itu.

Rakaman sendirian, syarat Jamal

Sementara itu, Jamal Abdillah berkata, beliau kenal Wany Hasrita sewaktu penyanyi itu masih lagi bergelar penuntut di MSU. Dari situ, beliau tahu lenggok dan patah nyanyian Wany selain menonton persembahan penyanyi itu dalam YouTube.

Jamal turut memuji nyanyian Wany yang mendendangkan lagu dendangannya dengan gaya tersendiri.

“Selepas saya tengok dalam YouTube, kebanyakan lagu saya dia nyanyi dengan baik mengikut caranya. Jadi di situ ada sedikit sebanyak minat ke arah yang sama. Saya lihat ramai penyanyi muda yang berpotensi tapi kerap kali kita merancang tapi tak menjadi.

“Tujuan utama saya berduet dengan artis muda adalah untuk memudahkan saya memasuki arena hiburan arus perdana sekarang. Saya sedar bahawa penyanyi veteran seperti saya ini bila berduet dengan artis baharu secara tak langsung saya masih berada di dalam industri ini,” katanya terus terang.

Bagaimanapun kata Jamal, sewaktu rakaman, beliau sudah memberi syarat kepada penyanyi tersebut dan Wany tidak membantah.

“Masa proses rakaman itu, saya ada satu syarat yang perlu dipenuhi oleh sound engineer dan komposer. Saya punya syarat utama, masa buat rakaman, saya tak mahu Wany ada atau orang lain juga selain sound engineer dan saya saja.

“Saya perlu fokus sebab dah lama tak buat rakaman, rasa gementar juga. Sebenarnya daripada dulu lagi, tiap kali buat rakaman saya tak pernah berduet dengan orang itu dalam satu studio, baik Siti Sarah, Francesca Peter dan Fauziah Ahmad Daud. Semua tak pernah bersama. Mereka buat bahagian mereka dan saya buat bahagian saya. Itu dah jadi kelaziman saya,” cerita Jamal tentang syaratnya sewaktu proses rakaman lagu.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.