‘Tiba masanya untuk Ombudsman Malaysia’

"Kalau hampir semua negara yang sudah matang boleh menerima peranan Ombudsman ini, saya kira masanya sudah tiba untuk ada di Parlimen Malaysia."

‘Tiba masanya untuk Ombudsman Malaysia’

SUDAH tiba masa untuk negara menubuhkan Ombudsman Malaysia yang berperanan sebagai pihak yang berkuasa dalam mendengar serta menyiasat salah laku pentadbiran, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Yusof.

Beliau berkata hampir semua negara di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi telah menerima peranan Ombudsman dan Malaysia juga perlu memiliki pembaharuan kepada suatu sistem yang lebih baik daripada yang sedia ada.

“Saya tidak boleh memberi komen lanjut kerana ia berkait soal polisi. Bagaimanapun ia terpulang kepada badan eksekutif untuk putuskan sama ada setuju dengan pembentukan Ombudsman ini.

“Namun, sudah tentulah kalau hampir semua negara yang sudah matang boleh menerima peranan Ombudsman ini, saya kira masanya sudah tiba untuk ada di Parlimen Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program ‘Speaker’s Lecture Series’ di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, malam tadi.

Program tersebut merupakan sesi perkongsian mengenai fungsi Ombudsman kepada sesebuah negara yang disampaikan Ketua Ombudsman New Zealand, Peter Boshier.

Mohamad Ariff berkata mengambil contoh di New Zealand, Ombudsman berperanan sebagai penyiasat serta penyelidik Parlimen yang mempunyai kuasa untuk mendengar sebarang masalah yang timbul berkenaan dengan salah laku pentadbiran.

“Ombudsman ini ialah seorang pegawai Parlimen. Mungkin konsepnya boleh diubah (sesuaikan) mengikut landskap sesebuah negara dan jika akan diwujudkan, sudah tentulah Rang Undang-Undang akan dibentang dan dibahas di Parlimen terlebih dahulu, apabila diluluskan barulah ia diimplementasikan,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi syarahan itu, Boshier berkata beliau gembira jika dapat memperluaskan hubungan Malaysia-New Zealand dengan idea pejabat Ombudsman.

“Saya teruja Malaysia meninjau untuk melaksanakan Ombudsman. Saya telah melihat bagaimana pelbagai model Ombudsman berfungsi, dan dalam semua kes, peranan utamanya adalah melindungi orang daripada pencabulan hak, penyalahgunaan kuasa dan salah urus pentadbiran.

“Ia diterima secara universal sebagai mekanisme penting dalam penambahbaikan pentadbiran awam,” katanya.

-Bernama
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.