[VIDEO] Nenek patahkan cubaan samun duit pencen di mesin ATM

[VIDEO] Nenek patahkan cubaan samun duit pencen di mesin ATM

SEKIRANYA wanita yang menghampiri warga emas, Doreen Jones, 81 tahun di depan sebuah mesin ATM menyangka mudah sangat untuk dia menyerang dan mencuri daripada nenek tua itu, sangkaannya salah sangat.

Sebuah kamera CCTV dapat merakamkan detik-detik sewaktu penyamun itu dikasari oleh Doreen yang kemudian berkata, “salah oranglah dia pilih kali ini.”

Nenek Doreen disasarkan sebagai mangsa oleh wanita itu di High Street, bandar Blackheath, West Midlands United Kingdom sewaktu dia sedang mengeluarkan duit pencennya daripada ATM sebuah cawangan Lloyds Bank.

Menurut Doreen seorang wanita menghampirinya sambil memegang sekeping kertas dan menunjuk ke mulutnya sebelum menerkam untuk mencuri duit yang keluar daripada mesin ATM.

Nenek yang sudah dua kali menjanda itu memberitahu BBC, “saya kenangkan betapa payahnya saya bekerja untuk mendapatkan duit itu…”

“Saya menarik keluar kad bank, masukkan ke dalam beg dan kemudian mencekak wanita itu dengan pantas.”

“Saya seterusnya mencengkam rambut dan kolar bajunya dan dia tiba-tiba menjerit – hairan juga kenapa dia yang menjerit, walhal saya yang sepatutnya berbuat demikian kerana saya mangsanya.”

“Apabila saya melepaskannya, dia terus lari.”

Tambah Doreen, “Dia tidak menyangka saya mampu bertindak begitu…dia ingat saya ni macam warga emas lain.”

Sebelum pencen nenek Doreen bekerja sebagai pengimpal selama lebih 13 tahun.

Serangan itu turut memberi kesan kepada dirinya dan sejurus selepas kejadian pekerja bank memanggil pasukan paramedik untuk bantuan kecemasan.

Sejak kejadian itu pada Mei lalu, Doreen telah mengalami dua serangan jantung yang dia syak ada kaitan dengan serangan tersebut.

Wanita yang menyerangnya masih belum dapat dikesan dan polis Midlands telah menyebarkan rakaman CCTV insiden berkenaan.

Polis juga percaya bahawa wanita penyerang itu mungkin mengandung pada waktu itu dan ini bermakna tubuhnya mungkin susut sekarang atau semakin membesar.

-BebasNews

 

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.