Harga taugeh melambung di Singapura

Taugeh yang sejak sekian lama antara sayuran paling murah kini berdepan dengan kepupusan di pasaraya dan pasar basah.

Harga taugeh melambung di Singapura
Oleh FETTY RARA

 

TIDAK ramai yang menyedari bahawa penduduk Singapura menggunakan kira-kira 40,000kg taugeh setiap hari atau 14,000 tan setahun.

Bagaimana pun sejak kebelakangan ini harga taugeh telah melonjak tinggi.

Di pasar basah harganya paling kurang S$1.50 sekilo berbanding hanya S$0.90 sekilo empat tahun lalu.

Ini bermakna sayuran tersebut mengalami kenaikan kira-kira 70 peratus, melebihi kadar inflasi pada tahun-tahun sebelum ini.

Para pembekal taugeh berkata punca kenaikan harga kerana kos pengeluaran seperti bayaran pekerja asing, minyak disel dan harga kacang hijau kini telah bertambah.

Tinjauan oleh Channel News Asia (CNA) mendapati oleh kerana setiap kali masak pengguna hanya mengambil segenggam dan harga barangan itu pula dianggap murah sejak begitu lama, maka itu ramai yang tidak perasan kenaikan harganya.

Tetapi, sebenarnya keadaan ini sudah agak lama disedari oleh penjual sayur yang mengendalikan jualan secara pukal.

Kira-kira 70 peratus taugeh yang dimakan oleh penduduk Singapura ditanam di republik itu.

Kebanyakan pekebun mendapatkan bekalan kacang hijau dari Myanmar, dan berikutan kenaikan harga mendadak pada 2015 kerana penghasilan merosot di India, pembekal di Myanmar lebih melayan permjntaan daripada India.

Oleh kerana itu harga kacang hijau naik hingga empat kali ganda.

Bila ini berlaku pembekal tidak lagi menjual kepada pasar basah dan pekebun tidak lagi mampu menyerap kos dan terpaksa menaikkan harga.

Akhirnya kenaikan harga ditanggung oleh pengguna.

Jika harga taugeh naik di pasar basah, harga di pasaraya lagi mahal. Kenapa?

Ini kerana pembekal tidak lagi menjual kepada pasar basah, sebaliknya lebih berbaloi menjual kepada pasaraya dan restoran.

Sedekad yang lalu taugeh diproses diladang sehari sebelum penghantaran dan kemudian dijual secara longgok di pasaraya macam di pasar basah mengikut keperluan pembeli.

Tetapi, di pasaraya banyak tangan seringkali menyebabkan taugeh yang dipamer rosak. Ini bermakna ia tidak dapat dijual dan terpaksa dibuang.

Melihat keadaan ini pembekal menjual taugeh yang dibungkus dalam plastik melalui kaedah pengurusan cold chain, iaitu sistem suhu produk yang terkawal dari sumber hingga kepada pengguna.

Dalam pada itu, penghantaran dibuat sepanjang hari dan tidak lagi hanya pada awal pagi.

Oleh itu, cara logistik sebegini telah banyak mempengaruhi kadar harga.

Selain kemudahan dan kesegaran, terdapat faktor lain yang mempengaruhi harga purata taugeh di pasaraya, iaitu kemunculan taugeh premium.

Jenis paling mahal ialah taugeh perak yang dijual pada harga S$1.25/145g atau S$8.60 sekilo.

Ini bermakna harganya enam kali ganda lebih tinggi daripada jenis yang dijual di pasar basah.

BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Harga taugeh melambung di Singapura"

  1. herman farispetra9599  22/09/2019 at 3:58 am

    Tanpa taugeh dalam char kuey teow seumpama tanpa radiator dalam kereta

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.