Musang King ke LA pula…

0
51

DURIAN Musang King yang mendapat sambutan penduduk China dijangka akan memenuhi ruang peniaga buah-buahan di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat sekurang-kurangnya dalam masa tiga tahun akan datang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, masyarakat Cina di LA mula menunjukkan minat terhadap durian Musang King.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya perlu memberikan tumpuan untuk memenuhi permintaan China terlebih dahulu sebelum mengeksportnya ke LA.

“Buat masa ini, kami menggalakkan pekebun menanam durian Musang King kerana ia mempunyai pasaran luas dan yakin dengan masa depan buah itu,” katanya bagi mengulas hasil lawatan tiga hari ke Wuhan, China untuk mempromosikan durian Musang King.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang di Taman Jaya, Pontian hari ini.

Menurutnya, kerajaan yakin pasaran durian Musang King mampu berkembang dan kini memberi tumpuan supaya mempunyai bekalan mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Katanya, semua pekebun juga perlu sentiasa peka dan memenuhi protokol ditetapkan untuk mengeksport durian termasuk mendapatkan Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) bagi mengelak buah yang dijual ditolak pihak berkuasa China.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan kementerian akan memberi insentif kepada pekebun sebagai galakan menanam durian Musang King yang banyak ditanam di Bentong dan Raub, Pahang; Segamat, Johor serta Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah, Kelantan.

Berdasarkan sambutan menggalakkan terhadap penanaman raja buah itu, katanya, pihaknya yakin sasaran menambah 50 peratus bekalan eksport durian Musang King mampu dicapai dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

https://www.hmetro.com.my/utama/2019/09/500189/musang-king-ke-la-pula
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here