Chandran-perginya kapten Olimpik Munich ’72 negara

0
63
CHANDRAN Mutveeran (kanan) diberikan tahniah oleh para peminat sekembalinya dari Seoul selepas membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 sebagai juara Kumpulan 2 Asia Kelayakan Olimpik 1971.
Oleh KAKI BANGKU

 

MENDIANG Datuk Chandran Mutveeran sentiasa sinonim dengan siri kejayaan tempatan dan antarabangsa setiap kali menyarung jersi pasukan Selangor mahupun Malaysia dari era 60-an hingga 70-an.

Pemergiannya buat selama-lamanya kira-kira pukul 7.30 pagi ini di Ampang Jaya, Selangor akibat gangguan saraf motorik, merupakan satu kehilangan besar buat bukan sahaja arena bola sepak negeri dan negara bahkan Asia.

Mendiang yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 77 tahun, meninggalkan seorang balu, Datin A. Pushpalatha dan dua anak lelaki – Kumarason dan Vicnaraj, masing-masing berusia 38 dan 36 tahun.

Bekas kapten dan jurulatih negara ini mencapai kemuncak kejayaanya apabila beraksi dalam Sukan Olimpik Munich 1972 dengan mengharungi tiga perlawanan Kumpulan A, menentang Jerman Barat, Amerika Syarikat dan Maghribi.

Bek tengah ini memimpin skuad negara pada 2 Oktober 1971 yang memastikan kemaraan sulung Malaysia ke Olimpik dengan menjuarai Kumpulan 2 Asia di malah tidak dibolosi selepas menewaskan Jepun 3-0, Korea Selatan 1-0, Taiwan 3-0 dan Filipina 5-0 di Seoul.

‘Chandran dan Co.’ disambut bagai wira negara oleh ribuan peminat tanah air sekembalinya dari Seoul di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Selangor. Antara rakan sepasukannya ialah Datuk Soh Chin Aun, Abd. Rahim Abdullah, Syed Ahmad Abu Bakar, Looi Loon Teik dan Wong Kam Fook.

CHANDRAN Mutveeran menjulang trofi Pestabola Merdeka 1973 selepas Malaysia menewaskan Kuwait 3-1.

Turut berada dalam koleksi anak jati Sungai Siput, Perak ini sepanjang 163 penampilan antarabangsanya ialah pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974, Piala Raja Thailand 1972 dan kejuaraan Pestabola Merdeka 1973.

Chandran juga mendapat penghormatan menganggotai pasukan Bintang-bintang Asia yang ditewaskan kelab England, Arsenal 6-2 dalam perlawanan persahabatan pada 1968 di samping Allahyarham Sardar Khan Hyder Khan, mendiang Chow Kwai Lam, mendiang Chinna Karuppan dan mendiang Foo Fook Chuan.

Dia kemudian menjadi jurulatih negara yang membawa Malaysia menewaskan Arsenal 2-0 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dengan jaringan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan seri 1-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 1975 menerusi gol Allahyarham Isa Bakar.

Beliau bersama-sama Sardar dan Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat turut membantu Selangor bergelar naib juara Kejohanan Kelab Juara-juara Asia 1967 selepas disekat kelab Israel, Hapoel Tel Aviv 2-1 pada perlawanan akhir di Bangkok, Thailand.

Lilitan kapten Malaysia berpindah ke lengan kiri Chandran pada 1970 ekoran pengunduran Allahyarham Abdullah Yeop Noordin selain mengetuai Selangor setahun sebelumnya hingga dia mengumumkan persaraan mulai 1974.

Dia yang mula mewakili Selangor pada 1963 juga telah memenangi Piala Malaysia tujuh kali (1963, 1966, 1968, 1969, 1971, 1972 dan 1973) sebelum beralih sebagai jurulatih skuad negeri itu selepas mengikuti kursus kejurulatihan dua bulan di England.

 

AKSI Chandran Mutveeran (kanan) ketika membantu Wong Kam Fook (jersi merah) mempertahankan gawang Malaysia ketika menentang Jerman Barat dalam Sukan Olimpik 1972 di Stadium Olimpik, Munich.

APA KATA MEREKA TENTANG MENDIANG

LIM HONG GUAN
Bekas penjaga gol Melaka, Selangor dan negara
“Mendiang merupakan jurulatih saya dalam skuad Malaysia B bagi Piala Raja Thailand pada 80-an, kemudiannya ketika saya menyertai Selangor pada 1983 hingga 1984 dan tempoh kedua, 1992. Dia seorang jurulatih yang amat dihormati. Paling ‘ menakutkan’ kami ialah berlatih di taman tasik di Carosa Sri Negara, Kuala Lumpur. Saya kehilangan seorang jurulatih dan rakan yang baik. Semoga mendiang bersemadi dengan aman dan takziah buat keluarganya.”

KAMARUDIN ABDULLAH
Bekas fulbek Selangor dan negara
“Saya pernah bermain bersamanya pada 1976 atau 1977. Beliau dipanggil oleh Allahyarham Datuk Harun Idris untuk kembali menyarung jersi Selangor setelah bersara. Dia seorang yg tidak banyak bercakap tetapi pemain sangat-sangat menghormatinya walaupun ada di antara pemain yang pernah bermain bersamanya seperti Datuk Soh Chin Aun. Namun begitu, beliau juga seorang yang tegas dan bersiplin.”

JASNI SHAFIE
Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM)
“Bola sepak Malaysia kehilangan sebutir mutiara yang pernah menyinari nama negara di pentas antarabangsa. Mendiang tidak lokek untuk berkongsi ilmu bola sepak kepada generasi baru biarpun sudah lama meninggalkan karier bola sepak selaku pemain. Sejak sekian lama beliau menjadi antara kombinasi pemain pelbagai kaum di atas dan luar padang. Sumbangannya lebih besar apabila berjaya menyatukan seluruh peminat bola sepak daripada pelbagai kaum di dalam sebuah stadium yang menyaksikan perlawanan dalam semangat harmoni.”

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here