Orang Utan dilindungi hak asasi manusia mula kehidupan baharu di Florida

0
28
Oleh YUSOFF AHMAD SHARIFF

 

SEEOKOR orang utan yang hidup selama 20 tahun di sebuah zoo di Argentina dipindahkan ke sebuah kawasan perlindungan haiwan di Amerika Syarikat setelah diiktiraf sebagai layak menikmati hak asasi manusia.

Peguambela yang mewakili orang utan bernama Sandra itu telah berjaya meyakinkan mahkamah dalam proses rayuan pada 2014 bahawa penahanan haiwan tersebut di Buenos Aires adalah salah di sisi undang-undang.

Menurut laporan BBC.com, dengan keputusan itu maka Sandra muncul sebagai makhluk “bukan manusia pertama di Argentina diberikan hak kebebasan.”

Orang Utan berusia 33 tahun itu tiba di Kansas semalam dan akan menjalani beberapa ujian sebelum dipindahkan ke kediaman baharunya di Florida.

Hakim Elena Liberatori yang menggantung potret Sandra di dinding pejabatnya memberitahu media beliau mahukan supaya keputusan mahkamah itu menyedarkan manusia bahawa “haiwan juga adalah makhluk yang mempunyai perasaan dan oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita menghormati mereka.”

Sandra dilahirkan di sebuah zoo di Jerman Timur (ketika itu) dan kemudian dijual kepada Buenos Aires pada 1995.

Sebahagian besar kehidupannya hanya berada dalam kurungan di mana dia sentiasa berusaha untuk tidak berdepan dengan manusia.

Sandra pernah melahirkan anak (betina) pada 1999, tetapi anaknya itu diambil dan dijual kepada sebuah taman haiwan di China.

Kemenangan kesnya di mahkamah menarik perhatian dunia dan kini menjadi duluan (precedent) bahawa monyet ditakrifkan seperti  manusia dan bukan harta benda.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here