Seekor lagi beruang madu diselamatkan oleh SFC

0
31
FOTO: Sabah Forestry Corporation.

 

KUCHING — Seekor lagi beruang madu, yang dijadikan haiwan peliharaan di sebuah rumah ladang dekat Kampung Rasau, Serian diselamatkan selepas mendapat maklumat daripada orang awam yang prihatin.

Ini adalah beruang madu yang kedua diselamatkan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zolkipli Mohamad Aton berkata, beruang itu yang didakwa dalam penjagaan pemilik berlesen itu sejak 20 tahun lepas, kini dihantar ke Pusat Hidupan Liar Matang di sini untuk pemeriksaan perubatan.

Beliau berkata, walaupun pemiliknya mempunyai lesen yang sah daripada Jabatan Perhutanan Sarawak bagi Kawalan Hidupan Liar, namun beliau didapati melanggari beberapa syarat termasuk mengurung beruang itu dalam sangkar yang kecil.

“Selepas menjelaskan syarat berkenaan kepada pemilik berkenaan, beliau sanggup menyerahkan beruang madu itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zolkipli berkata, beruang madu itu dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998, di mana membunuh, menyimpan, menjual, membeli binatang itu atau hasil daripada haiwan itu dilarang oleh undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara satu tahun dan denda RM10,000.

“Ini adalah komitmen kami bagi meningkatkan usaha kami menangani perdagangan hidupan liar secara haram dan menghapuskan jenayah hidupan liar.

“Kita akan meneruskan tindakan bagi menghapuskan pemburuan dan pengedaran haram spesies flora dan fauna yang dilindungi di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, SFC juga melahirkan rasa terima kasih kepada orang ramai yang membantu pihak berkuasa dalam membendung perdagangan haram hidupan liar serta pembalakan haram di Sarawak.

Orang awam boleh membuat aduan kepada SFC atau Jabatan Perhutanan sekiranya mendapati seseorang menyimpan atau menjual haiwan yang dilindungi menerusi talian SFC 016-8565564/019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8223449/019-8332737 (Bintulu) and 019-8290994/018-9799778 (Miri).

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here