Irfan Haris reda, Tam Spider kedekut markah

Irfan Haris reda, Tam Spider kedekut markah
DARI kiri, Han Byul, Neeta, Irfan Haris, Dinda Permata dan Adzrin bakal bersaing di final Big Stage, 6 Oktober ini.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

SEWAKTU namanya diumumkan antara tiga peserta yang menduduki tangga ke bawah, Irfan Haris berkata yang beliau reda dan menerima sebarang keputusan dengan hati terbuka kerana percaya rezeki ditentukan Allah.

Mungkin telah ditakdirkan rezekinya layak untuk ke pusingan akhir pertandingan Big Stage bersama Neeta, Han Byul, Adzrin dan Dinda Permata. Sebaliknya, perjuangan Kucaimars dan Fieya Julia terhenti di situ saja.

Berkongsi debarannya ketika itu kata Irfan, beliau hanya mampu berserah kepada Allah biarpun hasrat untuk ke pusingan akhir tak pernah padam.
“Bila nama diumumkan masuk bottom 3, saya dah reda. Waktu itu saya hanya mampu selawat saja dan fikir kalau ada rezeki, adalah. Sebab itu, bila saya diumumkan masuk final rasa macam tak percaya. Apapun saya bersyukur.

“Masa Tok Ti (Datuk Seri Siti Nurhaliza) komen persembahan saya untuk lagu kedua, Bukan Diriku ada peningkatan, saya dah cukup gembira. Untuk final nanti saya akan nyanyikan satu lagu slow dan satu lagu rancak. Saya cuma nak enjoy waktu buat persembahan di atas pentas nanti sebab itu yang terakhir,” jelasnya.

Irfan boleh dikatakan beruntung kerana undian atas talian yang diperolehnya adalah sebanyak 18.36 peratus lebih tinggi daripada peserta lain dan markah tersebut membantunya untuk tidak tersingkir.

Beliau yang turut bergandingan dengan kakaknya, Amira Othman untuk lagu Keliru berkata, selepas selesai Big Stage, beliau akan meneruskan pengajian di KDU University College, Glenmarie untuk Diploma in Performing Arts pada November ini.

DARI kiri, Judika, Siti Nurhaliza dan Tam Spider yang menjadi juri peringkat semi final Big Stage.

“Saya dapat biasiswa yang ditawarkan untuk artis dan alhamdulillah, rezeki. Patutnya masuk September baru-baru ni tapi saya minta tangguh sebab Big Stage. Mama yang suruh saya sambung belajar.

“Bila saya belajar nanti, ibu bapa akan turut berpindah ke Kuala Lumpur, jadi dapatlah saya fokuskan kepada pengajian dan kerjaya,” katanya yang popular dengan lagu Redha itu.
 
Tam Spider kedekut markah

Sementara itu, juri jemputan Tam Spider mempunyai sebab tersendiri kenapa markah yang diberi kepada peserta semi final Big Stage rendah berbanding markah yang diberikan oleh juri tetap Siti Nurhaliza dan Judika.

Jelas vokalis kumpulan Spider itu, beliau menilai dari sudut vokal dan pesembahan. Pada pandangannya persembahan peserta pada malam itu tidak mencapai piawaian yang dikehendakinya.

“Saya memberi berdasarkan vokal dan persembahan. Saya tak nampak persembahan yang betul-betul outstanding mengikut penilaian saya. Pada saya, mereka semua penyanyi sudah pasti saya mengharapkan yang lebih baik daripada itu.

IRFAN Haris berduet dengan kakaknya, Amira Othman untuk lagu Keliru.

“Markah tertinggi yang saya beri adalah pada dua peserta yang teratas iaitu Neeta dan Han Byul. Saya nampak Neeta ada potensi yang baik dan saya lihat dia ada banyak peningkatan dari awal ceburi bidang ini hingga kini.

Bagi Siti Nurhaliza pula, secara jujur beliau bersetuju dengan pemilihan kelima-lima peserta tersebut ke peringkat akhir.

“Kalau ikutkan kepada perbincanga dengan Astro, memang mereka inginkan lima peserta. Namun semuanya bergantung kepada persembahan pada malam semi final.

“Kita sendiri dapat melihat prestasi lima orang yang terpilih itu. Yang terkeluar pula memang mengikut kepada prestasi persembahan yang telah dipersembahkan kepada kita semua,’ jelasnya.

Penyanyi itu turut mengingatkan finalis bahawa saingan amat sengit untuk peringkat akhir. Malah beliau juga berharap peserta negara dapat memberi tentangan hebat kepada Han Byul dari Korea Selatan dan Dinda Permata, peserta Indonesia.

“Peserta Malaysia sila beri tentangan yang hebat kepada Hanybul dan Dinda Permata kerana bagi saya sehingga ke semi final yang kita nampak ada wow adalah Han Byul dan Neeta.

“Lagu memainkan peranan sangat penting sewaktu bertanding dan selebihnya kreativiti dan vokal yang anda persembahkan. Gunakan seminggu ini untuk belajar apa yang perlu diperbaiki dan mana yang nak ditonjolkan.”

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.