PPZ-MAIWP serah Sijil Pembayar Zakat Korporat pertama kepada McDonald’s Malaysia

McDonald's Malaysia terus hulur bantuan kepada komuniti-komuniti seluruh Malaysia menerusi bayaran zakat korporat berjumlah RM1.4 juta pada tahun 2019

PPZ-MAIWP serah Sijil Pembayar Zakat Korporat pertama kepada McDonald’s Malaysia

PUTRAJAYA – Buat pertama kalinya, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengeluarkan sijil akuan kepada syarikat-syarikat perniagaan di Malaysia yang membayar Zakat korporat mereka di Wilayah Persekutuan.

Penerima pertama ialah syarikat Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., pengendali tempatan McDonald’s Malaysia.

Menurut syarikat itu sijil berkenaan akan dipamerkan di lebih 40 restoran McDonald’s di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut McDonald’s Malaysia membayar Zakat korporat setelah pemerolehan syarikat oleh Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi, pada 1 Disember 2016.

Pengarah Kanan Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi, syarikat itu telah membayar zakat berjumlah RM1.4 juta pada 2019. Jumlah tersebut akan diagihkan secara rata kesemua 14 negeri, termasuk Wilayah Persekutuan, yang akan disalurkan kepada PPZ-MAIWP.

Beliau berkata zakat merupakan kewajipan yang dituntut Islam, dan sijil baharu yang diterima itu secara tidak langsung memberi pencerahan kepada pengguna tentang urus niaga syarikat. Ia seterusnya memudahkan mereka membuat keputusan yang lebih baik ke atas kedai atau tempat yang di kunjungi.

“Kami berharap melalui sijil ini, kami dapat menggalakkan lebih banyak syarikat perniagaan untuk membayar Zakat. Matlamat kami adalah untuk mengutip zakat sebanyak RM1 bilion pada tahun 2023. Ini adalah antara langkah yang sedang kami lakukan dalam usaha kami mencapai sasaran tersebut,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff.

Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata,”Sijil Pembayar Zakat Korporat ini memberi nilai tambah kepada Pensijilan Halal sedia ada yang dimiliki syarikat, di mana ia bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pilihan mereka setiap hari.”

“Kami gembira PPZ-MAIWP mengambil inisiatif memperkenalkan pensijilan ini, dan tidak mustahil usaha ini akan turut diikuti oleh pihak berkuasa Zakat di negeri-negeri lain di Malaysia. Lebih membanggakan lagi, jenama global seperti McDonald’s Malaysia, sangat menyokong, dan komited terhadap kewajipan berzakat ini,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, McDonald’s dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata syarikat tersebut menggalakkan golongan belia, khususnya daripada keluarga asnaf untuk menjalani Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s.

Buat masa ini, pihak syarikat membiayai 30 anak asnaf untuk menjalani SLDN McDonald’s yang melibatkan latihan secara praktikal dan teori selama 18 bulan.

Sebaik tamat program, mereka akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Selain itu, McDonald’s Malaysia juga memperkenalkan Program Perantisan Pengurusan yang menyasarkan golongan belia lepasan universiti dalam kategori B40, untuk memulakan kerjaya di McDonald’s sebaik sahaja tamat pengajian. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.maukerja.my/mcd/.

-BebasNews

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.