Darling utamakan sikap pelakon

Darling utamakan sikap pelakon

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MULAI hari ini (3 Oktober) filem pertama terbitan NS Star Sdn. Bhd., Hero: Jangan Bikin Panas ditayangkan di lebih 66 buah pawagam di seluruh negara. Filem arahan Azizi Adnan itu diangkat daripada drama Hero yang diterbitkan pada 2016.

Bagaimanapun Hero: Jangan Bikin Panas bukanlah kesinambungan kepada drama arahan Bade Azmi, sebaliknya ia merupakan idea baharu daripada penulis skrip Akbar Hashim dan Azizi.

Menurut penerbit, Darling atau Nasreen Ngasri, untuk filem tersebut beliau telah mengeluarkan kos sebanyak RM2 juta termasuklah bajet untuk imej janaan computer (CGI).

Bercerita tentang pengalaman pertamanya sebagai penerbit filem, jelas Darling beliau tidak dapat tidur nyenyak selama sebulan memikirkan tentang perjalanan filem tersebut.

Darling(berdiri tengah) bersama barisan pelakon Hero: Jangan Bikin Panas yang akan temui peminat di beberapa lokasi terpilih.

“Memandangkan ini filem pertama terbitan NS Star Sdn. Bhd., tak tidur malam saya dibuatnya. Dalam tempoh sebulan itu, macam-macam yang difikir, apa nak jadi, kenapa bajet macam ni dan sebagainya.

“Ini satu pengalaman baharu dan bagus untuk saya. Saya belajar banyak perkara. Pastinya kalau buat filem akan datang lebih baik daripada yang ini sebab saya sudah timba pengalaman,” katanya terus terang.

Biarpun sudah biasa menerbitkan drama namun Darling tahu beliau akan berhadapan dengan pengalaman yang berbeza bila menerbit filem.
Untuk memastikan proses pembikinan filem tersebut berjalan lancar beliau lebih mengutamakan sikap pelakon daripada populariti.

“Kuasa menentukan pelakon terletak di tangan saya dan pengarah. Saya pernah menghasilkan drama berkaitan ahli bomba jadi saya tahu kesukarannya. Filem ini memang leceh dan ada adegan malam, bergaduh dan mengambil masa yang lama untuk penggambaran.

Hisyam Hamid melakonkan watak Zafrul seorang yang kalut dalam filem Hero: Jangan Bikin Panas.

“Sebab itu, kriteria utama saya adalah mencari pelakon berdasarkan sikap. Tak kisahlah nak kata apa, asal senang kerja. Itu yang saya periksa latar belakang pelakon. Untuk watak hero, saya dapat respon ramai yang kata Hisyam Hamid sesuai sebab disiplin dia bagus. Lagipun dia bekas bomba, jadi sesuai sangatlah watak Zafrul untuk dia,” jelasnya.

Bukan setakat menitik berat soal sikap, Darling juga mengambil kira soal indeks jisim badan (BMI) untuk berlakon sebagai ahli bomba. Katanya, orang pertama yang beliau ambil tahu tentang BMI adalah abangnya, Bell yang melakonkan watak Amad Mastar.

“Saya risau tentang BMI Bell, takut tak lepas. Tak naklah orang kata tak ikut prosedur pula nanti. Selepas mengetahui ketinggian dan berat Bell, saya terus hantar kepada pegawai bomba dan tak sangka ngam-ngam saja.

“Dua tiga kali juga saya tanya pegawai bomba tu, dia kata lepas boleh jadi ahli bomba. Saya nak Bell berlakon, jadi kenalah periksa betul-betul sebab saya takut orang kecam,“katanya tentang filem Hero: Jangan Bikin Panas yang akan ditayangkan di Singapura mulai 10 Oktober ini.

Oleh kerana filem ini berkisar tentang kerjaya ahli bomba, dari awal pembikinan lagi Darling sudah bekerjasama dengan jabatan bomba. Beliau beruntung kerana mendapat kerjasama penuh daripada pegawai bomba.

Namun ada sedikit kekecewaan apabila, beliau terpaksa memotong hampir 40 peratus daripada adegan filem tersebut. Antara sebab kenapa ada adegan yang dipotong kerana durasinya terlalu panjang dan ada dialog yang sensitif.

“Pertama sebab durasi terlebih sangat, sampai tiga jam. Sebagai penerbit, memang saya kecewa sebab semua itu kos. Satu lagi saya potong sebab play safe kerana buat filem ni kita perlu melalui banyak proses.

“Mula-mula FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional), lepas tu LPF (Lembaga Penapis Filem) dan Jabatan Bomba. Alhamdulillah, saya tidak menghadapi masalah dengan Jabatan Bomba kerana saya bekerjasama dengan mereka sejak dari awal lagi,” jelasnya tentang filem aksi komedi itu.

Filem Hero: Jangan Bikin Panas mengangkat mesej keagamaan pengorbanan dan digarap  dengan aksi tangkas serta disuntik dengan elemen komedi bagi menghidupkan plot penceritaan.

Lain-lain pelakon yang menjayakan filem ini ialah Mark Adam sebagai Adam Fanifinali, Elisya Sandha (Amylia), Tash Yong (Suraya), Datuk Jalaluddin Hassan (Master Samiri), Shaharugdin Thamby (Don Shah) dan Riz Amin (Tuan Nazri).

Sementara itu, bagi memeriahkan lagi tayangan filem ini, 120 keping tiket percuma ditawarkan kepada peminat bertuah yang mahu bertemu dengan  pelakon filem tersebut di pawagam terpilih.

Enam lokasi pawagam dipilih untuk sesi bertemu dengan pelakon yang bermula pada hari ini (3 Oktober) di Midvalley untuk tayangan pukul 7.40 malam dan 9 .50 malam. Barisan artis akan tiba pada pukul 9 malam.

Hari berikutnya untuk slot tayangan pukul 5.30 petang dan 9.45 malam, pelakon akan berada di Wangsa Walk pada pukul 9 malam.

Pada 5 Oktober pula, artis akan berkumpul pada pukul 5 petang di Bukit Raja dan tiket percuma untuk tayangan pukul 2 dan 6.30 petang. Hari yang sama juga promosi diteruskan di KLCC untuk tayangan pukul 6.40 petang dan 9 malam, artis pula hadir pukul 8.15 malam.

Seterusnya, pelakon Hero: Jangan Bikin Panas akan bertemu peminat di Alamanda Putrajaya pada pukul 1 petang, sebelum tayangan bermula pada pukul 2.15 petang dan 9.15 malam.

Promosi bertemu dengan peminat akan berakhir di MM2 e-Curve pada Ahad (6 Oktober) untuk tayangan pukul 3.45 petang dan 5.45 petang, sementara artis tiba di situ pada pukul 4.30 petang.

Untuk sesi bertemu pelakon filem ini, anda boleh WhatsApp ke https://api.whatsapp.com/send?phone=+60192811981  (Taip Free Darling Ngasri & Pilih Slot Cinema Anda) Maksimum dua tiket untuk satu nombor.
Bebasnews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.