Mentor Milenia mula cari bakat baharu   

Mentor Milenia mula cari bakat baharu   

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

AHAD (6 Oktober) ini akan bermula episod baharu program Mentor Milenia yang memasuki musim ketiga. Untuk episod pertama, akan dipaparkan rakaman suasana kira-kira 1,400 peserta yang pergi menjalani uji bakat di dua lokasi.

Uji bakat diadakan di Promenade Hotel, Kota Kinabalu, Sabah pada 3 dan 4 Ogos, sementara di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pula pada 24 dan 25 Ogos lalu.

Hanya 20 peserta yang dilihat berwibawa dipilih atas persetujuan kelima-lima mentor layak untuk menyertai program yang akan berlangsung selama 10 episod itu.

Menurut penerbit Mentor Milenia, Aeizul Reeza Ismail, bakat peserta yang dipilih itu dapat dilihat pada episod kedua dan ketiga nanti sebelum dipilih menjadi protégé kepada Akim, Black, Hazama, Ernie Zakri atau Stacy.

“Pada episod dua dan tiga nanti, hanya 10 saja layak untuk menjadi protégé setiap mentor yang mana mereka akan mempersembahkan lagu mengikut cara tersendiri sambil dibimbing oleh Ajai.

“Daripada persembahan tersebut, setiap mentor perlu memilih sekurang-kurangnya dua orang untuk dijadikan anak didik. Kali ini, kita bagi peluang pada mentor untuk buat pilihan selepas persembahan protégé. Dulu mentor pilih waktu uji bakat.

“Jika ada dua mentor berminat pada protégé yang sama, keputusan terletak kepada protégé untuk memilih mentor yang dia suka. Mentor boleh lobi tapi protégé yang buat pilihan,”jelasnya.

Penerbit Mentor Milenia, Aeizul Reeza Ismail.

Tambah Aeizul Reezal, untuk konsert mingguan kelak tidak akan ada tema tertentu bagi mengelak protégé terikat. Katanya, bila dibuatkan tema, sukar untuk dilihat kebolehan dan kelebihan sebenar protégé.

Meskipun program yang menampilkan bakat baharu ini waktu siarannya sama dengan program yang mengetengahkan penyanyi lama bersaing (Gegar Vaganza), katanya itu tidak menjadi masalah kerana selera penonton berbeza.

“Setiap program ada fokus audiens tersendiri. Mentor Milenia lebih kepada mencungkil bakat baharu dengan bimbingan lima mentor yang nama masing-masing cukup kuat dalam industri.

“Lagipun selera orang berbeza dan Mentor Milenia dihasilkan untuk mencari barisan pelapis dalam industri muzik tanah air. Setiap tahun sambutan yang diberi amat menggalakkan,” katanya.

Program Mentor Milenia masih menampilkan Syuk dan Elly Mazlein sebagai pengacara, sementara juri tetap adalah Datuk Syafinaz Selamat dan Altimet.

Juara Mentor Milenia akan menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi. Malah diberi peluang menghasilkan single yang dicipta oleh komposer terkenal beserta dengan muzik video.

Malah lagu tersebut akan dijadikan runut bunyi untuk drama yang bakal disiarkan di saluran TV3. Selain itu dibuat juga dokumentari perjalanan seni mereka dalam Mentor Milenia dan dimuat naik dalam saluran YouTube TV3.

Anak Nora Ariffin terpilih

Sementara itu, salah seorang daripada 20 peserta yang terpilih untuk menyertai Mentor Milenia adalah anak kepada penyanyi Nora Ariffin, Muhammad Syakir Alif Johan Nawawi atau Alif Johan.

Menurut Alif, 20, program Mentor Milenia adalah platform terbaik untuk beliau menunjukkan bakat dalam bidang seni bagi menyambung legasi seni dalam keluarga.

“Masa ibu tahu saya nak sertai program ini, dia tanya saya mampukah menghadapi segala dugaan sebab berdasarkan pengalamannya menyertai program realiti sebelum ini.

“Bila saya sudah buat keputusan, itu bermakna saya bersedia untuk menghadapi apa saja dugaan. Malah saya juga tidak kisah jika dipilih menjadi protégé kepada siapa, tapi kalau ikutkan genre muzik saya, pop balada mungkin lebih kepada Hazama atau Ernie,”katanya terus terang.

Dalam waktu yang sama Alif mengakui yang beliau memikul tanggngjawab berat sebab membawa nama ibu, seorang penyanyi dan arwah ayah, komposer terkenal.

“Lepas ni kalau ibu saya sudah bersara siapa yang nak bawa nama arwah ayah dalam industri muzik. Biar saya cuba mana tahu ada rezeki saya. Program ini menjadi titk permulaan untuk saya mencuba nasib.

“Dulu waktu umur 14 tahun saya pernah menyertai program Pop Crew tapi ini adalah penyertaan solo yang besar untuk saya. Ada yang kata saya berjaya menjadi 20 peserta terpilih sebab guna orang dalam.

“Sebenarnya sama saja, saya beratur macam orang lain juga. Memang terasa tekanan sebab bila 20 orang berkumpul dan membuat latihan dengan pelbagai tonasi suara, terasa diri kecil saja.,” katanya yang berjanji akan membuat persembahan terbaik.

Tambah Alif, antara pesan  ibunya adalah jangan melayan komen-komen netizen dan perlu buat latihan selalu serta elak minum minuman ais.
“Ibu pesan kena kuat dari segi fizikal. Dia sokong saya tapi dalam waktu yang sama ibu takut saya kecewa. Saya bersedia menghadapi segala dugaan. Masa saya tengok Stacy muat naik pasal Mentor ini, saya terfikir kena buat sesuatu dengan berat badan saya.

“Dulu berat saya 130 kilogram (kg) dan sekarang 96 kg. Untuk mengurangkan berat badan saya telah menjalani pembedahan. Selain untuk menyertai program ini, pembedahan itu dibuat demi kesihatan saya. Ini pun ibu kata kena turunkan lagi,” katanya yang merupakan pelajar UiTM, Puncak Alam, Shah Alam.-Bebasnews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.