Laksana semula GST tebus maruah BN, bukan Najib, kata penganalisis

Laksana semula GST tebus maruah BN, bukan Najib, kata penganalisis

GESAAN supaya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan semula boleh menebus maruah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, kata penganalisis, berikutan sokongan ahli akademik dan pengeluar terhadap sistem cukai yang dimansuhkan itu.

Bagaimanapun kata penganalisis, langkah itu tidak akan memberi kesan sama ke atas Najib Razak, yang kini berdepan pendakwaan berhubung skandal melibatkan 1MDB.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, beliau tidak menjangka sokongan orang ramai kepada bekas perdana menteri itu akan bertambah kerana kesan kes 1MDB di peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

“Dari segi politik, ia akan memulihkan imej BN, yang sebelum ini sangat terkesan oleh isu besar seperti 1MDB, Tabung Haji dan sebagainya. Bagaimanapun sokongan kepada Najib tidak akan berubah banyak kerana beliau kini berdepan kes yang begitu besar di mahkamah.

AWANG Azmat Pawi.

“Skandal 1MDB dilaporkan oleh media sebagai salah satu skandal paling besar di dunia dengan jejak wangnya diikuti oleh penyiasat antarabangsa,” katanya kepada FMT.

Katanya, kegagalan Najib memberi perhatian kepada sentimen rakyat menyebabkan BN kalah pilihan raya umum lepas.

Selain itu kata beliau, salah satu kesilapan gabungan politik berkenaan ialah langkahnya memperkenalkan GST pada kadar tinggi enam peratus sedangkan rakyat tidak memahami faedah sistem cukai itu dalam konteks pembangunan negara.

“Sepatutnya, pada peringkat permulaan ia diperkenalkan pada kadar tiga peratus dan menaikkannya selepas itu apabila rakyat memahami kepentingannya.”

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia bersetuju dengan berkata, kes 1MDB akan terus membelenggu Najib, sementara gesaan supaya GST diperkenalkan semula akan menguntungkan Umno.

Bagaimanapun beliau menjangka Najib akan memanfaatkan isu tersebut sebagai senjata politik terhadap Pakatan Harapan (PH), selain terus menampakkan pengaruhnya.

AZMI Hassan.

“Sudah pasti Najib akan menggunakan isu ini untuk menunjukkan betapa tepatnya dasar GST beliau, dan akan terus menegaskan bahawa PH menang menerusi tipu helah dan pembohongan.

“Tetapi saya fikir ia lebih memberi manfaat kepada Umno berbanding dirinya sendiri,” kata Azmi kepada FMT.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania memberitahu FMT bahawa BN akan mendapat manfaat daripada isu GST dengan berkata, kedua-duanya sentiasa berkait rapat.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa ia merupakan “kemenangan” di pihak bekas perdana menteri itu.

“Najib berdepan banyak perkara lain yang lebih besar,” katanya merujuk kepada perbicaraan kes 1MDB yang sedang berjalan.

“Walau apapun, Najib memperkenalkan GST sebahagiannya kerana beliau membelanjakan terlampau banyak wang dan perbendaharaan negara kekeringan wang. Beliau menggunakan pinjaman luar dan bayaran faedah 1MDB.”

Awal minggu ini, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menggesa Putrajaya supaya memperkenalkan semula GST dalam Belanjawan 2020 pada kadar lebih rendah tiga peratus dengan berkata, cukai itu membantu kewangan kerajaan apabila harga minyak mentah jatuh ke bawah AS$36 satu tong pada 2015.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, kerajaan bersedia menimbangkan pengenalan semula GST sekiranya “rakyat mahukannya”.

PENGENALAN semula GST tidak akan pulihkan sokongan kepada Najib yang berdepan pendakwaan melibatkan 1MDB.

Dalam pada itu Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Putrajaya perlu mendapat mandat jelas daripada rakyat sebelum mengambil langkah memulihkan semula sistem cukai itu.

Chin menolak komentar Mahathir itu dengan berkata, beliau berkemungkinan besar hanya berseloroh tentangnya.

Pakar ekonomi menyokong gesaan badan pemikir itu dengan berkata, sistem cukai tersebut lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan lebih mudah diikuti oleh syarikat perniagaan serta diurus oleh kerajaan.

Bekas timbalan menteri kewangan Ahmad Masalan mengalu-alukan cadangan itu dengan berkata, ia boleh membantu kerajaan mengurangkan pergantungan pada hasil minyak dan pinjaman asing.

https://bit.ly/30KBdmP
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.