Neeta rasa tertekan

Neeta rasa tertekan
NEETA mahu memberikan persembahan yang penuh nostalgia kepada penonton.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

SEJAK minggu pertama hingga semi final, persembahan Neeta Manisha dalam program realiti Big Stage sentiasa mendapat pujian juri dan penonton kerana beliau antara peserta yang konsisten.

Tidak mudah leka dengan pujian yang diberi, sebaliknya vokalis kumpulan Iamneeta itu hanya mahu menghibur orang ramai setiap kali tampil di pentas.

Kata Neeta, 25, beliau bangga kerana orang ramai yakin dan percaya dengan bakatnya. Biarpun ada ketikanya, beliau merasakan kepercayaan tersebut umpama satu tekanan kepadanya.

“Pertama sekali Neeta rasa bangga sebab ramai orang beri kepercayaan kepada Neeta. Perkara itu seperti satu tekanan yang baik. Bukan apa, bila merasakan diri menjadi perhatian ramai, kita akan berusaha untuk buat yang terbaik.

SAINGAN terdekat Neeta untuk final adalah Han Byul dari Korea Selatan.

“Setiap kali persembahan, Neeta perlu buat perancangan, selalu fikir penonton suka tak kalau Neeta buat begini atau begitu. Setakat ini apa yang Neeta buat mendapat maklum balas yang baik daripada penonton dan juri,” katanya tersenyum.

Jelas Neeta, biarpun mampu menghibur orang ramai namun setiap kali sebelum melangkah ke pentas Big Stage, beliau takut persembahannya itu tidak disukai oleh penyanyi asal.

Biarpun berdebar tapi kata Neeta, beliau sentiasa yakin dengan diri dan keyakinan itu menjadi lebih kuat apabila mendapat sokongan dariapda penonton.

“Neeta ni keyakinan diri biasa-biasa saja tapi disebabkan sokongan orang ramai, Neeta paksa diri untuk tonjolkan yang terbaik. Neeta kalau boleh tak nak hampakan orang yang menaruh harapan pada Neeta.

“Untuk persembahan final nanti, Neeta akan ikut nasihat Tok Ti (Datuk Seri Siti Nurhaliza) iaitu mata juga memain peranan penting dalam persembahan. Neeta akan berlatih di depan cermin untuk buat wajah gembira dan marah,” katanya.

Malam esok (6 Oktober) pada pukul 9 malam dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Neeta akan mendendangkan lagu baharu, Ruang Mimpi, ciptaan dan lirik oleh Becky Zulkepli untuk persembahan final. Sementara untuk tugasan kedua, Neeta memilih lagu rancak dendangan Whitney Houston, I Wanna Dance With Somebody.

“Lagu baharu berentak perlahan, jadi Neeta pilih lagu rancak untuk persembahan kedua. Neeta nak ajak penonton bergembira dengan lagu I Wanna Dance With Somebody yang dibuat susunan muzik lain. Neeta nak berikan persembahan yang mampu meninggalkan nostalgia kepada penonton sebab itu adalah persembahan terakhir dalam Big Stage.

“Sebagai peserta final, memanglah ada rasa sedikit tekanan sebab Neeta, Adzrin dan dan Irfan Haris bawa nama Malaysia. Kami perlu bersaing dengan Han Byul dari Korea Selatan dan Dinda Permata dari Indonesia. Apapun kami akan bersaing secara sihat,” katanya.

NEETA harap sokongan rakyat Malaysia untuk persembahan final Big Stage.

Tambahnya, apa saja keputusan nanti akan diterima dengan hati terbuka kerana beliau lebih mementingkan persembahan yang meninggalkan memori kepada penonton kerana momen itu akan diperkata sampai bila-bila.

“Apa yang terjadi nanti, bukan pilihan Neeta. Apa yang penting Neeta telah berikan persembahan yang terbaik. Neeta percaya ada kalanya bukan persembahan terbaik yang akan menang,

“Sebaliknya, persembahan yang meninggalkan kesan kepada penonton itulah yang lebih bermakna kerana ia akan diingati sampai bila-bila. Itulah matlamat Neeta iaitu meninggalkan memori indah kepada penonton sewaktu persembahan,” katanya.

Neeta yang bergerak solo sekarang berkata, beliau mendapat sokongan penuh daripada dua anggota Iamneeta iaitu Anas dan Patrick yang terikat dengan komitmen masing-masing.

“Untuk sekarang Neeta akan bergerak solo dan anggota lain masih sibuk dengan komitmen masing-masing. Mungkin lepas Patrick kahwin, kita akan kembali bersatu dan masih tak lengkap sepenuhnya kerana Anas masih di Rusia untuk beberapa tahun akan datang.

“Untuk masa ini Neeta nak bergerak solo pun rasa selesa sebab mendapat sokongan daripada anggota band yang lain. Anas walaupun waktu berbeza di Rusia dia masih tengok Big Stage. Mereka tahu apa yang Neeta buat ini adalah untuk muzik dan bukan untuk cari limelight. Saya rasa mereka gembira juga dapat melihat saya tonjolkan sisi baharu bila di pentas sebelum ini terbatas sikit,” katanya terus terang.

Neeta berharap apa yang dipelajari sewaktu bergerak solo ini boleh digunakan ketika bersama band terutamanya sewaktu mengadakan persembahan.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.