Garuda tinggalkan sarang GBK, pindah Bali

Garuda tinggalkan sarang GBK, pindah Bali
Oleh KAKI BANGKU

 

STADIUM Utama Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta yang selama ini ‘digeruni’ Harimau Malaya ternyata bukan lagi sarang kebal Sang Garuda Indonesia selepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 Kumpulan G.

Skuad Simon McMenemy sudah dua kali berturut-turut kecundang di GBK malah kini terpaksa mencari sarang baharu yang sejauh 19 jam perjalanan, Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali bagi perlawanan tempat sendiri berikutnya, menentang Vietnam pada 15 Oktober ini.

Garuda direbahkan skuad Tan Cheng Hoe 3-2 sebelum dibenam Thailand 3-0 malah Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) berdepan tindakan tataertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) gara-gara keganasan penyokong-penyokongnya di GBK pada 5 September lalu.

Sama ada denda dengan jumlah yang besar, diarah bermain di stadium kosong atau venue berkecuali atau lebih berat, ditukar keputusan kalah 3-2 itu kepada 3-0, semuanya mungkin diputuskan dalam bulan ini oleh jawatankuasa tatatertib FIFA.

Siri kekalahan itu menghumban Indonesia sebagai penghuni tempat corot kumpulan dan nasib McMenemy & Co. dijangka tidak banyak berubah apabila menentang pilihan utama, Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Al Maktoum, Dubai, Khamis ini.

Sekalipun media Indonesia melaporkan pertukaran venue itu mengelak kemungkinan demonstrasi anti-Presiden Indonesia, Joko Widodo di Jakarta menjelang pelantikannya 20 Oktober ini, peliknya mengapa venue baharu sejauh 1,190.2 kilometer itu yang dipilih.

Keselamatan juga dijadikan alasan utama pertukaran itu menurut PSSI sekalipun terpaksa mengorbankan potensi jualan tiket yang lumayan di GBK yang bermuatan 78,000 penonton berbanding cuma boleh disaksikan kurang daripada 22,000 orang di Stadium Kapten I Wayan Dipta.

PSSI selain itu menegaskan, ‘rumah’ kelab Bali United itu dipilih kerana pengalamannya melangsungkan Kelayakan Liga Juara-juara Asia dan Piala AFC anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), tahun lalu.

“Kemudahannya sudah menepati piawaian AFC. Bali lebih aman, kebenaran kawalan keselamatan (di Jakarta) sukar diperoleh dalam tempoh menjelang pelantikan presiden,” kata seorang pegawai kanan PSSI seperti dipetik daripada laman sesawang media Indonesia.

PSSI juga tidak akan mengeluarkan tiket yang setara kapasiti Stadium Kapten I Wayan Dipta sebaliknya perlu disesuaikan dengan saranan dan kebenaran pihak polis.

“Stadium Wayan Dipta tidak akan dibuka penuh untuk penonton. Bagi perlawanan dengan Vietnam, kami tldak lagi memikirkan soal untung tetapi yang penting jadualnya dipenuhi,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.