Han Byul layak jadi juara Big Stage 2019

Han Byul layak jadi juara Big Stage 2019
HAN Byul juara Big Stage 2019.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

KEMENANGAN Han Byul sebagai juara Big Stage 2019 tidak perlu dipertikai kerana beliau layak untuk menggalas gelaran tersebut. Setiap minggu kita dapat melihat persembahannya yang konsisten dan tidak pernah menghampakan juri serta penonton.

Malah pemuda berusia 29 tahun dari Korea Selatan itu juga berjaya membuktikan bahawa bahasa bukan penghalang untuknya bersaing dengan empat finalis lain, Neeta Manisha, Adzrin, Irfan Haris dan Dinda Permata.

Untuk persembahan kedua, Han Byul dilihat begitu menjiwai lagu Luka Dan Kenangan, ciptaan Haqiem Rusli dengan baik sekali. Malah beliau berani mengambil risiko mendendangkan lagu Lose Yourself, dendangan asal oleh Eminem.

“Saya pilih lagu yang berisiko kerana mahu mengelak daripada memberikan persembahan yang sama setiap minggu. Lagi pun ini malam final, jadi saya ambil risiko menyanyikan lagu yang berbeza untuk menunjukkan kelainan dalam persembahan.

DARI kiri Adzrin, Han Byul dan Neeta selepas diumum kemenangan masing-masing.

“Sebenarnya saya bangga menyertai pertandingan ini kerana berpeluang mengadakan persembahan di hadapan penyanyi hebat seperti Siti Nurhaliza (Datuk Seri Siti Nurhaliza) yang sering berkongsi ilmu dengan semua peserta. Semua peserta seperti keluarga dan bila saya kembali ke Korea pasti saya akan merindui suasana selama lapan minggu kami bersama,” katanya yang mendapat markah 70.33 peratus.

Beliau yang menerima hadiah wang tunai RM100,000, kereta Perodua Axia Style dan trofi sumbangan Astro itu juga teruja apabila juri tetap, Siti Nurhaliza dalam satu komen berharap mereka dapat bekerjsama.

Bukan setakat Siti yang mahu bekerjasama dengan Han Byul, malah juri jemputan Misha Omar juga kagum dengan bakat pemuda itu dan berharap mereka juga boleh berkolaborasi.

Sementara itu, Neeta Manisha, 25, yang menerima wang tunai RM50,000 dan trofi berkata, tiada rasa kesedihan di hatinya apabila diumum sebagai pemenang tempat kedua.

Beliau yang sudah menganggap melangkah ke final sebagai satu kejayaan berkata, pada malam itu matlamatnya adalah untuk menghibur penonton dengan pesembahan yang terbaik.

persembahan bertenaga Han Byul.

Neeta yang mendendangkan lagu I Wanna Dance With Somebody (Whitney Houstan) memukau penonton apabila menyanyi sambil baring. Katanya tak susah untuk menyanyi sambil baring jika tahu tekniknya.

“Kalau orang tengok Neeta menyanyi gaya begitu yang sering dibuat oleh Whitney atau Madonna, mesti kata susah. Sebenarnya tak susah mana pun, atas tunjuk ajar Cikgu Syafi, yang susah jadi senang.

“Bila selesai mengadakan persembahan Ruang Mimpi, Neeta rasa lega. Sebenarnya Neeta fobia bila menjadi peserta pertama buat persembahan dalam pertandingan,” katanya yang mendapat markah keseluruhan, 68.66 peratus.

Neeta yang mahu memberi wang kemenangan kepada ibu bapanya itu berharap, selepas ini beliau berpeluang untuk mengadakan siri persembahan di beberapa pusat pengajian tinggi.

Beliau yang merupakan vokalis kumpulan Iamneeta memberitahu, dua lagi anggota kumpulan Anaz dan Patrick sentiasa menyokong kerjaya solonya.

“Kalau Neeta tak sertai Big Stage ni, memang tak buat apa-apa pun. Mungkin selepas ini adalah peluang untuk bergerak solo sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun sebelum kami kembali bergabung.

“Hanya satu saja yang Neeta harap, kalau boleh nak jelajah pusat pengajian tinggi mengadakan persembahan di sana. Itu impian Neeta sewaktu bergelar artis tujuh tahun lalu,” katanya.

Bagi Irfan Haris yang menduduki tempat keempat dengan hadiah kemenangan, wang tunai RM10,000 dan trofi tetap rasa bersyukur kerana usaha kerasnya berbaloi.

“Walaupun dapat nombor empat saya lega sebab masuk final ini saya tak fikir untuk menang pun. Saya fikir nak bagi persembahan terbaik kepada penonton, kalau mereka terhibur itu sudah memadai.

“Daripada dulu saya tak pernah fikir nak menang. Saya percaya ini semua rezeki dan sudah tertulis, saya dapat nombor empat. Saya memang underdog sejak dulu sebab itu bila masuk final, saya fikir dapat nombor lima tapi rezeki tempat keempat,” akuinya yang bekerja keras hingga berjaya melangkah ke final.

GAYA Neeta sewaktu mendendangkan lagu I Wanna Dance With Somebody.

Irfan yang mendendangkan lagu Mengapa Perpisahan Kau Pinta, dendangan Flybaits berkata, itu adalah lagu kegemaran ibunya. Selai  n itu, beliau juga pernah berangan menyanyikan lagu tersebut di pentas besar dan kini telah dilaksana.

“Saya puas hati dengan persembahan lagu itu. Masa latihan pagi dan petang, dua-dua tak menjadi. Saya dah mula risau. Di belakang pentas sebelum pesembahan, saya berdoa, ya Allah janganlah ada kesilapan, alhamdulillah. Semua jalan dengan lancar, tak keluar suara itik macam latihan. Alahmdulillah, Allah dengar doa saya.

“Apa yang saya buat dalam Big Stage adalah hasil kerja kuat saya dari minggu pertama. Program ini juga banyak mengajar saya dari segi vokal dan tari. Untuk lagu Honey, single baharu itu saya perlu menari dan tak sangka saya mampu melakukkannya,” katanya mendapat markah sebanyak 60.35 peratus.

Sementara itu, Adzrin yang mendendangkan lagu Picisan dan All Of Me menduduki tempat ketiga dengan kemenangan wang tunai RM25,000 beserta trofi. Markah yang berjaya dikumpul Adzrin adalah sebanyak 61.99 peratus.

Manakala peserta dari Indonesia, Dinda Permata yang menerima wang tunai RM5,000 serta trofi menduduki tangga kelima dengan markah sebanyak 59.63 peratus.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.