Piala Emas Raja-Raja jadi agenda FAM 2020

Piala Emas Raja-Raja jadi agenda FAM 2020
BARISAN pemain dan pegawai Kuala Lumpur (kiri) dan MISC memegang Piala Emas Raja-raja yang akan menjadi rebutan final edisi ke-79, 2019 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Ahad ini.
Oleh KAKI BANGKU

KEJOHANAN Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) bakal menyertai kalendar pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mulai tahun depan bagi memudahkan penjadualannya diatur selepas Piala Presiden dan Piala Belia.

PERR yang diasaskan pada 1922 iaitu lebih tua daripada Piala Malaysia (1967) turut akan mengehadkan penyertaan pemain pasukan-pasukan yang bertanding kepada bawah 25 tahun sahaja, berbanding musim ini, 35 tahun.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Datuk Ramlan Askolani berkata, kedua-dua langkah baharu ini akan memberikan pendedahan pertandingan yan g lebih meluas kepada ramai pemain muda tempatan.

“Kemasukan ke dalam kalendar FAM juga mampu memudahkan lebih banyak penaja bekerjasama dengan PBMM sekali gus meringankan beban kewangan ahli-ahli gabungan kami setiap kali mahu menyertai PERR.

“PERR akan terus menjadi medan mencungkil bakat-bakat baharu pemain negara selepas peringkat bawah 19 dan 21 tahun (Piala Belia dan Presiden FAM),” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.

Perlawanan akhir PERR Ke-79 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Ahad ini akan menemukan pendatang baharu, Majlis Sukan India Malaysia (MISC) dan Kuala Lumpur dengan menawarkan hadiah wang tunai RM40,000 buat juara dan naib juara, RM20,000.

PEGAWAI-PEGAWAI pasukan Kuala Lumpur (kiri), PBMM dan MISC bergambar di depan Piala Emas Raja-raja pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.

Tiket-tiket perlawanan akhir dijual berharga RM15 bagi grandstand manakala tempat duduk terbuka diberikan tawaran istimewa iaitu RM10 dan percuma sekeping manakala tiada bayaran dikenakan buat kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan PBMM, Datuk Kamarulnizam Sharip berkata, “dua anugerah khas turut ditawarkan iaitu Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak dengan masing-masing akan menerima trofi dan hadiah wang tunai RM500.”

Ramlan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengingatkan kedua-dua finalis daripada pemain hingga pegawai agar sentiasa mengawal emosi dan bermain secara bersih walaupun pasti bertekad tinggi untukbergelar juara.

“Pertemuan Ahad ini pasti sengit kerana MISC yang baru kali pertama menyertai PERR, sudah berjaya masuk perlawanan akhir manakala Kuala Lumpur menunggu selama 25 tahun untuk kembali merebut trofinya,” katanya.

Kali terakhir Kuala Lumpur mara ke final dan bergelar juara PERR ialah pada 1994 dengan menewaskan Perlis 2-1.

Pengerusi MISC, Datuk S. Pathi berkata, pihaknya amat menghargai undangan dan peluang menyertai malah merebut gelaran PERR kerana lima pemain mereka kini ditawarkan menyertai kelab PJ City bagi Liga Malaysia musim depan.

“MISC dan Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) juga mungkin mengundang PBMM untuk menghantar pasukan menyertai Piala Bardhan, sebuah kejohanan tahunan pada masa akan datang,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.