Kerajaan akan sedia pinjaman mudah kepada industri perladangan buluh tempatan – Kok

0
67
FOTO: World Permaculture Association.

 

KUALA LUMPUR — Kerajaan akan menyediakan pinjaman mudah untuk menggalakkan industri perladangan buluh tempatan menanam buluh dalam usaha mengurangkan kebergantungan eksport terhadap komoditi utama seperti sawit dan getah.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata pinjaman mudah itu akan berjumlah RM10,000 setiap hektar dengan bayaran balik apabila pinjaman itu matang dalam tempoh tujuh tahun.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan ada menyediakan khidmat pinjaman mudah di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan tetapi ia hanya untuk tanaman getah.

“Penanaman buluh amat mudah berbanding komoditi lain yang memerlukan pembajaan dan penjagaan rapi. Ia boleh tumbuh di banyak kawasan dan akan matang dalam tempoh tiga tahun.

FOTO: World Permaculture Association.

“(Dengan pinjaman mudah ini), kami mahu menggalakkan lebih ramai menanam buluh untuk industri hiliran. Saya berharap lebih banyak sektor swasta terlibat dan bekerjasama dengan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pameran produk buluh di bangunan utama Parlimen di sini hari ini.

Kok berkata sudah tiba masanya Malaysia meneroka sumber pendapatan komoditi tambahan selain membantu menjana hasil tambahan untuk pekebun kecil di negara ini.

Katanya selain memenuhi keperluan domestik, negara juga boleh merebut peluang perdagangan buluh di peringkat antarabangsa yang semakin meningkat terutamanya di pasaran Jepun.

Beliau berkata negara matahari terbit itu sedang mencari sumber bahan bakar lain untuk menggantikan sumber tenaga daripada loji nuklearnya.

Katanya sumbangan daripada industri buluh juga masih kurang yang mencatatkan nilai eksport produk buluh pada 2018 sebanyak RM9.9 juta berbanding saiz pasaran buluh global yang dianggarkan sebanyak US$68.8 bilion setahun.

Kok berkata MPI dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan kerajaan negeri Perak, sedang membangunkan industri buluh secara kluster dengan menubuhkan tapak semaian buluh di Ulu Kinta seluas 1.7 hektar.

Beliau menjangka sebanyak 100,000 anak benih buluh dapat dihasilkan dalam tempoh sebulan daripada tapak semaian tersebut.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here