Kerap tukar sistem cukai beri kesan buruk kepada negara – Dr Mahathir

“SST ini sedang berjalan dengan kita hanya perlu perbaiki dan tidak ada sebab untuk kita mengembalikan cukai yang ditolak oleh rakyat (GST)."

Kerap tukar sistem cukai beri kesan buruk kepada negara – Dr Mahathir
FOTO: NSTP/KHAIRULL AZRY BIDIN.

 

KUALA LUMPUR — Tiada sebab untuk kerajaan mengembalikan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan peralihan sistem cukai yang kerap hanya memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata perubahan sistem percukaian tidak wajar dibuat terlalu kerap kerana ia akan mengurangkan keyakinan pelabur dan memberi imej yang kurang baik.

“Banyak jenis cukai yang diperkenalkan, GST diperkenalkan dan banyak rintihan oleh rakyat kerana mereka perlu membayar cukai dua kali, sebab itu kita perlu kembalikan SST.

“SST ini sedang berjalan dengan kita hanya perlu perbaiki dan tidak ada sebab untuk kita mengembalikan cukai yang ditolak oleh rakyat (GST),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (PH-Kalabakan) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia untuk melaksanakan semula sistem percukaian GST jika ia dikehendaki oleh rakyat.

Ma’mun berkata terdapat luahan sentimen yang berbeza dalam kalangan masyarakat memandangkan terdapat yang menyokong sepenuhnya cadangan tersebut dan juga segolongan besar yang menolaknya.

Dr Mahathir berkata antara sebab lain GST tidak boleh dikembalikan ialah pelaksanaan sistem cukai itu telah membebankan orang ramai dan pembayar cukai terutamanya lewat mendapat bayaran balik kredit cukai input yang menjadi kos kepada peniaga.

Menjawab soalan tambahan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) mengenai kemampuan SST untuk mengawal mereka yang lari daripada membayar cukai seperti dalam sistem GST, Dr Mahathir yakin masalah tersebut tidak akan berlaku di bawah pelaksanaan SST.

“Sebenarnya tidak berlaku halangan untuk mencari mereka yang lari daripada membayar cukai kerana SST ialah sistem cukai yang sudah lama dilaksanakan dan tiada masalah yang dihadapi.

“Sebab itu kita tolak GST dan memperkenalkan semula SST. (Saya yakin) apabila diuruskan dengan baik (SST) boleh lebih baik daripada GST,” katanya.

Mengenai soalan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Kurau) yang mahu Perdana Menteri menjelaskan adakah langkah dasar ekonomi dan penjimatan kerajaan dapat mengembalikan kekurangan hasil kutipan cukai sebanyak lebih RM20 bilion berbanding pendapatan cukai semasa pelaksanaan GST, Dr Mahathir berkata kekurangan tersebut bukan kerana kelemahan sistem SST.

Beliau menjelaskan apabila sesuatu cukai diperkenalkan, pada awalnya memang akan berlaku penyusutan kerana wujud perubahan termasuk dari segi sistem pengkomputeran untuk melaksanakan sistem cukai tersebut.

“Bagaimanapun, saya yakin dalam tahun-tahun akan datang (hasil kutipan) SST akan melebihi kutipan GST,” katanya.

— BERNAMA  

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.