Zolkipli buru jejak emas Rahim, Pulau Pinang

Zolkipli buru jejak emas Rahim, Pulau Pinang
ZOLKIPLI Samion (dua dari kiri, berdiri) membantu Kuala Lumpur menjuarai Piala Emas Raja-raja 1994 sebagai pemain.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

KEAZAMAN dan keterujaan untuk memenangi kejuaraan sebagai pemain dan kemudian bergelar jurulatih tetap sama walaupun masa, suasana dan tanggungjawabnya yang berbeza.

Tahun  1994, Zolkipli Samion membantu Kuala Lumpur menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) buat julung-julung kalinya.

Menariknya kenangan itu ialah dia turut menyumbangkan satu gol yang membenam Perlis 2-1 di gelanggang juara bertahan itu, Stadium Datuk Sheikh Ahmad, Kangar.

Ahad ini, dia akan menerajui pula skuad ibu kota itu sebagai jurulatih menghadapi Majlis Sukan India Malaysia (MISC) untuk merebut trofi pertandingan tertua Malaysia ini dalam edisi ke-79 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

“Rasa teruja untuk memenangi Piala Emas Raja-raja sebagai ketua jurulatih Kuala Lumpur, masih ada dan sama seperti mana ketika bergelar pemain, 25 tahun lalu.

“Saya bermain sebagai bek kanan menjaringkan gol final itu menerusi sepakan penalti. Satu lagi gol di stadium yang penuh sesak dengan penonton ketika itu dijaringkan Subardron Aziz.

“Stadium Tuanku Syed Putra atau sebelumnya, Stadium Utama Negeri, Kangar belum dibuka lagi ketika itu (hanya dibuka setahun kemudian),” ceritanya ketika ditemui Bebas News di Kelana Jaya, Selangor.

Turut menganggotai pasukan Kuala Lumpur ketika itu jelasnya, ialah Raja Azlan Shah, Zami Mohd. Nor, Anuar Rajib, Shahrin Majid, Ahmad Fairuz, V. Murugan dan Mat Zan Aris.

“Jurulatih kami yang saya ingat namanya cuma Ashraff atau digelar Mike, seorang kakitangan sebuah akhbar,” katanya yang pencapaian terbaiknya sebagai jurulatih Kuala Lumpur ialah mara ke separuh akhir PERR 2017.

ZOLKIPLI (kiri) sebagai ketua jurulatih meraikan kejayaan Kuala Lumpur bersama pegawai-pegawai pasukan termasuk Ramlan Askolani (berbaju kuning) mara ke perlawanan akhir Piala Emas Raja-raja 2019

Jika berjaya menjulang PERR, Zolkipli bakal mengikut jejak Rahim Hassan yang memenanginya sebagai pemain pada tahun 2002 yang menewaskan Kedah 2-1 di Alor Setar dan mengulanginya selaku ketua jurulatih selepas Pulau Pinang menewaskan Kelantan 2-1 di Kota Bharu pada tahun 2017.

Mengenai perlawanan akhir PERR 2019 yang turut menawarkan hadiah wang tunai RM40,000 sebagai juara, katanya, “kali ini tanggungjawab saya ialah mengendalikan pasukan.

“Walaupun tugasnya dari luar padang, masih tampak lebih berat kerana perlu mengarahkan pemain-pemain melaksanakan taktikal yang saya mahukan,” katanya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ramlan Askolani pula menggesa skuad Zolkipli menunaikan misi bergelar juara, Ahad ini terlebih dulu.

“Sama ada ganjaran (selain hadiah kemenangan juara) atau bonus menanti mereka daripada pihak pengurusan pasukan, saya meminjam kata-kata Allahyarham Tan Sri Elyas Omar (pemimpin bola sepak Kuala Lumpur) ini satu ketika dulu.

“Anda jalankan peranan anda dan serahkan kepada kami buat peranan kami,” tegas pemenang Piala Malaysia tiga kali ini (tahun 1987 hingga 1989).

Selain tahun 1994, kali pertama Kuala Lumpur mara ke perlawanan akhir PERR ialah tahun 1986 namun ditewaskan Pulau Pinang 5-0.

Laluan ke final PERR 2019 (Kuala Lumpur)
Kumpulan D: Dikalahkan Perak 4-2; kalahkan Perlis 3-0; kalahkan Kedah 1-0.
Suku akhir: Kalahkan Negeri Sembilan 3-1.
Separuh akhir: Kalahkan DBKL 2-0.

Jadual Ahad ini
Perlawanan akhir Piala Emas Raja-raja Ke-79, 2019:

MISC lawan Kuala Lumpur (Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 8.45 malam)
• Tiket-tiket berharga RM15 (grandstand) dan RM10 dan percuma satu (terbuka). Kanak-kanak bawah 12 tahun masuk percuma.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.