Adakah Kongres Maruah Melayu itu rasis?

Begitulah semangat mereka. Semangat ribuan lagi Melayu yang berpusu-pusu ke perhimpunan itu. Jutaan lagi yang menonton secara langsung melalui Astro Awani, dan dari seluruh pelosok dunia  menerusi rangkaian media sosial.

Adakah Kongres Maruah Melayu itu rasis?
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin dan bekas pemimipin terdahulu selepas Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati. NSTP/SAIRIEN NAFIS

 

SAYA ialah Setiausaha Kongres Maruah Melayu (KMM) yang berlangsung pada 6 Oktober lalu di Stadium Malawati Shah Alam.

Saya dilantik atas kapasiti selaku Presiden Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), pertubuhan alumni yang terbesar di negara ini. Dianggarkan sekitar 30,000 orang umat Melayu hadir ke kongres itu.

Ada yang mengadu kerana gagal memasuki ke dalam stadium kerana tidak mendaftar secara atas talian terlebih dahulu. Whatsapp seorang kawan saya: “Salam. Fyi i attended the Kongres maruah Melayu with a few frens. We reached the stadium 8.15 but was not allowed in coz we did not register online. My frens are pissed”.

Secara peribadi, saya memohon maaf kepada beliau, seorang CEO Melayu itu.

Seorang lagi rakan menelefon saya dari KLIA, baru tiba dari rumah keduanya di Perth kerana mahu menghadiri ke kongres itu. “Saya orang Melayu, saya kena hadir”. Kata pemilik sebuah firma minyak dan gas itu.

Ada juga kumpulan yang datang dari Masjid Tanah, Melaka dengan pakaian lengkap pahlawan Melayu. “Tolonglah kami mahu letakkan tengkolok Melayu di kepala Tun.” Bersungguh-sungguh mereka. Namun permintaan itu terpaksa ditolak atas faktor keselamatan.

BACAAN ikrar ketika hadir Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati Shah Alam. NSTP/ SAIRIEN NAFIS

Begitulah semangat mereka. Semangat ribuan lagi Melayu yang berpusu-pusu ke perhimpunan itu. Jutaan lagi yang menonton secara langsung melalui Astro Awani, dan dari seluruh pelosok dunia  menerusi rangkaian media sosial.

Tiga bulan kami menggerakkan kongres itu. Diperhalusi demi diperhalusi supaya tidak menyinggung sesiapa. Sehinggakan perkataan “Melayu” pun kami perhalusi. Perkataan itu menjadi taboo kepada segelintir kami.

Sehinggakan ia terpaksa dibahas demi dibahas dan akhirnya ahli jawatankuasa memutuskan untuk mengundi. Sekretariat kami terdiri daripada gabungan akademik, politik, korporat, wartawan, peguam — yang semuanya amat prihatin terhadap kegelisahan orang Melayu.

“Ada yang berkata kenapa kita nak accommodative (menjaga hati) lagi. Sehingga nak guna istilah Melayu pun satu fobia dan ketakutan.” Takut kami dituduh sebagai rasis.

Akhirnya kami guna istilah Melayu bagi Kongres Maruah Melayu ini, dan bukannya istilah Bumiputera. Kata kuncinya pula ialah “Tanah Aku” dan mottonya ialah “Berani, Tegas dan Takwa”.

Kami mahu kongres ini adalah “penutup” kepada perhimpunan-perhimpunan Melayu yang diadakan oleh beberapa pihak. Ia termasuklah oleh UMNO-Pas — yang mencetuskan Piagam Muafakat Nasional.

Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk hadir ke kongres itu dan memberi amanatnya. Kami memutuskan untuk menjemput beliau sebagai seorang Melayu dan bukan sebagai Perdana Menteri.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan amanat ketika Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati Shah Alam. NSTP/ SAIRIEN NAFIS

Kongres itu dan perhimpunan Melayu lain diadakan ekoran kegelisahan, keresahan, kekhuatiran mengenai masa depan mereka di negara ini.

Masa depan orang Melayu di bawah kerajaan baharu pasca BN-UMNO. Masa depan orang Melayu dalam kedudukan politik mereka yang paling lemah dalam sejarah negara ini.

Kedudukan anggota Melayu dalam Kabinet Malaysia yang paling corot dalam sejarah. Kedudukan Menteri Kewangan yang bukan dari kalangan orang Melayu, yang kedua selepas 60 tahun Merdeka.

Orang Melayu rata-rata “tidak selesa” dengan Menteri Kewangan dari kalangan kaum lain. Apatah lagi orang Cina dari parti DAP, yang sering mereka kata sebagai cukup cauvinis.

Orang Melayu gelisah kerana jurang perkauman di negara ini sudah semakin menebal — orang Melayu dengan kelompoknya, Cina dengan ketebalan semangat kecinaannya dan India kini lebih terasa hati.

Ini membuatkan semangat jati diri Malaysia cukup rapuh. Masing-masing menjaga kelompok masing-masing. Kami bimbang ke mana akhirnya Malaysia ini?

Maka, kongres itu cukup penting. Ia diadakan tepat pada masanya.

Orang Melayu sekali lagi menunjukkan keluhuran hati mereka untuk melihat bangsa Malaysia menjadi satu. Mereka mahu melihat anak Melayu, anak Cina, anak India belajar dalam satu sekolah.

Inilah caranya untuk kita bersatu-padu sebagai bangsa Malaysia — seperti Cina di Indonesia, seperti Cina di Thailand, Filipina dan negara-negara lain.

Sampai begitu sekali baik hati orang Melayu. Tapi niat baik — untuk kebaikan, sering kali akan disongsangkan. Sering diperkecil-kecilkan.

KETIBAAN pemimpin-pemimpin UMNO ke Kongres Maruah Melayu Ahad lalu.

Kongres merasakan jika tiada iltizam politik parti pemerintah untuk melakukannya sekarang — satu generasi lagi, Malaysia akan menuju kehancuran.

Sekarang pun jurang itu sudah berlaku, apatah lagi dalam tempoh 20 tahun dari sekarang?

Sudah tentu orang Islam tidak mahu dipersenda-sendakan. Sebagai agama bagi Persekutuan ia harus dipertahankan. Hakikatnya majoriti penganutnya adalah orang Melayu.

Kegelisahan orang Islam ialah apabila ada usaha berani pihak-pihak tertentu untuk mencabar agama mereka itu.

Orang Melayu Bumiputera cukup khuatir melihat hak-hak mereka semakin dihakis secara sistematik, secara satu kebetulan atau disengajakan?

Kluster ekonomi membincangkan secara terperinci permasalahan ekonomi orang Melayu yang tidak padam-padam. Begitu juga mengenai isu-isu lain. Isinya cukup relevan.

Pada hari kongres, pihak sekretariat sendiri terkejut melihat stadium yang cukup besar itu sedikit demi sedikit dipenuhi. Orang mula berpusu dari jam 6.30 pagi lagi. Kaunter pendaftaran ketika itu belum dibuka sepenuhnya.

Apabila seorang demi seorang para pemimpin politik masuk, ia menjadi lebih gemilang. Tuan Guru Haji Hadi Awang masuk, Hishamuddin Tun Hussein masuk, KJ masuk, pemimpin PH masuk, Muhamad Sabu masuk, dan akhir sekali MT UMNO diketuai oleh Annuar Musa masuk; Tengku Adnan masuk; Noh Omar masuk; Jamil Khir Baharom masuk, malah Azeez Rahim pun masuk. Maka perhimpunan itu sudah menjadi luar biasa.

(Anwar Ibrahim pun kami jemput, tetapi maaf Pak Sheikh, kami menjemput di saat-saat terakhir kerana sekretariat pada permulaannya memutuskan hanya menjemput presiden parti-parti Melayu sahaja. PKR bukan parti Melayu.)

Adakah perhimpunan itu bakal menjadi satu penyatuan orang Melayu sejati? Adakah itu permulaannya? Apa reaksi komponen Pakatan Harapan (PH) sendiri?

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati. NSTP/SADAM YUSOFF

Apakah ia akan dilihat sebagai satu ancaman kepada komponen PH? Apa akan berlaku sekiranya komponen parti-parti Melayu semuanya bertaut semula?

Seperti dijangka, entah dari mana datangnya, kongres itu diserang kiri dan kanan. Pelbagai andaian dikeluarkan. Pelbagai persepsi disemai bagi mencetuskan kekeliruan.

Sebagai pemerhati politik senior, kelazimannya perkara yang baik akan dihentam dan cuba digagalkan. Kerana kebaikan itu adalah musuh bagi orang lain.

Samalah semasa Tun Mahathir  mencadangkan pembinaan jambatan Pulau Pinang dan lebuh raya Utara-Selatan sekitar 80-an. Ia dihentam kuat oleh DAP. Kerana apa? Kerana jika rakyat memuji projek-projek itu maka ia adalah satu “kerugian politik” dan “malapetaka politik” bagi mereka. Maka itu ia harus digagalkan.

Nasib baik pada waktu itu tiada lagi angkatan tentera siber!

Atas sebab itu ada baik juga sesuatu kebaikan yang mahu dilakukan, dibuat secara senyap-senyap.

Sekiranya orang Melayu termakan dengan permainan itu pasti mereka akan terjerumus. Ini adalah permainan yang amat jahat bagi menggagalkan gagasan perpaduan Melayu itu.

Ada “tangan-tangan ghaib” yang cuba mencetuskan kekeliruan itu.

Ingatlah, kita jangan terjerumus sekali lagi. Perang psikologi akan terus dimainkan oleh tentera-tentera perang siber yang diupah dan dibela secara terancang itu.

Ingatlah, jika orang Melayu berpecah sekali lagi, mereka akan pupus. Ini satu ingatan. Adakah itu pun rasis?

 

 

****

KONGRES Maruah Melayu (KMM) diadakan bagi mencari jawapan kepada permasalahan orang Melayu Bumiputera.

Oleh itu, lima kluster dibentuk bagi membincangkan mengenai soal agama, politik, ekonomi, pendidikan dan budaya. Empat buah universiti awam tempatan bersetuju menerajui setiap satu usul itu bagi dibahas dan dihasilkan resolusi. Sementara sebuah NGO, Persatuan Peguam-Peguam Islam Malaysia menerajui kluster agama. Hasilnya cukup mengujakan.

Kesemua kluster berpegang kepada hak orang Melayu Bumiputera dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Mereka tidak lari daripada tunjang kenegaraan itu dalam membahaskan usul-usul itu.

Perbincangan itu berjalan dengan matlamat berikut:

* Mengumpul tokoh-tokoh ilmuwan, pengamal, pemikir dan penggiat bidang tertentu untuk membincang secara meluas dan rasional setiap bidang itu.

* Mengumpul dan akhirnya merumus pelbagai sudut penelitian dan pandangan sebagai asas pemahaman dan tindakan untuk mencari penyelesaian.

*  Mencadangkan kaedah penyelesaian terhadap pelbagai persoalan maruah Melayu dari berbilang sudut penelitian dan dibawa kepada perhatian pucuk pimpinan negara untuk tindakan sewajarnya.

Persoalannya apakah semua yang dilakukan itu atas nama Melayu sebagai rasis? Kami mengaku orang Melayu masih lemah di tanah air mereka sendiri.

Mereka masih lagi perlu diperingatkan. Ucapan Tun Mahathir pada hari kongres sekali lagi memberi motivasinya kepada orang Melayu.

Sebagai wartawan yang saban masa membuat liputan ucapan-ucapan besar Tun Mahathir di perhimpunan-perhimpunan Melayu sejak puluhan tahun lalu, itulah mesej tipikal beliau.

Saya sudah tidak hairan dengan ucapan beliau itu. Memanglah ada ramai orang Melayu yang terlalu mengharapkan Tun berucap keras kepada orang lain dan bukan terus menegur orang Melayu. Tetapi Tun faham kapasitinya sebagai seorang politik dan Perdana Menteri sebuah komponen parti.

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima resolusi Kongres Maruah Melayu daripada pelajar UiTM Shah Alam, Hood Yahya (tiga dari kanan) ketika kongres berlangsung di Stadium Malawati. NSTP/SADAM YUSOFF

Namun, kongres sendiri telah “diberi mandat” untuk mengeluarkan resolusi yang tidak segan-segan silu lagi.

Seorang rakan memberitahu “kestabilan negara ini Malaysia bergantung kepada kesejahteraan bangsa Melayu itu sendiri.” Jika wujud lagi “unrest” di kalangan orang Melayu, maka ia akan turut memberi kesan langsung yang buruk kepada negara.

Benar kata beliau. Kaum-kaum lain juga harus faham mengenainya. Jangan kerana mereka kini semakin kuat kuasa dari segi politik, maka kegelisahan orang Melayu dan Bumiputera mahu dinafikan.

Tidak habis-habis orang Melayu dituduh sebagai bangsa yang rasis, dan orang lain itu sebagai kaum yang ditindas.

Selagi sikap seperti itu terus dijadikan sebagai senjata songsang psikologi, maka rakyat Malaysia akan terus berada dalam kegelisahan. Dan negara ini tidak akan stabil.

Tanyalah diri sendiri adakah kita mahu terus-terusan sebegini?

Adakah salah orang Melayu berhimpun dan bercakap mengenai diri mereka sendiri?

Seperti kata Tun Mahathir “ada orang yang tidak mahu saya hadir ke kongres Melayu ini.”

Sambil menambah beliau tidak pula dihalang untuk hadir di perhimpunan sedunia membabitkan kaum Cina dan lain-lain?

Apa yang penting, perhimpunan Melayu ini tidak dibuat secara bersembunyi, di bawah tanah dan rahsia, sebaliknya ia dibuka dan disebarkan seluas-luasnya kepada umum.

Kongres ini tidak akan berakhir di sini. Ia akan menjelajah ke seluruh pelosok negara, bagi memastikan matlamatnya — dan resolusinya tercapai. InsyaAllah.

Orang Melayu cukup terbuka. Salah lagikah?

PENULIS (bertanjak hitam) di Kongres Maruah Melayu.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.