Amaran Syafiq: Kami bukan lagi yang dahulu

Amaran Syafiq: Kami bukan lagi yang dahulu
SYAFIQ Ahmad menjawab soalan pada sidang akhbar praperlawanan dengan Vietnam di Hanoi. – Foto FAM

 

Oleh KAKI BANGKU

 

PENYERANG negara, Syafiq Ahmad mengingatkan Vietnam agar memandang Harimau Malaya di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi esok sebagai sebuah pasukan baharu dan bukan lagi seperti  yang dikalahkannya  1-0 dalam final kedua Piala AFF 2018.

Pemain berusia 24 tahun yang sudah meledakkan dua gol dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 Kumpulan G berkata, “gaya permainan kami juga sudah berlainan sekarang kerana kami sebuah pasukan yang berwajah baharu.

“Saya tidak boleh jelaskan apa bezanya pasukan Malaysia antara yang sekarang dengan dulu (Piala AFF 2018) tetapi saya yakin kami sudah semakin baik,” katanya yang bakal bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha di bahagian depan Harimau Malaya.

Amaran Syafiq itu dilaungkannya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri wartawan beberapa akhbar harian dan stesen TV Malaysia di Hanoi, Vietnam.

SYAFIQ (20) menerima ucapan tahniah daripada Akhyar Rashid (19) ketika membelasah Sri Lanka 6-0, minggu lalu. – Foto FAM

Anak jati Pulau Pinang ini yang mewakili Johor Darul Ta’zim dalam Liga Malaysia, turut merakam hatrik untuk membantu Harimau Malaya membaham Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan persahababatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Vietnam atau digelar Naga Emas menundukkan skuad negara, 1-0 dan 2-0 dalam peringkat Kumpulan A Piala AFF tahun lalu manakala final pertama di Bukit Jalil menyaksikan kedua-duanya terikat 2-2.

Kedua-dua gol Syafiq dalam kelayakan dijaringkan menerusi tandukan ketika Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta dan dikalahkan Amiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 di Bukit Jalil pada 5 dan 10 September lalu.

Skuad Tan Cheng Hoe kini menghuni tempat ketiga Kumpulan G dengan perbezaan gol biarpun terikat tiga mata dengan UAE, anak tangga kedua manakala Thailand mendahului setelah diikat Vietnam 0-0 di Pathum Thani dan mengalahkan Indonesia 3-0 di GBK.

“Pasukan kami dalam situasi yang positif sekarang malah bersedia untuk mendapatkan keputusan yang positif esok.

“Misi ini tetap sukar walaupun anda (media Vietnam) menganggap kami kini diperkasa dengan segelintir pemain berdarah kacukan (La’Vere Corbin-Ong, Brendan Gan dan Matthew Davies) dan naturalisasi (sayap kanan, Mohamadou Sumareh dari Gambia),” katanya.

Malaysia hanya berjaya menewaskan Vietnam enam kali dan seri tiga kali serta kalah 11 kali sepanjang rekod pertemuan mereka sejak 30 November 1991.

Kali terakhir Harimau Malaya menewaskan lawan ialah 4-2 dalam separuh akhir kedua Piala AFF tanggal 11 Disember 2014 di Hanoi.

BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Amaran Syafiq: Kami bukan lagi yang dahulu"

  1. herman farispetra9599  09/10/2019 at 11:05 pm

    Walk the talk!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.