NUJ harap pengurusan baharu kekalkan pekerja Utusan

Taufek berkata bangunan ibu pejabat Utusan di Chan Sow Lin telah disita dan tidak lagi boleh beroperasi manakala pihak pelikuidasi memberi masa sehingga esok untuk mengemas keperluan dan kakitangan dicutikan sehingga 31 Oktober.

NUJ harap pengurusan baharu kekalkan pekerja Utusan
PRESIDEN Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, Mohd Taufek Razak ketika sidang media berhubung penutupan operasi syarikat itu hari ini. Utusan Melayu yang juga penerbit akhbar harian Utusan Malaysia dan Kosmo, menamatkan operasinya hari ini selepas mengalami masalah kewangan. Sehubungan itu, hari ini merupakan tarikh akhir bekerja untuk kakitangan manakala hari akhir perkhidmatan ditetapkan pada 31 Oktober, 2019. –fotoBERNAMA

 

KUALA LUMPUR — Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Melayu Mohd Taufek Razak berharap kesemua 862 kakitangan dikekalkan dibawah pengurusan baharu iaitu Aurora Mulia Sdn. Bhd.

Beliau berkata keputusan syarikat untuk memberhentikan operasi berkuatkuasa hari ini menyebabkan pekerja keliru kerana mereka hanya menerima memorandum pekeliling dan masih tidak mendapat surat pemberhentian kerja.

“Memang ada ura-ura mengenai pengurusan akan membuat proses pembuangan kerja tapi kami harap di bawah pengurusan baharu, mereka dapat terus terbitkan Utusan dan mengekalkan kesemua pekerja,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Taufek berkata bangunan ibu pejabat Utusan di Chan Sow Lin telah disita dan tidak lagi boleh beroperasi manakala pihak pelikuidasi memberi masa sehingga esok untuk mengemas keperluan dan kakitangan dicutikan sehingga 31 Oktober.

Tambahnya pihak pengurusan bersetuju untuk membayar tunggakan gaji bagi bulan September dan Oktober selepas kali terakhir membayar tunggakan gaji bagi bulan Julai dan Ogos pada 4 Okt lepas manakala isu pampasan akan diberitahu oleh pelikuidasi pada 31 Oktober.

Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir hari ini mengeluarkan memorandum pekeliling mengenai pemberhentian operasi syarikat itu berkuatkuasa 9 Oktober manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada 31 Oktober.

Katanya Lembaga Pengarah Utusan meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator) pada 7 Okt selepas berpendapat bahawa syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.

Selepas pengumuman tersebut dibuat, rata-rata pekerja Utusan terkilan dan hanya hadir ke pejabat bagi membawa pulang barang peribadi sebelum bertemu rakan sepejabat buat kali terakhir.

Wartawan Utusan Ahmad Afiq Syahmi Mohd Shah sukar untuk menerima kenyataan tersebut.

“Saya baharu sahaja dapat tunggakan gaji dua bulan minggu lepas tetapi hari ini tiba-tiba sahaja berhenti beroperasi, ini mengejutkan,” katanya.

Seorang lagi wartawan Ku Muhamad Syafiq Ku Mohd Fozi hanya mengharapkan dapat diberi peluang sekali lagi untuk bekerja di Utusan.

— BERNAMA 
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.