Reyhana hantu sambal

Sebenarnya, Reyhana masih lagi aktif menyanyi dan sering mendapat tawaran mengadakan persembahan untuk korporat, majlis makan malam dan karnival.

Reyhana hantu sambal
PRODUK Hantu Sambal buatan Reyhana Yunus yang digemari ramai.
Oleh KHADIJAH IBRAHIM  

 

KALAU nak kira dari segi suara, tiada kurangnya pada Reyhana Yunus,32, kerana beliau merupakan peserta pertandingan Bintang RTM 2007 dan One In A Million 2009.

Penyanyi kelahiran Labuan ini cukup berbakat tapi sayang kita jarang melihat penampilannya dalam program televisyen. Mungkin sebab Reyhana tidak ada lagu baharu, jadi ada yang beranggapan beliau tidak aktif menyanyi.

Sebenarnya, Reyhana masih lagi aktif menyanyi dan sering mendapat tawaran mengadakan persembahan untuk korporat, majlis makan malam dan karnival.

Sewaktu bertemu Reyhana baru-baru ini, beliau rancak bercerita tentang sambal ikan bilis masakannya yang semakin mendapat tempat di hati pembeli.

Kata Reyhana, sudah setahun beliau menjual sambal ikan bilis yang dibuat dalam dua perisa iaitu sambal ikan bilis pedas dan sambal ikan bilis biasa.

“Produk saya adalah sambal ikan bilis, ada yang pedas dan original. Saya buat dua perisa. Kalau yang tak makan pedas tu bolehlah beli yang original. Sebab dulu ada yang cakap tak makan pedas. Kebanyakan yang beli adalah perisa original.

“Sambal ikan bilis saya itu diberi nama Hantu Sambal. Ada cerita kenapa saya pilih nama hantu sambal. Masa Bintang RTM, nama saya Han. Orang RTM suka panggil saya hantu, jadi nama tu dah melekat. Han dan Tu adalah produk saya yang kedua. Pertama saya nyanyi (guna nama Han) dan kedua sambal. Tu yang saya gabung jadi Hantu Sambal,” jelasnya.

Tambah Reyhana, ada juga orang yang kata tak elok guna nama hantu sambal, tapi beliau tidak kisah. Baginya biar nama produk tersebut mudah diingat.

“Biarlah ini adalah produk saya dan alhamdulillah ramai yang terima. Sekarang sambal ikan bilis saya dah masuk stesen minyak Petronas, lebih kurang 20 buah stesen. InsyaAllah akan masuk dalam Rosyam Mart juga.

REYHANA Yunus masih aktif menyanyi.

“Saya mula buat sambal ini tahun lepas, ini resipi mak mentua. Saya suka sangat bila mak mentua buat sambal ikan bilis tu. Saya cakap, baik mak buat dan saya jual. Tak sangka pula orang terima dan kata sedap. Setakat ini permintaan tak pernah berhenti,” katanya yang turut menyertai Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS).

Katanya GTAS merupakan salah satu platform yang sering membantunya untuk memasarkan produk Hantu Sambal. Malah Reyhana juga akan menjual sambal ikan bilisnya di Havoc Food Festival yang akan berlangsung di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada 1 hingga 3 November depan.

Menurut Reyhana, setiap hari Isnin atau Selasa beliau akan memasak kira-kira  40 kilogram ikan bilis, bermula selepas subuh hingga malam. Katanya, untuk memasak sambal sebanyak itu perlu masa lama bagi memastikan cili benar-benar masak.

“Alhamdulillah, orang suka dengan sambal ikan bilis Hantu Sambal. Pada awalnya saya hanya suka-suka saja jual, sekarang ini dah menjadi bisnes pula. Setakat ini saya dan mak mentua saja yang masak. Memang ambil masa yang lama nak buat sambal ikan bilis ni.

“Kalau kita buat lima jam saja sambal tu jadi tak sedap, ia akan berkulat. Kena masak ia sampai lapan hingga sembilan jam. Sebenarnya, banyak lagi stesen Petronas yang minta tapi saya dah tak sanggup. Tak boleh nak pergi hantar sebab selain memasak, saya juga yang buat penghantaran,” katanya.

Sambal Hantu seberat 150gram itu dijual pada harga RM13. Selain dijual di stesen minyak dan jualan di ekspo atau karnival, Reyhana turut menjual secara atas talian.

“Saya jual online juga, sambutan amat menggalakkan. Selalu yang beli orang Kelantan dan mereka suka yang original, ada yang order sampai 10 bekas. Saya okey je walaupun penghantaran mahal saya teruskan saja sebab mereka sentiasa minta.

“Kos penghantaran, RM40, siap dalam kotak dan kena beli 10 bekas. Ada yang beli untuk dijual di tempat masing-masing. Bila ternampak produk sendiri, dijual di Melaka, saya rasa puas. Sambal ikan bilis buatan saya ini tahan lama, boleh sampai setahun kalau simpan dalam peti sejuk,” kata Reyhana.

Selain itu, katanya produk Hantu Sambal juga sudah dibawa ke Rusia dan Korea apabila ada yang membeli untuk dijadikan bekalan makanan sewaktu melancong ke luar negara.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.