Siapa calon BN – Jeck Seng, Jefridin, Khaled?

Siapa calon BN – Jeck Seng, Jefridin, Khaled?

 

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

 

JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah pasti diberi mandat oleh Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan 16 November depan.

Walaupun nama calon belum diumumkan, namun Bersatu sudah boleh mengatur strategi bagi memastikan kerusi itu kekal milik PH.

Namun, di kem pembangkang, UMNO dan MCA masih berbincang siapakah yang paling sesuai mendepani calon  Bersatu.

MCA mahu supaya kerusi tradisi milik parti itu dikekalkan, namun pada masa yang sama UMNO turut berhajat bertanding pada PRK berkenaan.

UMNO yakin bahawa hampir 53,000 pengundi berdaftar di kawasan berkenaan yang terdiri daripada 57 peratus Melayu pasti memberikan sokongan padu kepadanya.

Malah, tahap sokongan itu didakwa semakin bertambah selepas UMNO dan Pas menandatangani Piagam Penyatuan Ummah, sekali gus mencetuskan aspirasi politik baharu, Muafakat Nasional, baru-baru ini.

Berdasarkan majoriti 524 undi yang diperoleh penyandang, Allahyarham Datuk Dr. Mohamed Farid Md. Rafik, 43, menewaskan calon MCA, Datuk Wee Jeck Seng yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Nordin Othman daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menguatkan ramalan bahawa gabungan pembangkang mampu merampas semula kerusi tersebut daripada PH.

Namun, wujud juga gesaan supaya calon MCA terus diberi kepercayaan untuk merampas semula kerusi tersebut bagi menonjolkan cerminan ‘harmoni’ dalam BN pasca Piagam Penyatuan Ummah.

Selain parti mana yang akan dipersetujui pucuk pimpinan BN untuk bertanding nanti, turut tercetus persoalan lebih ‘panas’ tentang siapa calon yang akan diangkat sebagai ‘ayam sabung’ BN nanti.

Di pihak MCA, kemungkinan besar Jeck Seng akan terus diberi kepercayaan untuk merampas semula kerusi tersebut.

Sekiranya UMNO diberi mandat, dua nama yang anggap popular ialah Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bagi penduduk Tanjung Piai, Jeck Seng dan Jefridin bukan asing bagi mereka, malah pemimpin yang sentiasa ada bersama-sama rakyat.

Kewibawaan Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO pulak tidak perlu dipertikaikan semasa memimpin negeri ini.

Walaupun hanya sepenggal mewarisi pemerintahan BN di Johor, namun pembangunan dan kemajuan yang dibawa beliau menerusi slogan Muafakat Johor amat mengagumkan.

Pelaburan asing dan tempatan mencurah masuk kerana Johor mempunyai potensi yang amat besar, apatah lagi berjiran dengan Singapura yang sedia maju.

Andai salah seorang daripada tiga figura ini dipilih sebagai ‘ayam sabung’ BN, pastinya Bersatu dan PH perlu bekerja lebih kuat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Apa pun PRK Tanjung Piai pada 16 November nanti pasti menarik untuk diikuti.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Siapa calon BN – Jeck Seng, Jefridin, Khaled?"

  1. herman farispetra9599  09/10/2019 at 7:51 pm

    Siapa kesah? (WHO CARES?)

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.