M untuk Monopoli – Kerisauan terhadap media bebas di Malaysia

1
86

JUTAWAN Syed Mokhtar Albukhary tampaknya menjadi taikun media yang baru dan pemerhati menyuarakan kerisauan ia boleh membawa kepada lebih kawalan terhadap media di negara ini.

Ahli perniagaan ternama itu, yang membina empayarnya ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri buat kali pertama, baru-baru ini meningkatkan pegangannya dalam Media Prima Bhd untuk menjadi pemegang saham utama syarikat itu.

Ia memberinya kawalan kepada empat akhbar, empat saluran televisyen percuma, empat stesen radio, sebuah studio produksi, sebuah syarikat pengiklanan dan media digital.

Beliau juga pemegang saham dalam Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan pada minggu ini menguasai permit percetakan dan arkib Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo! sebaik sebelum syarikat itu menghentikan operasinya.

Selain itu beliau juga pemilik akhbar perniagaan The Malaysian Reserve.

Dengan mengambil kira hubungan rapatnya dengan Mahathir, ia membangkitkan kerisauan berkenaan monopoli media, kata pensyarah media University of Nottingham Malaysia Zaharom Naim.

ZAHAROM Naim.

“Sebarang usaha untuk memusatkan pemilikan media – oleh kerajaan, syarikat atau individu – adalah membimbangkan.

“Dengan mengambil kira sejarah campur tangan politik dan kebergantungan pasaran dalam media di Malaysia, tindakan Syed Mokhtar ini perlu dilihat dengan waspada, kalaupun tidak dengan cemas,” katanya kepada Malaysiakini.

Umno sebelum ini adalah pemilik Utusan dan menguasai sejumlah besar pegangan dalam Media Prima, tetapi telah menjual kedua-duanya kepada Syed Mohktar selepas tewas pada PRU ke-14.

“Media arus perdana” seumpama itu – gelaran yang sering diberikan kepada mereka – sekian lama dikritik kerana membawa kepentingan “tuan politik”, dan dalam kes Utusan, digunakan sebagai alat terhadap musuh politik pemiliknya.

Pemilikan swasta, kawalan langsung?

Ketika kali pertama sebagai perdana menteri, antara kontroversi sekitar Mahathir ialah mengawal media cetak dan penyiaran dengan menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketika pentadbirannya, sejumlah akhbar ditutup dan editor ditangkap atas dakwaan hasutan.

Menjelang PRU ke-14, Mahathir selaku pemimpin pembangkang berjanji Pakatan Harapan (PH) akan membebaskan media daripada pemilikan dan kawalan politik.

Bagaimanapun Terence Gomez dari Universiti Malaya menjangka pengerusi PH itu akan kembali kepada amalan dahulu dengan mengenakan “kawalan langsung” terhadap media melalui Syed Mokhtar.

“Beliau lebih suka media di tangan pihak swasta, itu membolehkannya menentukan agenda kepada individu yang mengawal syarikat (media).

“Beliau ada hubungan terus dengannya…Jadi beliau boleh ada kawalan langsung. Ia juga bermakna orang dalam kerajaan tiada kawalan atau suara berkenaan syarikat-syarikat ini,” katanya.

Untuk dapatkan semula sokongan Melayu?

Dengan mengambil kira tanggapan sokongan Melayu kian merosot terhadap PH, Gomez berpandangan Mahathir mahukan aset-aset media itu untuk meningkatkan sokongan di kawasan Melayu.

Sehari selepas operasi Utusan dihentikan, beliau telah pun membayangkan “Utusan baru” akan menggantikan tempatnya.

Bagaimanapun Gomez kurang yakin strategi itu akan berkesan di era media atas talian dan sosial.

“Mahathir seperti terperangkap dalam masa, bahawa syarikat-syarikat ini amat penting dan dengan mengawal mereka, anda boleh mengolah pandangan. Malangnya zaman sudah berubah,” katanya lagi.

fotoBERNAMA

Selepas 80 tahun, Utusan Malaysia akhirnya melaksanakan penggulungan sukarela pada minggu ini setelah menanggung kerugian untuk tujuh tahun berturut-turut.

Media Prima pula dilaporkan menanggung kerugian dalam dua tahun ini ekoran hasil yang tidak mencapai jangkaan.

Walaupun Syed Mokhtar mampu menghidupkan semula syarikat-syarikat media itu, Gomez menjangka sumber yang besar diperlukan dan tanpa jaminan kemapanan kewangan.

Apa yang pasti, menurut pensyarah komunikasi Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman Chang Teck Peng, ialah Umno tidak lagi memegang media arus perdana.

“Mahathir sudah mendapat semula kawalan terhadap media dan ‘melucutkan’ pemilikan alat propaganda parti pembangkang,” katanya.

‘Perisai’ kebebasan media lemah

Apa yang lebih membimbangkan media tiada ‘perisai’ terhadap kawalan atau konsolidasi media pada masa ini.

Pensyarah media dan politik Universiti Nottingham Malaysia Gayathry Venkiteswaran berkata tidak memadai kerajaan hanya menjamin kebebasan media hanya dengan tidak mengawal berita yang disiarkan.

“Satu-satunya hujah kerajaan berkenaan agenda kebebasan media ialah ia tidak memberitahu media apa yang perlu ditulis atau diterbitkan, tetapi itu saja tidak cukup.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan kebaikan yang ditunjukkan kerajaan ini, terutama apabila kita tahu bias dan hubungan politik (boleh berlaku secara) tersembunyi,” katanya.

Reformasi media dilaporkan sedang dilaksanakan, tetapi undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masih berkuat kuasa.

Antara usaha kerajaan ialah bekerjasama dengan kumpulan media dan wartawan untuk menubuhkan Majlis Media yang bebas, tetapi ia hanya akan terlaksana hujung tahun ini.

Selagi perubahan dalam media, terutama berkenaan undang-undang, tidak berlaku, Chang yakin media di Malaysia akan terus sukar melawan agenda politik.

“Kita boleh menjangka media arus perdana tak lama lagi akan menjadi pro-PH dan menyemak parti pembangkang dan para penentang,” katanya lagi.

Sementara itu, Gomez mendakwa ada sebab kedua untuk Mahathir menguasai media.

“Apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa, masalah yang akan dihadapinya ialah aset-aset media ini dimiliki orang yang dikaitkan dengan kem Mahathir,” katanya.

http://bit.do/fcy7o

 

Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. Masih terlalu jauh untuk kita hampiri status media seperti di USA; yang mana CNN selamba badak jer tempelak dan kritik POTUS… Monopoly di tanah air kita dan sebelah Timur adalah Realiti yang mencengkam!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here