Apabila akhbar Utusan dihargai Melayu di Singapura…

1
83
Oleh AMREE AHMAD

 

BAGI mereka yang pernah makan di Adam Road Food Centre dekat Taman Botani Singapura, suasana tipikal medan selera popular itu mungkin tampak unik seolah-olah berada di Malaysia.

Jangan terkejut jika lihat sebahagian besar deretan kereta pelanggan di kawasan parkir awam di situ penuh dengan pelbagai model jenama Proton dan Perodua tetapi nombor plat republik itu.

Namun yang lebih agak ‘keMalaysiaan’ apabila dapati hampir semua muka Melayu di sini leka baca akhbar Utusan Malaysia sambil jamu selera waima mereka sebenarnya warga Singapura.

Senario janggal itu, bagi penulis yang juga Bangsa Johor dan sering ke negara jiran tersebut sejak kecil, sama ada lawat saudara mara atau cuti sambil beli belah, sebenarnya bukan pelik.

Akhbar keluaran Kumpulan Utusan itu tidak asing buat rakyat Singapura sendiri terutama Melayu kerana syarikat media tersebut memang dilahirkan di negara ‘kota singa’ ini genap 80 tahun lalu.

Sementelahan, nama Utusan juga agak disegani etnik bukan Melayu tempatan yang lahir di sini kerana mereka tahu pengasas akhbar itu ialah Presiden Singapura pertama, Tun Yusof Ishak.

Bayangkan, betapa hormatnya semua presiden dan perdana menteri republik itu kerana hanya beliau rakyat tunggal Singapura dapat darjah kebesaran tertinggi Malaysia bawa gelaran Tun.

Hatta rakan baiknya, Lee Kuan Yew yang juga peguam Utusan era 1940-an, serta kemudian jadi Ketua Menteri dan Perdana Menteri pertama pasca ‘dinyah’ Malaysia, pun cuma bertaraf Datuk!

Itupun dikurniakan oleh almarhum Sultan Johor terdahulu. Malangnya, akhbar terbitan Kumpulan Utusan dilarang masuk Singapura awal 1970-an sebagai tindak balas dendam politik Kuan Yew.

Ia susulan langkah tegas Perdana Menteri waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra sekat akhbar Singapura pasca tragedi 13 Mei 1969 dek bimbang laporannya boleh jejaskan kestabilan politik.

Maka wujudlah entiti baharu dikenali NSTP cetak The Straits Times dan Berita Harian (BH) edisi Malaysia pada 1972. Mujur Utusan sudah pindah ibu pejabat ke Kuala Lumpur selepas merdeka.

Meskipun dilarang jual di Singapura, komuniti Melayu itu yang agak pro-Malaysia khabarnya ‘rajin’ seberang Tambak Tebrau untuk beli Utusan Malaysia di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Mereka tidak peduli kena buang masa dan tenaga bersusah payah ulang alik dapatkan akhbar ini, waima ada pula ‘pesan’ kirim rakan atau saudara untuk beli jika kebetulan singgah di Johor.

Peliklah kenapa mereka ‘enggan’ baca BH terbitan syarikat milik pemerintahnya, Singapore Press Holdings (SPH) bahkan macam boikot satu-satunya akhbar bahasa Melayu di republik itu.

Apakah etnik minoriti itu buat tanda protes senyap bantah rejim PAP yang diskriminasi Melayu termasuk biadab haramkan laungan azan melalui pembesar suara di semua masjid sejak 1974?

Jawapannya mudah iaitu Utusan ada ‘roh keramat suara bangsa sejati’ berbanding BH yang isi editorialnya dikawal parti pemerintah, PAP dan tegas larang ketat sesiapa kritik pentadbirannya.

Lebih malang, disebabkan Singapura ada hubungan diplomatik Israel, jangan ‘mimpi’ lihat semua akhbar keluaran SPH berani keji rejim Zionis tindas warga Palestin pertahan kesucian Al-Aqsa.

Hasilnya, bagi orang Melayu Malaysia yang kali pertama baca BH Singapura tentu ‘muntah hijau’ mendapati akhbar itu bodek PAP dan paling sedih ia rujuk pejuang Palestin sebagai pengganas.

‘Aura’ Utusan juga terserlah positif apabila pernah dipuji beberapa juruhebah stesen Warna FM milik pemerintah, MediaCorp sekiranya bincang topik berkaitan tulisan jawi atau bahasa Melayu.

Penulis secara kebetulan ada ikuti program sembang santai radio Melayu tempatan popular itu dan agak terharu dapati ramai pendengar akui jasa besar Utusan dalam hal martabat Melayu.

Mereka tidak kekok kenang legasi Utusan waima penyampai stesen itu mampu ceritakan sejarah gemilang akhbar tersebut diasaskan oleh allahyarham Yusof sebagai warisan hebat Singapura.

Begitulah besar sumbangan Utusan di republik itu diingati sehingga kini, namun akhirnya tinggal kenangan sahaja apabila syarikat Utusan Melayu umum henti penerbitan pada 9 Oktober lalu.

Jangka hayatnya berakhir dalam keadaan tragik akibat jadi mangsa tekanan politik domestik waima rekod edarannya diiktiraf jauh lebih tinggi daripada semua akhbar lawan terbitan NSTP.

BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. Sahabat…
    Perlu diingat Melayu Singapura adalah Minority…
    MINORITY memang Hebat & awesome dalam pelbagai aspects!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here