Guru, CEO suspek terbaru ditahan polis

0
106
5 individu ditahan semalam selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). NSTP/IHSAN PDRM

 

GURU, pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GPC) dan anggota majlis kerajaan tempatan adalah antara lima individu yang ditangkap polis dalam operasi terbaru ke atas pihak yang terbabit dengan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) semalam.

Menurut Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman lima suspek terbabit ditahan kerana disyaki mempromosi dan menghasut agar orang awam menyokong kumpulan yang disenaraikan sebagai pengganas itu.

Ketua Penolong Pengarah E8, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mereka memiliki barangan yang berkaitan LTTE, serta menolong membiayai kegiatan kumpulan terbabit.

Katanya, guru sekolah menengah terbabit berusia 52 tahun dan menyokong LTTE melalui media sosial. Suspek terbabit – yang ditahan di Banting, Selangor – juga memiliki bahan yang berkaitan dengan LTTE.

Suspek lain ialah seorang anggota Majlis Bandar Raya Melaka – berusia 43 tahun – dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, berusia 38 tahun.

Kata Ayob Khan, mereka ditahan kerana terbabit menganjurkan Hari Perwira LTTE Melaka.

“Kedua-dua mereka ditahan di Durian Tunggal,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Dua lagi suspek yang ditahan ialah pekerja kilang – berusia 26 tahun – dan penyelia keselamatan – berusia 29 tahun – yang ditahan di Bukit Mertajam, Seberang Prai Tengah.

Pada masa sama, Ayob berkata, polis sedang memantau aktiviti Seeman Senthamilan iaitu ketua penyelaras parti yang berpangkalan di India, Naam Tamilar, yang menyokong LTTE.

Katanya polis juga mungkin melarang kemasukan pemimpin Tamil Nadu itu memasuki Malaysia.

Ayob Khan bagaimanapun berkata, semua 12 suspek yang ditahan polis tidak terlibat secara langsung dengan kegiatan LTTE sebaliknya mempromosi kumpulan itu atau cuba membawa semula ideologi mereka.

Katanya polis yang mula menyiasat penyokong LTTE sejak tahun lalu mengesan wujudnya gelombang kedua untuk menghidupkan ideologi kumpulan berkenaan dengan mengembangkan cawangan mereka di hampir semua negeri sebagai langkah membantu mendapatkan dana.

Daripada tujuh suspek yang ditahan pada 9 Okt lalu, kata Ayob Khan, polis menemui sejumlah besar transaksi wang dipercayai untuk membiayai gerakan serta program LTTE di Malaysia.

http://bit.do/fcEhK
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here