Kerajaan tak beri kerakyatan warga asing beli rumah RM600,000

0
84
fotoBERNAMA

 

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata penurunan had harga rumah untuk pembeli asing kepada RM600,000 bertujuan mengurangkan bekalan kondominium dan pangsapuri tidak terjual.

Beliau turut menegaskan warga asing yang membeli rumah berkenaan tidak akan diberikan kewarganegaraan.

“Kalau orang tempatan nak beli pun, boleh jual dengan harga itu juga, tetapi kita ada over hang, kita telah bangunkan rumah dengan banyak sekarang ini tidal dijual.

“Apabila sesuatu projek perumahan tak dijual ianya menyebabkan kerugian kepada negara, jadi kita nak rid of this over hang.

“Bila over hang dah get rid kita nak naik balik ke RM800,000; RM1 juta atau RM2 juta itu, ini cara kita nak lariskan penjualan.

“Kalau orang asing beli, mereka boleh beli tetapi kita tidak beri kerakyatan kepada mereka, mereka guna sebagai holiday home,” katanya.

Beliau yang juga anggota parlimen Langkawi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat pembangunan di Langkawi hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Dr Hezri Adnan; Pegawai Daerah Langkawi, Muhammad Arof Darus; dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Radzuan Osman.

Semasa membentang Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan langkah mengurangkan bekalan kondominium dan pangsapuri tidak terjual bernilai M8.3 bilion pada suku kedua 2019 dengan menurunkan had harga hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar untuk pemilikan asing, daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada 2020.

Mengenai isu import minyak sawit, perdana menteri berkata, kerajaan belum bercadang membuat sebarang respon terhadap laporan berita mengatakan bahawa India merancang melarang import minyak sawit dari Malaysia.

Buat masa ini katanya Malaysia perlu melihat tindakan selanjutnya daripada negara berkenaan.

“Kita akan kaji kesan yang akan diambil oleh India. India juga menjual barang kepada kita. Jadi dalam perdaganan ini bukan satu hala sahaja, tetapi dua hala,” katanya.

Menurut beliau Malaysia dan India perlu mengelak daripada menjadikan perkara itu perang perdagangan yang akhirnya akan merugikan kedua-dua negara.

Terdahulu perdana menteri diminta mengulas mengenai laporan agensi berita antarabangsa yang mengatakan New Delhi bercadang melarang import produk Malaysia termasuk minyak sawit susulan kecewa dengan kenyataan Mahathir di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan lepas berkaitan isu Jammu dan Kashmir.

​​​​​ Laporan itu menyatakan Dr Mahathir mendakwa India “menceroboh dan menduduki” Jammu dan Kashmir, serta meminta New Delhi berbincang dengan Pakistan untuk menyelesaikan isu tersebut.

India – yang juga pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia – mengimport kira-kira 150,000 tan sebulan.

– Bernama
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here