Terima kasih tapi mana peruntukan penternakan

0
69
Oleh ARRAZAQ NAZRI

 

KUALA LANGAT – Pertubuhan Peladang Selangor kecewa kerana tiada sebarang peruntukan khas diberikan kepada mereka yang bergiat dalam bidang penternakan ruminan seperti mana yang diharapkan.

“Harus diingat industri ternakan ini adalah penyumbang kepada import yang ditanggung bagi negara.

“Sepatutnya ada peruntukan untuk menambah kuantiti produk ruminan khususnya di Selangor, “kata Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Selangor, Dr. Abdul Razak Khasbullah.

Beliau yang menyambut baik kenaikan elaun nelayan kepada RM250 daripada RM200 turut menyarankan kerajaan supaya menumpukan kepada pemutihan nama penerima yang layak bagi menerima elaun saraan nelayan tersebut.

Dr. Abdul Razak mengalu-alukan peruntukan untuk sektor asas tani yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam sebanyak RM4. 9 bilion yang diharap mampu menggandakan pengeluaran produk pertanian di Selangor.

Katanya, Belanjawan 2020 merupakan khabar gembira kepada para petani dan peladang yang bergiat dalam sektor penanaman fertigasi seperti cili dan tanaman nenas di daerah ini.

Kuala Langat sejak beberapa tahun yang lalu cukup aktif dengan aktiviti penanaman cili merah yang terkenal dengan taglinenya “panjang, berkilat dan terjojol”.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menaikkan subsidi padi pulut di Langkawi serta penanam padi bukit. Mungkin kita boleh meneroka bidang yang sama di daerah ini, “kata beliau.

Mengulas tentang penanaman buluh, beliau berkata produk tersebut walaupun masih baharu tetapi ia mempunyai ruang untuk dikomersialkan.

Beliau juga menjelaskan, Kuala Langat dan lapan daerah lain bersedia untuk menanam buluh dengan bajet yang ada.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here