Kami akan lawan, kata Umno pada SPRM

0
63
 AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan (tengah) mengetuai sidang media berhubung kompaun SPRM mengenakan RM2.5 juta setiap penerima wang 1MDB, ketika di ibu pejabat UMNO pusat di PWTC. NSTP/NIK HARIFF HASSAN

 

LEBIH 40 pemimpin Umno yang diarah mengembalikan dana yang diterima daripada Najib Razak sebelum ini bertekad untuk tidak akan tunduk kepada arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad, berkata dengan sikap yang begitu mereka juga bersedia berdepan dengan sebarang tindakan balas SPRM, termasuk didakwa di mahkamah.

“Kami tak akan terima tawaran ini, kalau mereka proses untuk mendakwa, dakwahlah.

“Kami akan lawan, kami akan tuntut hak kami,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, anggota Majlis Tertinggi Umno merangkap anggota parlimen Pontian, Ahmad Maslan.

Shahrir juga mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berbohong apabila mengumumkan bahawa 80 individu atau entiti itu menerima dana 1MDB melebihi RM500,000.

“Ia satu pembohong yang datang daripada ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Menurut Shahrir ada antara individu atau entiti yang disenarai SPRM itu menerima wang hanya sebanyak RM100,000 atau RM200,000.

Buat secara berjemaah

Justeru kata bekas anggota parlimen Johor Bahru itu, Latheefa sepatutnya bersikap profesional dan tidak memalukan SPRM yang berpegang kepada cogan kata bebas, telus dan profesional.

Lebih daripada itu Shahrir berkata, mereka juga membantah apabila dikenakan ditawarkan kompaun sebanyak RM2.5 juta walaupun wang yang diterima hanya RM200,000.

“Itu tak betul,” katanya.

Pada 7 Okt lalu, SPRM mengeluarkan notis kompaun bernilai RM420 juta terhadap 80 individu dan entiti tertentu bagi mendapatkan semula dana 1MDB.

Menurut SPRM, tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Selain Ahmad, antara individu lain yang menerima notis itu ialah bekas pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak; dan bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad.

Antara entiti tersenarai pula ialah Puteri Umno Malaysia, Badan Perhubungan Umno Perak, 15 bahagian Umno, MIC dan Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor.

Sementara itu Ahmad berkata 42 pemimpin Umno di pelbagai peringkat bersepakat untuk membuat laporan polis secara “berjemaah” ke atas SPRM pada hari ini dan esok.

Katanya tindakan itu diambil sebagai simbolik bantahan Umno terhadap SPRM yang didakwa mereka berlaku kejam.

“Kami akan buat laporan polis secara berjemaah pada hari ini dan esok untuk menyatakan rasa tak puas hati terhadap notis yang diberi SPRM.

“Wang yang diterima daripada presiden parti ketika itu (Najib Razak) adalah dana politik dan dana politik dibenarkan mengikut undang-undang,” katanya.

Ahmad juga membangkitkan kemarahannya apabila mereka dituntut membayar kompaun lebih tinggi dan secara purata berbanding jumlah yang yang diterima.

Katanya, kompaun yang ditetapkan SPRM ialah RM2.5 juta walaupun wang yang diterima hanya RM10,000.

http://bit.do/fcKND
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here