MISC pecah dominasi dan tradisi PERR

0
419
KAPTEN MISC, Satheskumar Vingkatasin menerima Piala Emas Raja-raja daripada anakanda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah. Di kanan Presiden PBMM, Mohd. Firdaus Mohamed.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

ADA sebarang peluang walaupun terhad, sudahkan.

Jangan leka dan cepat terbuai dengan kejayaan awal kerana buruk padahnya.

Itulah bezanya antara Majlis Sukan India Malaysia (MISC) dan Kuala Lumpur sehingga membolehkan mereka mencipta sejarah sebagai pasukan jemputan pertama menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) sejak 1983.

Kali terakhir pasukan yang turut bukan berstatus ahli gabungan penganjur PERR, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) menjulangnya ialah Singapura yang menewaskan Pulau Pinang 4-2.

MISC kendalian Yogeswaran Veeramalai menang 2-1 dalam perlawanan akhir edisi ke-79 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sambil memadam hasrat lawan yang berkobar-kobar untuk mengakhiri kemarau kejuaraan ini selama suku abad.

Turut lebur ialah impian menggunung ketua jurulatih Kuala Lumpur, Zolkipli Samion dalam kembali menjulang trofi pertandingan tertua Malaysia ini selepas pernah melakukannya sebagai pemain pada 1994 di Kangar.

MISC bergembira meraikan kejayaan menjuarai PERR 2019 selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1.

Jeremy Lim Wei Shen menanduk masuk umpanan Thinaadhakaran Muthiah pada minit ke-17 untuk membawa MISC di depan selama 52 minit sebelum disamakan Kuala Lumpur menerusi rembatan kaki kanan Mohd. Hafifi Mohd. Salleh.

Malang sekali hanya selepas dua minit Kuala Lumpur meraikan gol penyamaan itu, kaptennya, Muhammad Alif Mazlan tertampan bola ke gawang sendiri ketika mereka berdepan sepakan percuma Thinaadhakaran.

Lebih malang ialah apabila Penjaring Terbanyak PERR 2019, Nabilah Khan Razali menyepak liar tinggi sedangkan dia hanya berdepan penjaga gol MISC, Muhamad Aqil Abdul Razak dalam jarak yang cukup dekat pada masa kecederaan.

“Kuala Lumpur pasukan yang bagus tetapi kami bertuah kerana menyudahkan peluang yang kami dapat. Gol kedua gol sendiri itu mungkin sebab kawasan padang yang basah akibat hujan.

“Saya tukar sedikit corak formasi dan permainan kami dalam babak kedua kepada 4-2-3-1 (ketika mendahului 1-0) yang bertumpu kepada bertahan di bahagian tengah. Saya sangat bangga dengan pasukan, inilah pencapaian terbaik dalam karier saya sebagai jurulatih.

“Nasib baik juga Kuala Lumpur tidak jaringkan gol minit akhir itu, jika tidak, keputusan mungkin berlainan dalam masa tambahan,” katanya yang menujukan kejayaan gemilang ini kepada pengurusan pasukan yang memberinya peluang melatih pada penampilan sulung PERR ini.

Zolkipli jelas terkilan dengan kegagalan anak-anak buahnya namun tidak sesekali menyalahkan Alif yang terleka dalam menangkis sepakan bebas MISC berdekatan kotak penalti sehingga tertewas lagi penjaga golnya, Adam Zairi Fitri pada minit ke-71.

“Kami sudah beri tentangan hebat dan perlawanan akhir ini memang bukan mudah. Minit akhir pula Nabilah gagal sudahkan peluang gol itu dan kami leka dalam bola mati lawan (punca gol kedua MISC).

“Terkilan jugalah kerana gagal menang Piala Emas Raja-raja sebagai jurulatih pula. Kami akan cuba tahun akan datang, mungkin ada rezeki,” kata bekas bek kanan skuad juara PERR 1994 ini yang turut menjaringkan gol ketika menewaskan Perlis 2-1.

 

SENARAI PEMENANG 2019

Juara Piala Emas Raja-raja: Majlis Sukan India Malaysia (MISC), (RM40,000)
Naib juara: Kuala Lumpur (RM20,000)
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Jeremy Lim Wei Shen (MISC), (RM500)
Penjaring Terbanyak: Nabilah Khan Razali (Kuala Lumpur), 4 gol (RM500)
*Juara Piala Agong: Pahang (RM20,000)
*Naib juara: Terengganu (RM10,000)
(* Perlawanan pembuka tirai tanpa mata, 8 September 2019 di Stadium Mini Kompleks Sukan Sultan Ahmad Shah, Pekan, Pahang)

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here