‘Jadikan kenyataan Melayu malas sebagai inspirasi’

0
378

KUALA LUMPUR — Pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu malas perlu dilihat dari sudut positif sebagai dorongan dan inspirasi dalam meningkatkan kualiti kehidupan kelompok itu.

Meskipun berbunyi negatif, niat Perdana Menteri itu wajar difahami sebagai hasrat untuk melihat orang Melayu sentiasa berlumba meraih kemajuan dengan mengoptimumkan peluang dan bantuan.

Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, berkata orang Melayu perlu meyakini kredibiliti Dr Mahathir sebagai pemimpin yang mempunyai niat baik untuk melihat kemajuan bangsa itu.

Beliau yakin pendirian Dr Mahathir itu dilontarkan selepas Perdana Menteri berusaha membangunkan bangsa Melayu sejak sekian lama, namun gagal dicapai walaupun banyak peluang disediakan.

“Oleh itu saya fikir, lebih elok kalau kita lihat secara positif akan seruan beliau supaya kita sama-sama berusaha kuat demi mencapai kemajuan diri dan masyarakat. Jadikan ‘kemarahan’ Dr Mahathir itu sebagai pendorong.

“Kita terpaksa bekerja keras, kalau nak membangunkan diri,membela maruah, mengangkat diri kita, kita tidak boleh lagi sekadar menerima bantuan, kemudian senyap, tidak ada kemajuan.

“Walaupun payah untuk dicapai, perlu dilakukan juga dengan apa cara sekali pun walaupun terpaksa menggunakan kata-kata kasar dan kadang-kadang tidak menyenangkan hati,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun secara peribadi Zainal tidak melihat orang Melayu sebagai pemalas, sebaliknya menyifatkan kemajuan dicapai bangsa itu berlaku secara beransur-ansur dan perlahan.

Sambil menyifatkan ia sesuatu yang kurang baik, beliau berkata jika gagal bertindak segera, orang Melayu akan terus ketinggalan berbanding bangsa lain, sekali gus terpinggir daripada arus pemodenan teknologi.

Dr Mahathir mengulangi dan mempertahankan pendiriannya bahawa orang Melayu malas ketika berucap pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam pada 6 Oktober.

Sementara itu, Zainal berkata pihaknya akan membentangkan resolusi hasil pembentangan empat universiti awam dan badan bukan kerajaan (NGO) di kongres itu kepada masyarakat umum seawal minggu depan.

Kongres berkenaan dianjurkan secara bersama empat universiti iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta NGO.

UM mengendalikan isu politik, UiTM (ekonomi), UPSI (pendidikan) dan UPM (kebudayaan) manakala NGO menumpukan bidang agama.

-BH
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here