FELDA berjaya selesai kebanyakan hutang bank

1
148
PENGARAH Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar melawat bilik berita di Sri Pentas pada lawatan Koprat FELDA ke Sri Pentas. NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ

 

PETALING JAYA — FELDA berjaya menghapuskan kebanyakan daripada hutangnya dengan pihak bank, menerusi suntikan dana dan jaminan kerajaan berjumlah RM2.5 bilion.

Justeru, Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar, berkata, agensi itu akan memberi tumpuan untuk meraih lebih banyak tawaran bon bagi melunaskan baki hutangnya yang kini berjumlah kira-kira RM10 bilion, seperti dipersetujui dalam pembentangan kertas putih Ke Arah Kelestarian FELDA di Parlimen, April lalu.

“Kebanyakan pinjaman dengan bank telah banyak di selesaikan menerusi jaminan kerajaan sebanyak RM2.5 bilion yang baru kita terima kelulusannya.

“Banyak usaha akan dibuat hujung tahun ini dan awal tahun depan bagi meraih tawaran bon untuk membuat pembayaran dan penstrukturan semula pinjaman kita yang ketika ini dalam lingkungan RM10 bilion,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan Lawatan Korporat FELDA ke Sri Pentas di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perancangan dan sasaran FELDA bagi memulihkan aliran tunainya pada tahun depan, susulan menerima dana berjumlah RM810 juta menerusi Belanjawan 2020.

Peruntukan itu antaranya merangkumi RM250 juta bagi program meningkatkan pendapatan 11,600 peneroka, RM300 juta untuk hapus kira faedah pinjaman peneroka, RM100 juta bagi bekalan air FELDA, RM70 juta bagi perumahan generasi baru dan RM90 juta untuk naik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan FELDA.

Othman menegaskan, peruntukan kepada FELDA dalam Belanjawan 2020 yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, membantu menyelesaikan masalah aliran tunai FELDA, pembayaran hutang dengan bank serta menjalankan program untuk peneroka.

“Sekurang-kurangnya separuh atau lebih 50,000 peneroka akan mendapat hasil daripada penghapusan faedah pinjaman, selain membantu aliran tunai FELDA.

“Beberapa program meningkatkan pendapatan peneroka juga sedang dilaksanakan seperti penternakan arnab yang mendapat sambutan baik peneroka dan generasi baru, selain diharap mengurangkan kesan negatif penurunan harga minyak sawit ketika ini,” katanya.

Berhubung lawatan korporat FELDA ke Sri Pentas, Othman yakin MPB mampu menyediakan platform untuk FELDA menyampaikan mesej dan maklumat kepada kumpulan sasarnya.

“Kita mahu menyampaikan mesej kepada kumpulan sasar di bandar dan kawasan rancangan kita kerana ketika proses libat urus, ramai peneroka, peneroka ganti dan pentadbir di bandar yang tidak dapat kita hubungi.

“Dengan kerjasama MPB, mungkin kita dapat berhubung dengan mereka ini, sekali gus menyampaikan pesanan dan program kita dengan lebih tepat dan berkesan,” katanya.

BH
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here