Maqasid Maruah Melayu

1
124
FOTO: NSTP/SADAM YUSOFF

 

Oleh Dr HASSAN MAD

 

SEBELUM kita pergi lebih jauh, izinkan saya menerangkan mengapa saya memilih perkataan ‘maqasid’ kepada pembukaan tajuk rencana ini.

Takrifan paling ringkas untuk bacaan dan fahaman awam kepada makna maqasid ialah matlamat atau tujuan.

Saya gunakan ia dalam tajuk rencana ini bagi mengaitkan tujuan atau matlamat penganjuran Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019 lepas serta terdapatnya banyak persamaan di antara lima matlamat Maqasid Syariah dengan pemilihan lima kluster yang digunakan bagi mengangkat maruah Melayu.

Tiga kluster yang dipilih sememangnya diutamakan dalam Maqasid Syariah, iaitu Islam sebagai ad-deen, pendidikan (akal) dan ekonomi (harta), manakala politik adalah sebahagian dari Maqasid Syariah berkaitan kehidupan dan kebudayaan bolehlah dikaitkan dengan maqasid zuriat, sekalipun agak besar bezanya.

Seminggu berlalu sudah Kongres itu, debatnya terus hangat. Mari kita menoleh ke belakang beberapa langkah, mengimbau kembali apa yang telah dilaksanakan.

Langkah pertama ialah perjumpaan para pemikir dari beberapa IPT awam berbincang isu kemakmuran Melayu.

Atas alasan apa mereka pilih tema Kongres itu mereka saja yang mengetahui.

Kita akur dengan pemilihan itu. Setelah sepakat mereka bergerak ke langkah kedua, iaitu penganjuran sidang dan bengkel bagi membicarakan isu-isu utama berkaitan maruah Melayu dalam lima kluster itu.

Lima kluster itu dipilih dan empat IPTA serta sebuah NGO diamanahkan membincangkan secara ilmiah setiap kluster itu.

Banyak pihak di luar lingkaran akademia diundang sama menyertai sidang dan bengkel yang dianjurkan.

Dari situ barulah mereka bergerak ke langkah ketiga iaitu penganjuran Kongres, untuk dapatan dari setiap bengkel itu dikongsi bersama rakyat berbilang kaum, agama serta budaya di negara ini.

Dalam satu ayat dapatlah saya rumuskan bahawa tiada apa pun yang malicious mengenai resolusi yang dibentangkan itu, atau, apa yang diucapkan oleh Prof Datuk Dr Zainal Kling, malah oleh Tun Dr Mahathir Mohamad jua.

Pun begitu, dalam suasana keretakan sosial semakin ketara, pastinya pemilihan tema, penganjuran Kongres, apatah lagi pembentangan dapatan setiap kluster, mencetus pelbagai reaksi, positif dan negatif.

Dari sudut ilmiah, koleksi respon itu juga ada kepentingan akedemiknya tersendiri.

Para akademia di semua IPT terlibat sewajarnya mengumpul semua bentuk kritikan bagi dianalisis.

Penemuan hasil analisis mereka itu juga wajar dikongsi dengan awam untuk kita semua mengetahui implikasi dari penganjuran Kongres itu.

Pada hemat saya, reaksi semua pihak terhadap Kongres itu sebenarnya adalah juga salah satu barometer kepada tahap keretakan sosial yang kita semua hadapi pada masa ini.

Berbalik kepada Kongres itu, kita semua sudah mengikutinya dan mengetahui perkembangan yang tercetus.

Cabaran seterusnya terutama kepada semua IPTA terbabit ialah bagaimana meneruskan agenda yang sudah diamanahkan.

Ke mana hendak diajukan resolusi yang dihasilkan?

Bagaimana komuniti orang Melayu memperolehi manfaat dari Kongres itu bagi mengangkat maruah mereka, bukan pada mata atau tanggapan orang lain tetapi pada mata, hati dan penerimaan orang Melayu itu sendiri.

Takrifan maruah di sini memfokas kepada hasrat dan aspirasi setiap orang Melayu untuk ‘berdiri sama tinggi’ dan tidak diperlekehkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya mereka selayaknya dihormati.

Kesediaan orang Melayu berkongsi kenegaraan, berkongsi kemakmuran, berkongsi kuasa politik, malah apa jua perkongsian secara adil dan saksama di negara ini, sewajibnya dihargai.

Penilaian saya mengenai manfaat Kongres ini berbalik kepada kefahaman saya dan kaitannya dengan elemen-elemen Maqasid Syariah dan cara mana setiap maqasid itu mempengaruhi tindak-tanduk serta keperibadian setiap orang Muslim.

Kelima-lima maqasid itu sebenarnya saling bertautan dan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Saya ambil satu permisalan di sini, yang ada kaitan dengan maqasid kelima, yang terakhir, iaitu berkaitan ekonomi (harta).

Semua orang Islam digalakkan membina kekayaan semampu yang mungkin. Akan tetapi cara mana ia membina kekayaan itu hendaklah berpandukan hukum syarak, amalan bisnesnya adalah Islamik dan laba terkumpul membolehkan ia menyumbang kepada sistem percukaian dan zakat.

Kejayaannya melambangkan keagungan syiar Islam dalam membina kekayaan yang betul.

Kekayaannya terhasil sebagai manifestasi terhadap sistem tadbir-urus kerajaan yang berkesan dan telus.

Kemampuan pengurusan bisnesnya tinggi hasil pendidikan yang diperolehi.

Kesihatan fizikal, nurani dan mental berpunca dari keturunan dan penjagaan zuriat yang betul oleh keluarga dan keturunannya.

Maknanya, semua maqasid yang empat lagi itu turut berperanan menjayakan seseorang itu dalam aktiviti ekonominya.

Berdasarkan kefahaman itu dan dikaitkan dengan Kongres yang telah dianjurkan, saya mengandaikan selepas ini semua IPTA terlibat wajar kembali duduk bersama di satu meja persidangan.

Pertamanya, setiap kluster wajar memperkukuhkan dan memperkemaskan agenda ummah yang berkaitan dengan kluster masing-masing.

Selepas itu, setiap kluster wajar menoleh ke kluster di kiri dan kanannya, untuk mengetahui bagaimana ia juga saling berpautan dan mempengaruhi lain-lain kluster (maqasid) supaya paduan hasil usaha mereka kelak mampu melonjakkan maruah Melayu yang ditemakan di Kongres itu.

Sekali lagi saya ingin bermisalan di sini dengan merujuk kepada agenda kluster ekonomi.

Pada hemat saya, kluster ini bukan nak merekacipta sesuatu yang baru, atau menghasilkan keajaiban ekonomi orang Melayu yang mampu menebus maruah mereka.

Agenda ekonomi dan maruah orang Melayu berkisar terutamanya kepada tiga isu ini yang perlu dilangsaikan, jika morang Melayu ingin menebus maruahnya.

Pertama, integriti, kedua bakat (dan teknologi) dan ketiga hasil serta manfaat.

1.1 Integriti

Dalam kepimpinan dan pengurusan institusi ekonomi kepentingan Melayu dan nasional, acap kali dipersoalkan, termasuk oleh orang Melayu sendiri, ialah isu integriti. Isu ini sering berkait-rapat dengan amanah dan rasa tanggung-jawab mereka yang menerajui sesebuah institusi itu.

Kerapkali juga isu ini dikaitkan dengan campur-tangan (intervention) institusi politik yang sepatutnya menggunakan iltizamn politik (political will), memperkukuhkan lagi integriti kepimpinan atau pengurusan institusi berkenaan.

Di sinilah kluster ekonomi, politik, agama Islam dan budaya wajib berinteraksi secara kolektif bagi mencari jalan bagaimana isu integriti ini dapat ditangani, sekaligus menebus maruah kepimpinan dan pengurusan Melayu dalam kebanyakan institusi ekonomi.

Sudah begitu banyak institusi ekonomi yang ada kepentingan Melayu dan nasional ditubuhkan.

Sudah banyak dasar dan wawasan digubal. Rasanya semua itu sudah lebih dari memadai.

Seandainyalah isu integriti ini dapat diatasi, pastinya maruah orang Melayu dalam ekonomi dapat ditebus.

1.2 Bakat (dan teknologi)

Sejak dulu lagi kita sudah terima hakikat bahawa:

● meletakkan orang yang authority kerana bakatnya di kedudukan yang betul dan sesuai,
● diperkasakan dan dibekalkan ia dengan amanah dan tanggung-jawab yang jelas,
● diakadkan ia dan dikhutbahkan ia semasa menerima amanah itu,
● yakinlah kepada izin Allah SWT bahawa orang itu akan menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh berkesan.

Ia adalah di antara pre-requisites kepada kejayaan kepimpinan sesebuah institusi itu.

Malangnya, kerapkali kita gagal ‘mendidik’ seseorang itu untuk jawatan atau amanah yang disandarkan kepadanya.

Kerapkali terjadi seseorang itu diletakkan di situ untuk menjadi ‘little napoleon’ atau digunakan oleh satu tangan ghaib.

Acapkali institusi politik Melayu juga dilihat sebagai perosak kepada keruntuhan maruah kepimpinan Melayu dalam sesebuah institusi ekonomi.

Maka, sekali lagi kluster ekonomi wajib duduk semeja dengan kluster pendidikan, kebudayaan dan politik, untuk mengolah isu berkaitan bakat dan penempatan mereka berbakat ini ditempatnya bagi memikul amanah dan tanggung-jawab itu.

Sekadar memiliki ilmu pengetahuan saja belum memadai. Hari ini yang membezakan seseorang itu berkemampuan seperti czar ialah pada bakatnya, penguasaan teknologi dan perwatakan dengan sekurang-kurangnya empat sifat utama yang sering ditekankan oleh Rasulullah SAW.

Gilaplah bakat anak-anak Melayu dan letakkanlah mereka itu ditempat yang sesuai.

Jangan dipergunakan mereka demi kepentingan sesuatu agenda sempit yang menjejaskan maruah kita semua. Janganlah sampai terjadi ‘seekor kerbau membawa lumpur semua akan terpalit’.

1.3 Hasil & Manfaat
Sumbangan timbal-balik ekonomi bagi mengembalikan maruah Melayu terletak paling tidak kepada dua aspek yang utama ini:

i. Kemampuan mengangkat kuasa ekonomi orang Melayu
Selagi orang Melayu tak mampu mengangkat kuasa ekonominya selagi itulah maruahnya tidak akan tertebus. Tidak bermakna juga maruah orang Melayu akan tertebus hanya dengan menguasai ekonomi domestik.

Pentas ekonomi domestik terlalu kecil dengan hanya 30 juta pengguna. Nenek-moyang kita dulu tidak hanya bermain di pentas ini.

Itu yang Datuk Dr Zainal Kling maksudkan dengan Malay-sia, iaitu kepulauan Melayu. Ia merentasi puluhan ribu kepulauan Polynesia.

Jika kita benar-benar bermaruah, jom kita kembali mendominasi pentas ekonomi ini. Itu yang saya fahami maksud ucapan pembukaan beliau di Kongres itu.

ii. Kesediaan berkongsi hasil dan manfaat ekonomi itu bagi memperkasakan lain-lain maqasid yang diklusterkan dalam Kongres ini.

Sering kita dengar keluhan orang Melayu dalam lain-lain kelompok meluahkan kekecewaan mereka terhadap beberapa kerat ikon-ikon ekonomi Melayu yang berjaya tapi menjauhkan diri mereka dari komuniti asal usul mereka. Ini pun soal maruah. Hendaknya selepas ini, ikon-ikon ekonomi Melayu ini lebih komited untuk sama-sama menyumbang kepada pemerkasaan lain-lain kelompok Melayu.

Telahan saya mengapa ramai kepimpinan Melayu dalam arena politik akhirnya mencelah masuk ke dalam komuniti ekonomi ialah kerana kekecewaan mereka setelah menggunakan iltizam politik mengangkat ikon-ikon ekonomi Melayu, mereka tidak dapat meraih manfaat yang diharapkan dari mereka itu. Bila mereka menjerumuskan diri ke dalam kancah ekonomi berlakulah berbagai tohmahan mahupun gejala seperti kroinisme dan sebagainya.

Semua ini dapat diredakan jika sekiranya komuniti ekonomi yang diamanahkan itu tahu apa sumbangan timbal-balik mereka kepada lain-lain komuniti yang bersama mengangkat dan memperkasakan mereka.

Pendekatan serupa boleh digunakan oleh empat lagi kluster itu dalam menilai peranan masing-masing secara kolektif.

Setiap kluster tidak wajar berbicara bagaimana nak menjulang maruah Melayu secara berasingan. Tidak mungkin keberhasilannya akan mampu memenuhi tuntutan ini.
Bahawasanya, Kongres itu baru melepasi langkah ketiga dari ribuan langkah seterusnya yang akan dilalui.

Pastinya banyak ranjau akan diredah.

Akan ada diantara kita tercucuk ranjau itu. Bisanya, kita boleh jangkakan.

Berbekalkan semangat yang disuntik sempena Kongres ini; Berani, Hebat dan Taqwa, kita tetap mara ke hadapan, membujur lalu melintang patah, untuk mengecap manfaat yang dihasratkan, demi menjulang maruah kita.

— BebasNews

 

* Penulis ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here