Larian Budi Half Marathon 2020 bakal jadi kalender tahunan Hari Wilayah

0
109

KUALA LUMPUR — Larian Budi Run Half Marathon (BHM) Putrajaya 2020 bakal menyasarkan rekod himpunan para alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) terbesar bersama-sama pelari tempatan dan antarabangsa.

Lebih signifikan larian pada 22 Februari 2020 (22-02-2020) akan menjadi acara kalendar tahunan Hari Wilayah Persekutuan.

Acara itu meletakkan sasaran 10,000 peserta yang akan bermula di Dataran Kehakiman, Putrajaya.

Pengarah Programnya, Ahmad Shamsul Bahrin menyeru pelari marathon seluruh negara menyertai larian itu.

“Alumni UiTM terutamanya harus menyertainya kerana hasil kutipan yuran penyertaan akan disumbangkan kepada Yayasan Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) persatuan untuk tujuan kebajikan alumni dan pelajar,” katanya.

Beliau ditemui selepas mesyuarat penyelarasan BHM 2020 siri pertama di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur yang dipengerusikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Turut hadir ialah Pengarah Majlis Sukan Wilayah, Dr Husnul Faizal dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) merangkap Timbalan Pengerusi Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B), Datuk Zaini Hassan.

Tambah menarik kata Shamsul, “sekiranya mendapat sambutan hangat para peserta, BHM 2020 mampu mencatatkan satu rekod baharu sebagai ‘Perhimpunan Terbesar Alumni UiTM’ yang pernah diadakan di Malaysia.

“Terdapat sekitar 815,000 alumni UiTM sejak universiti ini ditubuhkan pada 1956. Sasaran BHM 2020 juga ialah menarik penyertaan termasuk kalangan umum sehingga 10,000 orang,” katanya.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan antaranya Terbuka Lelaki dan Wanita, Veteran Lelaki dan Wanita, Junior Lelaki dan Perempuan, Lelaki dan Wanita UiTM, Larian Ria, Keluarga dan Tetamu Kenamaan yang melibatkan empat jarak berlainan, 21, 10, 5 dan 3 kilometer.

Yuran penyertaan yang dikenakan hanyalah antara RM43 hingga RM210 manakala hadiah wang tunai yang menanti buat para pemenang empat tempat teratas ialah antara RM100 hingga RM500 berserta trofi.

Butirannya boleh dilayari pada www.jomrun.com/event/BUDI-Half-Marathon.

“Sejak penyertaan dibuka menerusi atas talian semalam, sebanyak 360 peserta dalam dan luar negara telah mendaftar untuk memeriahkan BHM 2020 iaitu 354 warga tempatan selain dua dari India dan masing-masing seorang dari Kemboja, Indonesia, Jepun dan Maldives.

Larian itu mendapat kerjasama dan sokongan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) serta kelulusan Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan akan berlangsung dari 5.30 pagi hingga 11 pagi.

“Larian ini juga termasuk dalam kalendar aktiviti sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 1 Februari. Selain hadiah wang tunai menanti para pemenang, terdapat cabutan bertuah antaranya hadiah tiket penerbangan ke dalam dan luar negara termasuk Hawaii.

“Kami pilih angka 22-2-2020 sebagai tarikh BHM yang bermakna segala usaha dibuat secara bergandingan dalam menuju wawasan negara kita sama ada pesertanya sudah berkeluarga, antara suami isteri dan sebagainya,” kata Shamsul.

Mengenai mengapa Dataran Kehakiman Putrajaya dipilih dan bukannya Dataran Merdeka yang mungkin lebih popular dan dekat, katanya, “kami buat atas saranan MSWP dan berdasarkan situasi di situ yang boleh memuatkan lebih banyak acara sampingan untuk menambah kemeriahan seperti pameran atau gerai-gerai makanan bergerak.”

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here