PLUS perkenal inisiatif ujian smartlane di NKVE

0
181

KUALA LUMPUR — Bermula 23 Oktober depan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merancang untuk memperkenalkan Inisiatif Ujian SmartLane secara manual untuk mengatasi aliran kesesakan trafik di laluan Setia Alam menuju ke laluan keluar Plaza Tol Shah Alam.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Zakaria Ahmad Zabidi berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam bahawa pihaknya turut merancang untuk melaksanakan teknologi Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) dan memantapkan inisiatif elektronik SmartLane.

“Kedua-dua inisiatif ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan semua laluan bagi membantu melancarkan aliran trafik serta mengurangkan kesesakan sebanyak 30 hingga 40 peratus di laluan Setia Alam ke Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada pagi waktu puncak.

“Pengujian sistem SmartLane ini akan dilaksanakan di KM3.2 hingga KM9.2 (Arah Utara) mulai jam 6:30 pagi hingga 9:30 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat. Dalam tempoh waktu puncak itu, ruang paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan sementara untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan aliran trafik,” tambah kenyataan itu.

Fasa Pertama pelaksanaan SmartLane akan beroperasi secara manual berdasarkan papan tanda jalan yang dipasang sepanjang laluan tersebut dengan fasa kedua dijangka beroperasi pada Suku Kedua 2020 menggunakan teknologi Sistem ITS sepenuhnya bagi membolehkan PLUS menjalankan penyuraian trafik dengan lebih efisien.

Kenyataan itu turut menyatakan PLUS telah melakukan pelbagai persediaan sebelum melaksanakan inisiatif ini dengan menempatkan anggota Polis dan PLUSRonda di lokasi terbabit, memasang papan tanda trafik, menyediakan trak tunda tambahan di lokasi strategik serta menyediakan hentian kecemasan di KM5.6.

Inisiatif SmartLane itu turut mendapat sokongan dan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

MEDIA STATEMENT - NKVE SMARTLANE
— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here