Pendakwaan Tarik Balik Lima Daripada 35 Pertuduhan Rasuah Terhadap Musa Aman

0
137
BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (kanan) hadir bagi sebutan semula kes 51 pertuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

 

KUALA LUMPUR — Pihak pendakwaan hari ini menarik balik lima daripada 35 pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah US$63.3 juta yang dihadapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Kelima-lima pertuduhan itu melibatkan wang berjumlah US$13.2 juta.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Umar Saifuddin berkata pihak pendakwaan ingin menarik balik pertuduhan itu dan memohon supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada kelima-lima pertuduhan berkenaan.

“Tertuduh masih mempunyai 30 pertuduhan rasuah dan siasatan kes masih berjalan,” katanya.

Peguam Francis Ng Aik Guan, yang mewakili Musa berkata pihaknya terkejut dengan tindakan pendakwaan yang ingin menarik balik pertuduhan terhadap anak guamnya memandangkan siasatan kes berkenaan masih berjalan.

Hakim Sequerah membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik kelima-lima pertuduhan itu dan melepas dan membebaskan tertuduh daripada kelima-lima pertuduhan tersebut.

Umar Saifuddin turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya juga telah meminda 30 pertuduhan rasuah yang kini berjumlah US$50.1 juta dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih US$37.8 juta dan S$2.5 juta yang dihadapi tertuduh.

Katanya pindaan terhadap kesemua pertuduhan itu dibuat pada tarikh, transaksi dan nama kontraktor yang terlibat dan pihaknya juga memohon supaya kesemua pertuduhan berkenaan dibacakan terhadap tertuduh.

Musa, 68, yang dibenarkan duduk di dalam kandang tertuduh atas faktor kesihatan menjawab “minta bicara” ketika ditanya apakah pengakuannya terhadap kesemua pertuduhan itu.

Bagi 30 pertuduhan berhubung kes rasuah, Musa sebagai seorang ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak, yang berjumlah US$50.1 juta.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Dis 2004 dan 6 Nov 2008 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Bagi kes pengubahan wang haram, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Beliau juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima US$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes yang jumlah itu adalah daripada hasil aktiviti haram tertuduh manakala bagi pertuduhan ke-10 pula, beliau didakwa menerima S$2.5 juta atas sebab sama.

Mahkamah menetapkan 28 Feb tahun depan untuk pengurusan kes.

BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here