Ahmad Idham ketepikan `rindu’ demi komitmen

1
466
Oleh NAFSIAH JANI

 

Sejak memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) enam bulan yang lalu membuatkan pelakon, pengarah serta produser, Ahmad Idham Ahmad Nadzri terpaksa melupakan dunia seni buat seketika.

Pengorbanan ini terpaksa dilakukan demi memberi sepenuh perhatian dan komitmen kerja yang diamanahkan kepadanya.

Ahmad Idham yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam industri kreatif selama 25 tahun.

Bercakap mengenai kerjaya barunya ini, kata Ahmad Idham, 48, “Buat masa ini saya kena ketepikan rasa rindu-rindu’ nak berlakon atau mengarah drama atau filem. Ini terpaksa saya lakukan bila saya dah bercadang nak menerima amanah dan tanggungjawab yang cukup besar ini.

“Kepercayaan dan harapan yang diberi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Pakatan Harapan ini cukup besar untuk saya memajukan industri perfileman negara.Pada saya, ini hadiah kepada anak seni terutamanya saya kerana diberi kepercayaan untuk menerajui badan (FINAS) sebesar ini. Selama ini tidak pernah berlaku dalam kerajaan terdahulu, anak seni diberi peluang memegang jawatan setinggi ini.

“Lagipun bukannya lama. Tanggung jawab saya ini untuk dua tahun saja. Lepas itu saya boleh mulakan semula kerjaya lama saya mengarah dan menerbitkan drama ataupun filem.’’

Ahmad Idham menambah,”Baru enam bulan duduk dikerusi ini dan kerjaya baru saya ini cukup menarik. Masa nak mulakan kerjaya baru ini saya sememangnya sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal. Saya tak pernah anggap masalah yang datang sebagai masalah sebaliknya saya anggap ianya sebagai cabaran.

“Kalau saya beranggapan semua masalah yang datang sebagai masalah, mungkin saya akan mula menyalahkan orang sana dan sini. Tambahan pula budaya menyalahkan orang sana dan sini tidak pernah ada dalam kamus hidup saya. Pada saya kita ambil setiap cabaran yang datang, perbaikinya dan kita terus jalan ke hadapan.’’

Selaku CEO FINAS dan bagi memastikan dirinya telus dalam membuat sebarang keputusan yang berkaitan, Ahmad Idham juga telah melepaskan segala kepentingan atau semua kerja filem atau produksi yang dia pernah buat sebelum ini.

Sepanjang bergelar pengarah, Ahmad Idham telah mengarah lebih 40 buah filem antaranya Mr. Cinderella, Adnan Sempit, Jangan Pandang Belakang, Impak Maksima, Senario The Movie: Episod 1.

Malah Ahmad Idham juga telah menubuhkan syarikat produksinya, Excellent Pictures yang mengkhusus kepada penerbitan drama dan filem serta akademi filemnya sendiri, Ahmad Idham Film Academy atau AIFA yang terletak di Johor.

“Saya dah serahkan sepenuhnya syarikat saya kepada pihak ketiga untuk menguruskannya. Selaku CEO FINAS, saya kena jujur dengan kepercayaan yang diberikan kepada saya. Sebelum ini pun syarikat saya tidak pernah masuk untuk pitching,’’ kata pemilik AIFA Motions Pictures ini juga.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, Ahmad Idham pernah merangkul beberapa anugerah antaranya Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia ke -16, Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin 2003, Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1997/1998 (ABPBH) Pelakon TV Lelaki Popular 1999 (ABPBH).

Ujar Ahmad Idham lagi setakat ini dia masih boleh mengawal lagi rasa rindunya terhadap dunia pengarahan dan lakonan.

“Saya masih boleh bertahan lagi sebab dah lebih 25 tahun terlibat dalam bidang lakonan. Apa salahnya dalam masa dua tahun ini saya korbankan sekejap demi membantu kerajaan untuk membantu anak-anak seni dan menaikkan nama industri hiburan tanahair kita dimata dunia.

“Saya bertuah kerana rakan-rakan seni banyak yang membantu dan memberi sokongan kepada saya. Tambahan pula saya orang seni dan ini secara tidak langsung memudahkan saya untuk memahami dan mengatasi masalah yang dihadapi produser-produser tanahair kita.’’

Kini Idham bahagia bersama isteri tercinta, Jameah Abdul Aziz,43, serta empat orang anaknya iaitu Ahmad Firdaus, 19 tahun ,Ahmad Aydeel, 16, Kintan Myra, 13, dan Ahmad Khaliff,9.

BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here