Tajikistan galang ganti HK perhangat Harimau

1
78
MOHAMADOU Sumareh (13) gagal menyerlah ketika kalah dengan Vietnam namun perlu bangkit segera dalam tiga aksi di Bukit Jalil, bulan depan.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

TIDAK dapat Hong Kong pun lebih baik Tajikistan sebagai galang ganti pemanas badan Harimau Malaya.

Terbalikkan pepatah resmi Melayu dan jadikannya, “apa perlunya dicari tanduk lagi jika gading bertuah yang menjelma?”

Hong Kong hanyalah di ranking ke-143 dunia yang prestasinya lebih kurang setanding skuad Tan Cheng Hoe (158) tetapi terpaksa membatalkan jadual perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa, Selasa lalu atas faktor keselamatan.

Tajikistan yang menghuni ranking ke-115 dunia itu disahkan bakal bertandang ke Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 November ini menjelang kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023.

Skuad negara bakal menanti kunjungan Thailand dan Indonesia bagi menyambung aksi kelayakan ini selepas sekadar mengutip tiga mata dan menduduki tempat keempat Kumpulan G dari 5 September hingga 10 Oktober lalu.

Cheng Hoe & Co. mengorak langkah kanan dengan membenam Indonesia 3-2 di Jakarta namun kempunan sebarang mata apabila ditundukkan Amiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 dan Vietnam 1-0, masing-masing di Bukit Jalil dan Hanoi.

Tajikistan yang dibimbing Usmon Toshev kini menduduki tempat ketiga Kumpulan F kelayakan dengan enam mata. Mereka bermula dengan mengatasi Kyrgyzstan 1-0 di Dushanbe dan Mongolia 1-0 di Ulaanbaatar namun dijinakkan Jepun 3-0 di Dushanbe.

Menurut rekod pertemuan tunggal lalu pada 8 Ogos 2014, skuad Asia Tengah ini menewaskan Malaysia 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Dushanbe.
Ketika itu skuad negara yang dibimbing Dollah Salleh, sempat merapatkan jurang gol menerusi sepakan penalti Amri Yahyah.

Antara mereka yang masih menganggotai Harimau Malaya sekarang ialah kapten Farizal Marlias yang menampan sepakan penalti Tajikistan, Aidil Zafuan Radzak, Khairulazhan Khalid dan Norshahrul Idlan Talaha.

Tajikistan dianggap lebih berkaliber dan bermutu ‘mengasah taring’ Harimau Malaya yang sebelum menentang Vietnam di Hanoi, beraksi garang dengan membelasah Sri Lanka 6-0 yang berada di ranking 202 dunia pada 6 Oktober lalu.

BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here