[VIDEO] SPRM miliki ribuan klip video aktiviti penyeludupan di sempadan

0
113
KETUA Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya ketika sidang media khas berkaitan pembolosan sempadan negara akibat daripada aktiviti rasuah di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dan Ketua Cawangan Audio Video, Bahagian Forensik SPRM, Badri Azni. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

 

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan ia memiliki ribuan klip rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara akibat perbuatan rasuah sejak 2017.

Pada hari ini, SPRM menayangkan satu daripadanya mengenai aktiviti penyeludupan di sempadan Padang Besar, Perlis dalam sidang media berkaitan pembolosan sempadan negara akibat daripada aktiviti rasuah di  Ibu Pejabat suruhanjaya itu di sini.

“Apa yang kami tunjukkan hanyalah contoh klip (rakaman), kami mempunyai ribuan dan jam klip (rakaman itu),” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pada sidang media berkenaan.

Latheefa berkata kesemua video yang diperoleh SPRM telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau juga menganggap kejayaan SPRM dalam mendapatkan ribuan video itu sebagai satu kejayaan dalam mencegah rasuah berkaitan penyeludupan.

“Kami menemui bukti yang jelas bagaimana ia dilakukan dengan melanggar kawalan keselamatan,” katanya.

“Berikutan kejayaan ini, kami kini tahu betapa senang dan mudahnya untuk membiarkan perkara ini berlaku di sempadan kerana rasuah,” katanya.

Ketua Cawangan Audio Video, Bahagian Forensik SPRM Penguasa Kanan Badri Azni berkata modus operandi kumpulan penyeludup adalah dengan berjumpa anggota keselamatan yang bertugas di sepanjang sempadan.

“Setiap kali aktiviti penyeludupan hendak dilakukan mereka akan cuba menghampiri anggota keselamatan dan beri sesuatu yang disyaki wang rasuah sebagai upah kerana memberikan kebenaran (untuk menjalankan aktiviti penyeludupan),” katanya.

Badri berkata aktiviti penyeludupan dilakukan pada waktu pertukaran shif anggota keselamatan seawal 6 pagi sehingga 9 pagi.

Menurutnya, kem penyeludup pula terletak berhampiran dengan pos kawalan yang dikawal anggota keselamatan untuk melakukan pemantauan.

“Mereka (penyeludup) tidak takut dan tidak gentar dengan undang-undang dan dengan beraninya melintasi laluan pemeriksaan dan memikul barang diseludup,” katanya

Antara barang yang diseludup ialah minyak masak, bawang, barangan runcit yang murah di Malaysia berbanding negara jiran, baja, diesel dan petrol, katanya.

Dalam video yang ditayangkan hari ini, turut dilihat dalam video berkenaan kumpulan penyeludupan membawa bungkusan guni yang disyaki daun ketum.

Menurut Badri, harga daun ketum di Malaysia ialah RM18  sekilogram berbanding negara jiran yang mencecah sehingga RM100 sekg.

Turut kelihatan ialah pagar yang dirosakkan untuk menembusi ke negara jiran dan penduduk di negara jiran kelihatan bersedia di sebalik pagar untuk menyambut guni untuk dibawa dan dimasukkan dalam kenderaan yang menunggu.

— BERNAMA 
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here